Status puasa orang yang berbuka sebelum Maghrib kerana menyangka matahari telah terbenam

 

Isu sebahagian masyarakat yang berbuka puasa sebelum masuk waktu Maghrib disebabkan azan yang dilaungkan terawal, atau azan di radio yang dilaungkan terawal.

Apa hukum puasa orang yang berbuka atas sangkaan telah masuk waktu Maghrib tetapi ternyata Maghrib belum masuk lagi, azan yang dia dengar adalah azan yang disiarkan secara salah. Maka isu ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama kerana para ulama berbeza dalam membuat penilaian mana yang tak diutamakan antara prinsip asas puasa ataupun riwayat hadis yang secara zahir nampak seperti berbeza dengan kaedah asas puasa. Kita semua tahu asas kaedah asal puasa itulah tegahan makan dan minum bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dalam ertikata lain tegahan makan dan minum bermula daripada masuk waktu Subuh sehinggalah Masuk waktu Maghrib. Asas tegahan ini ialah antaranya firman Allah subhanahu wa ta'ala:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Makan dan minumlah sehingga jelas kepada kamu fajar. Setelah itu sempurnakan puasa sehingga malam.” (al-Baqarah: 187)

Tetapi ada riwyat yang nampak seperti tidak sama dengan kaedah asas ini. Itu yang menyebabkan perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Maka saya nyatakan, hukum orang yang berbuka puasa sebelum waktu Maghrib kerana tersilap, berdasarkan pandangan majoriti ulama mengatakan puasa orang yang seperti itu adalah batal, wajib dia qadha setelah habis bulan Ramadhan. Pandangan siapa ni? Pandangan pertama pandangan siapa? Pandangan majoriti ulama. Kenapa mereka kata batal puasa sedemikian? Kerana Allah Ta'ala memerintahkan puasa dari Subuh hingga Maghrib tetapi kamu telah berbuka puasa sebelum Maghrib, maka puasa kamu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, tidak memenuhi kehendak yang dimaksudkan oleh Allah di dalam al-Quran, maka puasa kamu batal, wajib qadha. Inilah pandangan majoriti.

Ada pandangan yang kedua, iaitu pandangan minoriti ulama bukan majoriti.  Pandangan minoriti ulama mengatakan puasa seperti itu sah dan tidak perlu qadha. Salah satu alasan iaitulah dia sama seperti orang yang makan secara terlupa pada siang Ramadhan.  Pukul 12 tengah hari, hari pertama Ramadhan, balik rumah dia makan, isteri dia nampak, lalu berkata: “kenapa makan? Abang lupa kah hari ni puasa?” Dia kata: “Aku lupa.”  Terus dia berhenti dan dia buang apa yang ada di dalam mulut. Apakah sah puasa dia? Jawabnya; Sah puasa dia kerana dia makan secara terlupa. Jadi atas alasan ini sebahagian ulama kata orang yang berbuka puasa kerana tersilap, puasanya sah dan tak perlu qadha.

Ini pandangan siapa? Tadi saya kata pandangan majoriti, ia merangkumi ulama mazhab Hanafi, merangkumi ulamak mazhab Maliki, ulamak mazhab Syafi'I, ulamak mazhab Hambali. Majoriti kata begitu, yang kata tak sah.  

Yang kata sah tadi pandangan siapa? Antara yang sebut pandangan ini (sah puasa tersebut) itulah Imam Mujahid bin Jabr seorang tabi’e yang mengaji dengan sahabat, alim dalam ilmu tafsir, ulama Ahli Sunnah. Dia kata sah puasa begitu. Demikian juga pandangan al-Hasan. Wallahu a’lam, al-Hasan yang saya tahu di sini adalah al-Hasan al-Basri. Selain daripada itu pandangan Inilah juga yang dipegang oleh Ishaq bin Rahawaih, kawan kepada Imam Ahmad bin Hambal, kawan kepada Imam Syafie, hidup sezaman dengan Imam Syafie, tapi dia, tiada anak murid yang menyebarkan pandangan dia, (pandangan dia)  tidak jadi mazhab lah. Tapi dia tetap seorang ulama mujtahid, sezaman dengan Imam Syafi'I, seorang alim dan luas ilmunya.  Tapi tak adalah mazhab Ishak sebab anak muridnya tak bawa pandangan dia. Jadi pandangan dia luput, pandangannya ada disebut di dalam kitab-kitab tetapi tidak tersusun seperti pandangan imam empat mazhab yang tersusun. Selain daripada mereka ada juga salah satu riwayat daripada Ahmad Itulah Ahmad bin Hambal, pemuka mazhab Hanbali, sebut perkara yang sama.

Selain dari mereka berempat (Mujahid, al-Hasan al-Basri, Ishak dan Ahmad), ulama lain yang sebut puasa seperti itu sah iaitu al-Imam al-Muzaini. al Imam al-Muzani ini adalah anak murid Imam Syafi'e, anak murid sungguh, air tangan Imam Syafie, dia mengaji sungguh dengan Imam Syafie. Imam Syafie juga sayang kepada dia.

