Soalan:
Ustaz, apakah semua ulama membenarkan jamak solat bagi orang yang sakit?
Jawapan:
Wujud perbezaan pendapat ulama dalam masalah ini.
Pertama: Ulama mazhab Maliki dan Hambali berpandangan harus jamak antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan sakit. Antara dalil mereka ialah:
- Riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:
جمع رسول اللّه صلى الله عليه وسلم بين الظّهر والعصر ، وبين المغرب والعشاء من غير خوف ولا مطر
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melakukan jamak antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak, bukan ketika peperangan dan bukan juga disebabkan hujan.” Dalam riwayat lain disebutkan: من غير خوف ولا سفر “Bukan disebabkan peperangan dan bukan juga dalam permusafiran.”[1]
-
Berdasarkan ijmak, di mana kesemua para ulama sepakat, jamak solat tidak boleh dilakukan melainkan ketika ada keuzuran. Maka sakit adalah satu keuzuran yang membolehkan jamak.
-
Telah sabit perintah Nabi SAW kepada Sahlah binti Suhail dan Hamnah binti Jahsy yang mengalami masalah istihadhah untuk melewatkan Zohor dan mengawalkan ‘Asar dan menunaikan dua solat tersebut dengan mandian yang sama.
-
Melakukan qiyas sakit dengan permusafiran, di mana kedua-duanya memiliki kesukaran dan kesempitan. Bahkan kesukaran ke atas orang sakit untuk menunaikan solat dalam setiap waktu adalah lebih jika dibandingkan seorang musafir.
Cumanya, setelah ulama mazhab Maliki dan Hambali bersetuju dibolehkan jamak disebabkan sakit. Wujud perbezaan lain antara mereka seperti berikut:
Di sisi ulama mazhab Maliki, yang harus disebabkan sakit adalah jamak taqdim. Iaitulah bagi mereka yang bimbangkan mengalami pengsan atas seumpamanya. Jika kebimbangan itu tidak berlaku, maka solat waktu yang kedua hendaklah ditunaikan sekali lagi di dalam waktunya.
Manakala ulama mazhab Hambali pula berpandangan seorang yang sakit diberi pilihan sama ada hendak melakukan jamak taqdim atau jamak ta’khir, sama seperti seorang musafir. Namun jamak ta’khir adalah lebih baik. Sakit yang membolehkan jamak ini di sisi ulama Hambali ialah sakit yang jika ditunaikan setiap solat di dalam waktunya akan mendatangkan kesukaran dan kelemahan kepada pesakit. Mereka juga memasukkan wanita yang mengalami istihadah, orang yang menderita penyakit kencing tidak lawas dan sesiapa yang mengalami masalah yang sama dalam kumpulan sakit yang membolehkan jamak solat.
Selain dari ulama mazhab Maliki dan Hambali yang mengharuskan jamak solat dengan sebab sakit. Terdapat juga beberapa ulama dari mazhab Syafie yang memiliki pandangan yang sama. Antara mereka ialah al-Qadhi Husain yang berkata: “harus jamak disebabkan sakit, secara taqdim atau ta’khir. Yang lebih baik adalah mana satu yang lebih mendatangkan keringanan.” Demikian juga Ibn al-Maqriy, al-Mutawalli dan Abu Sulaiman al-Khattabi. Kata al-Imam al-Nawawi RH: “Wajah (pandangan) ini bersangatan kuat.”
Kedua: ulama mazhab Hanafi dan Syafie yang berpandangan tidak boleh jamak solat disebabkan sakit. Alasan mereka, antaranya:
- Tidak sabit dari Nabi SAW sama ada perbuatan, perkataan atau keizinan baginda jamak solat ketika sakit. Perintah menunaikan setiap solat di dalam waktunya adalah suatu yang pasti. Maka perintah ini tidak boleh ditinggalkan dan selisihi dengan sesuatu yang bersifat kemungkinan dan tidak ada bukti jelas.
- Rasulullah SAW telah ditimpa beberapa sakit ketika hayat baginda. Namun tiada bukti jelas baginda ada melakukan jamak solat ketika sakit.[3]
Sekalipun begitu, ulama mazhab Syafie membenarkan dilakukan jamak suri (الجمع الصوري) disebabkan sakit bagi yang memerlukan. Iaitulah dengan cara melewatkan solat pertama dengan dilakukan di hujung waktu dan mengawalkan solat kedua dengan ditunaikan di awal waktunya.
Pandangan yang menjadi pilihan adalah pandangan ulama yang mengatakan boleh atau harus dilakukan jamak solat kerana sakit, jika sakit itu mendatangkan masyaqqah atau kesukaran yang di luar dari kebiasaan. Terutamanya jika wujud kesukaran untuk bersuci bagi menunaikan solat.
Dalil dan alasan pemilihan ini, antaranya:
- Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “Allah menghendaki memberi kemudahan kepada kamu semua, dan Allah tidak menghendaki mendatangkan kepayahan kepada kamu.” (al-Baqarah: 18)
Firman-Nya lagi:
مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Allah tidak menghendaki mengadakan kepayahan ke atas kamu semua.” (al-Maidah: 6)
- Pandangan yang mengharuskan jamak bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang telah disepakati, iaitulah:
المشقة تجلب التيسير
Maksudnya: “Kesukaran itu membolehkan diambil kemudahan.”
- Apabila telah sabit keizinan jamak solat ketika berlaku hujan dan dalam permusafiran adalah bertujuan mengangkat kepayahan. Maka mengharuskan jamak solat ketika sakit adalah lebih utama bagi mengangkat dan menghilangkan kepayahan dari pesakit.
------------------------------------------------
[1] Hadis جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر... diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada hadis Ibn ‘Abbas.
[2] Hadis Sahlah diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad daripada ‘Aisyah RA. Kata al-Munziri: “pada Isnadnya terdapat Muhammad bin Yasar. Ulama telah berbeza pandangan berhujah dengannya hadisnya.” Manakala hadis Hamnah diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis Hasan Sahih.”
[3] Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi 4/383 dan Mughniy al-Muhtaj 1/275