Wednesday, May 8, 2013
Soalan:
Salam mohon bertanya..
Solat yg ditinggalkan selama ini mcm mana. Adakah sekadar bertaubat atau wajib qada kan...mohon penjelasan..
Jawapan:
Terdapat beberapa keadaan dan hukum bagi orang yang meninggalkan solat. Penjelasan adalah seperti berikut:
- Tertinggal solat kerana terlupa atau tidur. Dalam keadaan ini wajib qadha solat tersebut ketika ingat berdasarkan sabda Nabi SAW:
من نسي صلاة أو نام عنها فكفارتها أن يصليها إذا ذكرها
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak solat kerana terlupa atau tidur, maka kafarahnya hendaklah ditunaikan solat itu ketika teringat.” (HR al-Bukhari dan Muslim – Hadis lafaz Muslim)
Ditunaikan solat yang ditinggalkan itu menurut turutan waktunya menurut pandangan sebahagian ulama, berdasarkan hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah yang menceritakan ketika peperangan Khandak, apabila telah tenggelamnya matahari ‘Umar bin al-Khattab RA mencela orang-orang kuffar Quraisy, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, hampir sahaja kita tidak menunaikan solat sehingga matahari hampir tenggelam.” Sabda Nabi SAW: “Benar kita belum menunaikannya, lalu kami pergi berdiri di wadi Buthan berwudhu untuk menunaikan solat, lalu kami menunaikan solat ‘Asar setelah tenggelamnya matahari, setelah itu kami menunaikan solat Maghrib.” (al-Bukhari dan Muslim)
- Tidak solat kerana hilang akal seperti koma dan seumpamanya. Dalam keadaan ini tidak wajib qadha. (Lihat Fatwa al-Lujnah al-Daimah 6/21)
- Sengaja meninggalkan solat tanpa ada sebarang keuzuran. Ada dua keadaan:
3.1: Membantah atau menentang dan tidak mengiktiraf kewajipan solat. Orang yang seperti ini terkeluar dari agama Islam (murtad) dengan sepakat semua para ulama. Wajib kembali kepada Islam dan bertaubat.
3.2: Meninggalkan solat kerana menganggap ringan dan malas melaksanakan kewajipan. Berdasarkan pandangan Ibn Taimiyyah, orang yang seperti ini wajib bertaubat dengan taubat yang bersungguh dan memperbanyakkan amalan sunat lainnya. Tidak wajib ke atasnya menqadha semua solat yang ditinggalkan.
Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Jami’ Turath al-‘Allamah al-Albani Fi al-Fiqh 17/308-309 menyebut:
Semua dosa (Berzina, meminum arak dan tidak berpuasa) yang disebutkan ini tidak perlu dikeluarkan kaffarah (penebus) melainkan dengan taubat nasuha, termasuk juga meninggalkan puasa Ramadan. Namun, sebahagian ulama mewajibkan qada bagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan, sebagaimana mereka juga mewajibkan qada bagi orang yang meninggalkan solat. Saya sendiri sukar membayangkan bagaimana ada seorang yang meninggalkan puasa Ramadan tetapi tetap menjaga solatnya? Kerana kedua perkara ini saling berkaitan antara satu sama lain. Secara kebiasaannya, sesiapa yang tidak berpuasa di bulan Ramadan juga tidak menunaikan solat.
Namun, dalam syariat tidak terdapat sebarang dalil yang mewajibkan seseorang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadan atau sengaja meninggalkan solat fardu untuk menggantikan puasa atau solat yang telah ditinggalkan itu. Walaupun begitu, bagi sesiapa yang pernah melakukan maksiat ini, kami menasihatkan dua perkara:
Pertama: Hendaklah dia menyembunyikan dosa masa lalunya dan tidak mendedahkannya setelah Allah ﷻ mengurniakan kepadanya nikmat kesedaran untuk bertaubat.
Kedua: Hendaklah dia bertaubat dengan taubat nasuha. Agar taubatnya diterima oleh Allah ﷻ, ia mesti memenuhi syarat-syarat berikut:
- Menyesali segala perbuatan dosanya.
- Bertekad untuk tidak mengulanginya lagi.
