SDI 1324: Hukum Solat Di Belakang Imam Yang Rukuk dan Sujud Secara Isyarat

Tuesday, April 30, 2013

Soalan: 

Apakah hukum solat di belakang imam yang tidak dapat rukuk dan sujud dengan sempurna disebabkan keuzuran. 

Jawapan:

Para ulama berbeza pandangan dalam persoalan hukum menunaikan solat di belakang imam yang tidak mampu rukuk dan sujud secara sempurna disebabkan ada keuzuran. Di kalangan ulama ada yang berpandangan sah menunaikan solat di belakang imam yang tidak dapat rukuk dan sujud secara sempurna kerana ada keuzuran. Inilah pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan menjadi pilihan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH. Hal ini berdasarkan:

  1. Kaedah yang menyebut:

أنَّ مَن صحّتْ صلاتُه صحّتْ إمامتُه إلا بدليلٍ

Maksudnya: “Bahawa sesiapa yang sah solatnya, maka sah juga menjadi imam, melainkan dengan adanya dalil (yang menunjukkan sebaliknya).” Dikecualikan wanita menjadi imam kepada lelaki, kerana berbeza jenis jantina.

  1. Diqiyaskan dengan sahnya solat makmum yang sihat di belakang imam yang tidak mampu berdiri berdasarkan pandangan Abu Hanifah, Syafie dan Ahmad. Pandangan ini juga disokong dengan nas hadis.

Para makmum hendaklah rukuk dan sujud dengan sempurna sekalipun imam melakukan rukuk dan sujud dengan isyarat.


Cetak  
Wallahu a'lam