Selain daripada itu, inilah juga pandangan Ibn Khuzaimah. Saya sebut nama-nama ulama ini supaya kita tahu para ulama berbeza pandangan dan yang berbeza ini bukan orang kecil-kecil tetapi orang besar-besar. Cuma yang berbeza mana pandangan majoriti dan mana pandangan minoriti.

Syeikh Islam Ibn Taimiyyah RH memilih pandangan yang kedua. Iaitulah tidak batal puasa orang yang berbuka puasa kerana tersilap, kerana menyangka waktu Maghrib telah masuk. Ibn Taimiyyah bersama golongan ulama kedua (minoriti). Ibn Taimiyyah mendatangkan alasan lain iaitulah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari. Iaitulah hadis daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada Fatimah daripada Asma’.

Hisyam bin ‘Urwah ini siapa, beliau ialah Hisyam bin ‘Urwah bin al-Zubair bin al-Awwam, sahabat Nabi SAW, suami kepada Asma’ binti Abi Bakr al-Siddiq, menantu Abu Bakr al-Siddiq RA.

Hadis ini daripada Hisyam bin ‘Urwah yang merupakan cucu kepada Sahabat Nabi SAW, Zubair bin al-Awwam RA.

Hisyam bin ‘Urwah ini meriwayatkan hadis daripada Fatimah binti al-Munzir bin al-Zubair.

Fitimah ini adalah isteri kepada Hisyam bin ‘Urwah dalam masa yang sama mereka adalah sepupu. Kedua-dua mereka adalah cucu kepada al-Zubair bin al-Awwam RA. Cumanya Hisyam dari anak al-Zubair yang bernama ‘Urwah. Manakala Fatimah dari anak al-Zubair bernama al-Munzir. Maknanya Hisyam berkahwin dengan Fatimah yang merupakan sepupu dia. Sepupu boleh berkahwin dengan sepupu? Boleh!

Jadi Hisyam bin ‘Urwah meriwayatkan hadis daripada isterinya sendiri, iaitulah Fatimah binti al-Munzir daripada Asma’ binti Abi Bakr, iaitulah nenek dia, isteri datuknya al-Zubair bin al-‘Awwam. Kata Asma’:

أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ ثُمَّ طَلَعَتْ الشَّمْسُ . قِيلَ لِهِشَامٍ : فَأُمِرُوا بِالْقَضَاءِ ؟ قَالَ : لا بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ . وَقَالَ مَعْمَرٌ : سَمِعْتُ هِشَامًا يقول : لا أَدْرِي أَقَضَوْا أَمْ لا ؟

Maksudnya: "Kami pernah berbuka di zaman Nabi SAW pada suatu hari yang berawan. Kemudian apabila awan tersingkap, matahari masih kelihatan (matahari masih belum tenggelam).” Di sini sahaja perkataan Asma bin Abi Bakr yang ada di dalam peristiwa tersebut.

Setelah itu dalam riwayat al-Bukhari dinyatakan: “Dikatakan kepada Hisyam:” Hisyam ini tidak ada dalam peristiwa yang diceritakan oleh Asma’ binti Abi Bakr. Hisyam adalah cucu kepada Asma’. Hisyam menceritakan perkataan neneknya Asma’. Lalu orang ramai bertanya kepada Hisyam: "Apakah diperintahkan kepada mereka semua untuk qadha"? Jawab Hisyam: "Sudah semestinya kena qadha." Perkataan Hisyam ini menimbulkan masalah. Apakah jawapannya ini semata-mata pandangan dia atau dia menceritakan apa yang berlaku di zaman Nabi SAW? Perkara ini menimbulkan perbezaan pendapat. Jadi majoriti ulama yang berpandangan wajib qadha sudah tentu akan menjadikan jawapan Hisyam ini adalah menceritakan apa yang berlaku di zaman Nabi SAW yang mungkin dikhabarkan oleh isterinya Fatimah berdasarkan apa yang didengarnya daripada nenek mereka Asma’ binti Abi Bakr.

Manakala pandangan minoriti yang mengatakan tidak perlu qadha akan mengatakan, jawapan kena qadha itu bukan perkataan Asma’, bukan juga perintah dari Rasulullah SAW. Sebaliknya hanya perkataan Hisyam berdasarkan pandangan peribadinya  bukan perintah Nabi SAW.

Apakah pendirian kita? Saya cadangkan kita ambil pendirian begini. Siapa nak ambil langkah berhati-hati, maka dia qadha dan pilihannya itu suatu yang terpuji. Siapa yang kata kami tak mau qadha, maka silakan. Kerana yang berpandangan puasa seperti itu sah dan tidak perlu qadha juga pandangan beberapa ulama seperti yang telah dijelaskan. Sebenarnya dalam kebanyakan isu fekah kita jangan berkelahi, kerana kebanyakannya menimbulkan perbezaan pendapat. Mana-mana pandangan ulama muktabar yang diikuti, maka kita berada di bawah bimbingan ulama.


Cetak  
Wallahu a'lam