SDI 1297: Tak Mampu Tunai Nazar

Tuesday, January 7, 2014

Soalan:

assalamualaikum....
saya ade bernazar ... jika saya dpt pmr 8a dan dpt masuk k mrsm saya aku khatamkan al-quran dalam masa 2 bulan....

saya tidak mampu lakukan nya dlm masa 2 bulan
bagaimakah jln penyelesaiannya ustaz?
saya betul runsing ... minta pendapat ustaz

 

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Pertama: kami menasihati kepada adik yang bertanya untuk berusaha juga mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh masa yang dinyatakan di dalam nazar. Sudah tentu ketika adik bernazar, adik percaya adik mampu melakukannya. Selain itu mengkhatamkan al-Quran dalam masa 2 bulan bukan suatu yang mustahil untuk dilakukan, ramai orang yang telah melakukannya. Bersungguhlah berusaha menunaikan nazar, sesungguhnya menunaikan nazar itu merupakan satu ibadah yang wajib. Kerana itu Allah SWT memuji orang-orang beriman yang menunaikan nazar di dalam firmanNya:

يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْماً كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيراً

Maksudnya: “Mereka (orang-orang yang beriman) menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana.” (al-Insan: 7)

Namun jika sememangnya adik tidak mampu menunaikan nazar tersebut disebabkan masalah-masalah yang adik sendiri hadapi, maka jalan penyelesaiannya ialah adik perlu melaksanakan Kaffarah Sumpah. Hal ini berdasarkan perkataan Ibn ‘Abbas RA:

ومن نذر نذراً لا يطيقه فكفارته كفارة يمين

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar dengan satu nazar, namun dia tidak mampu melakukannya, maka kaffarahnya adalah kaffarah sumpah.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Hafidz Ibn Hajar berkata di dalam Bulugh al-Maram: Isnadnya Sahih. Al-Albani menilai hadis ini Mauquf kepada Ibn ‘Abbas di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Kaffarah sumpah adalah sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi Makan sepuluh orang miskin, Yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, Maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar)…” (al-Maidah: 89)

Kedua: ada baiknya jangan dibiasakan diri dengan bernazar. Hal ini kerana asal hukum nazar adalah makruh, ia berdasarkan hadis:

لا تنذروا فإن النذر لا يرد من قدر الله شيئاً، وإنما يستخرج به من البخيل

Maksudnya: “Jangan kamu semua bernazar kerana sesungguhnya nazar tidak dapat sama-sekali menolak takdir Allah. Melainkan ia hanya keluar dari seorang yang bakhil.” (al-Bukhari dan Muslim) 

Namun jika seseorang telah bernazar maka wajib ke atasnya menunaikan nazar tersebut, dan menunaikan nazar termasuk satu ibadah kepada Allah SWT.


Cetak  
Wallahu a'lam