Hukum Melaksanakan Solat Qasar Ketika Bermusafir

Soalan: 

Apakah hukum melaksanakan solat qasar ketika musafir?

Jawapan: 

Pensyariatan solat secara Qasar disebut di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن يَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْۚ إِنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ كَانُواْ لَكُمۡ عَدُوّٗا مُّبِينٗا ١٠١

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (al-Nisa: 101)

Ungkapan فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ yang bermaksud “maka tidaklah berdosa” difahami oleh para ulama ia digunakan bagi menunjukkan keharusan.[1]

Di dalam hadis pula, berdasarkan riwayat Ya’la bin Umayyah (يَعلَى بن أُميَّة) yang berkata:

“Aku pernah bertanya kepada ‘Umar bin al-Khattab RA dengan berkata: “(Firman Allah yang bermaksud:)  “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (al-Nisa: 101). Bukankah Allah SWT telah memberi keamanan (tiada lagi kebimbangan diserang musuh) kepada kita sekarang? Jawab ‘Umar bin al-Khattab kepadaku:

عجبتُ ممَّا عجبتَ منه، فسألتُ رسولَ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عن ذلك فقال: صَدقَةٌ تَصدَّق اللهُ بها عليكم، فاقْبَلوا صَدقتَه

Maksudnya: “Daku juga pernah hairan sepertimana kamu hairan. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perkara itu dan baginda bersabda: “Ianya (solat Qasar) adalah sedekah dari Allah untuk kamu semua, terimalah sedekah daripada Allah tersebut.” (HR Muslim)

Hadis ini menunjukkan solat secara Qasar disyariatkan ketika dalam permusafiran sebagai satu pemberian kasih-sayang dan memberi keringanan kepada manusia. Namun ia bukanlah satu kemestian atau wajib dilakukan oleh orang yang bermusafir kerana kesemua para ulama telah bersepakat, pihak yang dikurniakan sedekah tidak menjadi kewajipan ke atasnya menerima sedekah yang diberikan kepadanya itu.[2]

Terdapat juga riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Yazid yang berkata:

صلَّى بنا عُثمانُ بمنًى أربعَ ركَعات، فقِيل ذلك لعبد الله بن مسعودٍ، فاسترجع، ثم قال: صليتُ مع رسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بمنًى ركعتينِ، ثم صليتُ مع أبي بكرٍ بمنى ركعتينِ، وصليتُ مع عُمرَ بمنًى ركعتينِ، فليتَ حظِّي من أربعِ ركَعاتٍ ركعتانِ مُتقبَّلتانِ

Maksudnya: “Pernah solat (Zohor) bersama kami ‘Uthman bin ‘Affan RA di Mina sebanyak empat rakaat. Lalu dinyatakan kepada ‘Abdullah bin Mas‘ud perihal perbuatan ‘Uthman tersebut. Beliau (Ibn Mas‘ud) mengungkapkan kalimah istirja’ seterusnya berkata: “Daku pernah solat bersama Rasulullah SAW di Mina, baginda menunaikannya sebanyak dua rakaat. Daku juga pernah solat bersama Abu Bakar di Mina, beliau menunaikannya sebanyak dua rakaat. Daku juga pernah solat bersama ‘Umar di Mina, beliau menunaikannya sebanyak dua rakaat. Alangkah baiknya jika beliau hanya menunaikan dua rakaat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan alasan ini dan alasan-alasan yang lain lagi, majoriti ulama berpandangan hukum solat Qasar adalah sunat.

Kata Ibn ‘Abd al-Barr:

الذي ذهب إليه أكثرُ العلماء من السَّلف والخلف في قَصْر الصلاة في السفر أنَّه سُنَّةٌ مسنونة لا فريضة، وبعضُهم يقول: إنَّه رخصة وتوسعة

Maksudnya:  “Pandangan kebanyakan ulama dari kalangan Salaf dan Khalaf berkaitan qasar solat dalam permusafiran ialah sunat bukan satu kefardhuan. Sebahagian ulama lain pula mengatakan qasar solat itu adalah satu keringan dan keluasan (yang diberikan).” (al-Istizkar 2/224)

Demikian juga perkataan al-Qadhi ‘Iyadh RH:

المشهور من مذهب مالكٍ وأكثرِ أصحابه وأكثرِ العلماء من السَّلف والخلف أنَّ القصر سُنَّة

Maksudnya: “Yang masyhur dari mazhab Malik dan kebanyakan sahabat beliau, demikian juga kebanyakan ulama Salaf dan Khalaf, bahawa qasar adalah sunat.” (Ikmal al-Mu’lim 3/7)

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

فرعٌ في مذاهب العُلماء في القَصرِ والإتمام: قد ذَكَرْنا أنَّ مذهبَنا أن القصر والإتمام جائزانِ، وأنَّ القصر أفضلُ من الإتمام، وبهذا قال عثمانُ بن عفَّان، وسعد بن أبي وقَّاص، وعائشةُ، وآخَرون، وحكاه العبدريُّ عن هؤلاءِ، وعن ابن مسعودٍ، وابن عُمرَ، وابن عبَّاس، والحسن البصري، ومالكٍ، وأحمدَ، وأبي ثورٍ، وداود، وهو مذهبُ أكثرِ العلماء

Maksudnya: “Dalam mazhab kami (mazhab Syafie) berkaitan qasar atau tamam (solat secara qasar atau sempurna), seperti yang telah kami nyatakan bahawa kedua-duanya adalah harus. Namun qasar adalah lebih utama berbanding itmam (tanpa qasar). Inilah perkataan ‘Uthman bin ‘Affan, Sa‘ad bin Abi Waqqas, ‘Aisyah dan selainnya. Al-‘Abdari meriwayatkan pandangan ini dari mereka semua dan juga dari Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, al-Hasan al-Basri, Malik, Ahmad, Abu Thaur, Daud dan ia juga pandangan kebanyakan ulama.” (al-Majmu’ 4/337)

------------------------------------------------------------- 

[1] Lihat al-Majmu’ 4/339

[2] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal 2/10


Cetak  
Wallahu a'lam