Soalan:
Ustaz apakah hukum memberi daging korban kepada orang miskin? Apakah wajib?
Jawapan:
Wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama berkaitan hukum memberi daging korban kepada orang miskin.
Berdasarkan pandangan Asah di sisi fuqaha mazhab Syafie, wajib memberi daging korban kepada orang miskin, sekurang-kurangnya sejumlah daging yang layak dinamakan sebagai satu pemberian. Kata al-Imam al-Nawawi RH:
وهل يشترط التصدق منها بشيء أم يجوز أكلها جميعا، فيه وجهان مشهوران ذكرهما المصنف بدليلهما، أحدهما: يجوز أكل الجميع، قاله ابن سريج وابن القاص والإصطخري وابن الوكيل، وحكاه ابن القاص عن نص الشافعي، قالوا: وإذا أكل الجميع ففائدة الأضحية حصول الثواب بإراقة الدم بنية القربة.
والقول الثاني وهو قول جمهور أصحابنا المتقدمين وهو الأصح عند جماهير المصنفين، ومنهم المصنف في التنبيه يجب التصدق بشيء يطلق عليه الاسم، لأن المقصود إرفاق المساكين، فعلى هذا إن أكل الجميع لزمه الضمان، وفي الضمان خلاف (المذهب) منه أن يضمن ما ينطلق عليه الاسم
Maksudnya: “Apakah disyaratkan bersedekah (memberi kepada orang miskin) sesuatu dari daging korban atau harus (pembuat korban) memakan seluruhnya? Dalam persoalan ini terdapat dua wajah yang masyhur (di sisi Ashab al-Imam al-Syafie). Perkara ini disebut oleh penulis (al-Imam al-Syirazi) beserta dalil kedua-dua wajah tersebut. Salah satu pandangan (wajah) itu ialah: (pembuat korban) harus memakan semuanya. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Suraij, Ibn al-Qas, al-Ishtakhri dan Ibn al-Wakil. Ibn al-Qas ada menghikayatkan pandangan ini dari nas al-Imam al-Syafie. Mereka berkata: “Apabila (pembuat korban) memakan seluruh korbannya, faedah korban itu terhasil pahala dengan menumpahkan darah haiwan dengan niat melakukan ibadah korban. Pandangan kedua iaitulah pandangan majoriti Ashab Mutaqaddimin. Inilah pandangan yang Asah di sisi majoriti para ulama (mazhab Syafie) yang menulis. Antara mereka itu ialah penulis sendiri (al-Imam al-Syirazi) di dalam al-Tanbih (menyatakan) wajib bersedekah (kepada orang miskin) sesuatu dari daging korban sebanyak yang boleh dinamakan pemberian sedekah. Ini kerana tujuan melakukan korban adalah mendatangkan manfaat untuk orang-orang miskin. Atas dasar ini, jika pembuat korban memakan semua daging korbannya, wajib ke atasnya ganti dan ada perbezaan berkaitan gantian ini. Berdasarkan pandangan al-Mazhab gantian itu adalah sebanyak sesuatu yang boleh dinamakan sebagai satu pemberian.”
Selain pandangan Asah dalam mazhab Syafie yang mengatakan wajib bersedekah dengan daging korban, ulama mazhab Hanbali juga berpandangan sedemikian[1]. Antara dalil mereka ialah terdapat perintah dari firman Allah SWT:
وَٱلۡبُدۡنَ جَعَلۡنَٰهَا لَكُم مِّن شَعَٰٓئِرِ ٱللَّهِ لَكُمۡ فِيهَا خَيۡرٞۖ فَٱذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ عَلَيۡهَا صَوَآفَّۖ فَإِذَا وَجَبَتۡ جُنُوبُهَا فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡقَانِعَ وَٱلۡمُعۡتَرَّۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرۡنَٰهَا لَكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ٣٦
Maksudnya:”Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi´ar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan untua-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur. (al-Hajj: 36)
Kalimah al-Qani’ القانع yang diterjemahkan di dalam ayat di atas sebagai “orang yang rela” ialah merujuk kepada orang fakir yang tidak meminta-minta kerana menjaga maruah dirinya. Manakala kalimah al-Mu’tar المعتر yang diterjemahkan sebagai “orang yang meminta” ialah merujuk kepada orang fakir yang meminta pertolongan.
Ayat ini sekalipun berbicara tentang sembelihan haiwan al-Hady, namun sembelihan al-Hady dan Korban berada dalam bab yang sama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 6/115)
Selain itu Rasulullah SAW ada bersabda berkaitan dengan haiwan korban:
فَكُلُوا ، وَادَّخِرُوا ، وَتَصَدَّقُوا
Maksudnya: “dan makanlah kamu (akan haiwan yang kamu korbankan), simpanlah dan berikan sedekah (dengannya).” (Muslim)
Manakala pandangan ulama mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan hukum memberi daging korban kepada orang miskin bukan satu kewajipan.
Di dalam Bada-i’ al-Sana-i’ dari mazhab Hanafi dinyatakan:
ويستحب له أن يأكل من أضحيته لقوله تعالى عز شأنه: { فكلوا منها وأطعموا البائس الفقير }. وروي عن النبي عليه الصلاة والسلام أنه قال: إذا ضحى أحدكم فليأكل من أضحيته ويطعم منه غيره. وروي عن سيدنا علي رضي الله عنه أنه قال لغلامه قنبر حين ضحى بالكبشين يا قنبر خذ لي من كل واحد منهما بضعة وتصدق بهما بجلودهما وبرؤوسهما وبأكارعهما. والأفضل أن يتصدق بالثلث ويتخذ الثلث ضيافة لأقاربه وأصدقائه ويدخر الثلث لقوله تعالى: { فكلوا منها وأطعموا القانع والمعتر }
Maksudnya: “Dan disunatkan kepadanya (pembuat korban) memakan dari daging korbannya berdasarkan firman Allah azza wa jalla: “Dan makanlah dari haiwan korban itu, berikanlah juga makan kepada orang-orang yang fakir.” Diriwayatkan daripada Nabi SAW yang bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melakukan korban, maka makanlah dari haiwan korbannya itu dan berikanlah juga makan kepada orang lain. Diriwayatkan juga daripada sayyidina ‘Ali RA yang berkata kepada budaknya Qanbar, ketika beliau melakukan korban dengan dua ekor kibas: “Wahai Qanbar, ambilkan untuk ku dari setiap ekor korban aku itu setompok daging dan sedekahkan dari kedua-duanya (dua tompok dari dua ekor kambing), beserta kulit, bahagian kepala kedua-duanya dan bahagian betis kedua-duanya. Dan yang lebih utama adalah bersedekah sebanyak 1/3, untuk tetamu dari kalangan kawan-kawan 1/3 dan untuk disimpan 1/3 berdasarkan firman Allah taala: “Dan makanlah darinya, berikanlah juga sebagai makanan kepada orang-orang fakir yang tidak meminta dan yang meminta.”
--------------------------------------------------------------
[1] Kata al-Mardawi di dalam al-Insaf 6/491: وَإِنْ أَكَلَهَا كُلَّهَا ، ضَمِنَ أَقَلَّ مَا يُجْزِئُ فِي الصَّدَقَةِ مِنْهَا maksudnya: “Dan jika pembuat korban makan seluruhnya (untuknya), hendaklah dia ganti sekurang-kurangnya sebanyak apa-apa boleh boleh dikatakan satu sedekah.”