- Memperbanyakkan amalan soleh, kerana amalan soleh inilah yang akan menggantikan pahala dan ganjaran yang telah terlepas, bukannya dengan mengqadakan ibadah yang ditinggalkan. Ini kerana qada bagi ibadah yang telah ditinggalkan dengan sengaja tidak diterima oleh Allah ﷻ.
Perlu diketahui bahawa sesiapa yang menunaikan solat selepas waktunya, keadaannya adalah sama seperti seseorang yang menunaikan solat sebelum masuk waktunya. Begitu juga sesiapa yang berpuasa Ramadan di luar bulan Ramadan, puasanya tidak sah, sama ada sebagai puasa fardu mahupun sunat. Ini kerana bulan Ramadan adalah bulan yang Allah ﷻ telah wajibkan untuk berpuasa. Maka, sesiapa yang berpuasa Ramadan pada bulan Syawal atau pada bulan lain, dia telah mereka-reka suatu syariat yang tidak diperintahkan oleh Allah ﷻ. Ia seperti gantian dari bertaubat atas dosanya, menjadikan dia boleh terjebak ke dalam dosa lain yang barangkali lebih besar dari dosa yang awal, iaitu membuat syariat sendiri. Allah ﷻ berfirman:
﴿أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ﴾
"Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (tuhan selain Allah) yang mensyariatkan bagi mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah?" (Surah Asy-Syura: 21)
Oleh itu, sesiapa yang telah meninggalkan dengan sengaja puasa Ramadan selama sebulan atau beberapa bulan, tiada jalan untuk mengatakan dia wajib qadha kecuali jika dia meninggalkannya kerana uzur syarie seperti sakit atau musafir.
Namun, jika seseorang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja dan lalai terhadap kewajipannya, lalu bertaubat kepada Allah ﷻ dengan sebenar-benar taubat, maka termasuk dari kesempurnaan taubatnya adalah dengan memperbanyakkan amalan soleh, sebagaimana firman Allah ﷻ:
﴿لِمَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَى﴾
"Bagi sesiapa yang bertaubat, beriman, dan beramal soleh, kemudian tetap istiqamah dalam hidayah." (Surah Taha: 82) Iaitu dia tetap berada di atas petunjuk yang dia kembali semula kepadanya.
Demikian juga bagi sesiapa yang telah meninggalkan banyak solatnya, dia tidak mampu untuk menggantikannya kerana apa yang telah berlalu, telah berlalu. Namun, dia telah kehilangan ganjaran solat-solat tersebut, maka hendaklah dia menampung kekurangan itu dengan memperbanyakkan solat sunat. Ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ:
أول ما يحاسب العبد يوم القيامة الصلاة، فإن تمت فقد أفلح وأنجح، وإن نقصت فقد خاب وخسر
"Perkara pertama yang akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Jika solatnya sempurna, maka dia akan berjaya dan beruntung. Namun, jika ada kekurangan dalam solatnya, maka dia akan rugi dan celaka."
Dalam hadis lain, Nabi ﷺ bersabda:
فإن نقصت قال الله ﷻ لملائكته: انظروا هل لعبدي من تطوع فتتم له به فريضته
"Jika solatnya tidak sempurna, Allah ﷻ akan berfirman kepada malaikat: 'Lihatlah, adakah hambaku ini mempunyai solat sunat yang boleh menampung kekurangan solat wajibnya?'"
Jadi, jika seorang Muslim mengalami kekurangan dalam solatnya, sama ada dari segi kuantiti (كمًا) kerana telah meninggalkan solat, atau dari segi kualiti (كيفًا) kerana tidak menunaikannya dengan betul sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ, maka untuk menampung kekurangan ini, dia perlu memperbanyakkan solat sunat dan berpuasa sunat selain daripada puasa Ramadan. Setelah bertaubat dengan ikhlas, dia mesti menjaga puasa Ramadan sepenuhnya dan menunaikan semua solat wajib pada waktunya secara berjemaah. Selain itu, dia hendaklah menambah ibadah dengan amalan sunat supaya Allah ﷻ menyempurnakan kekurangan yang berlaku dalam ibadahnya yang wajib.