SDI 0427: Kedudukan Sedekap Tangan di Dalam Solat

Assalamualaikum ustaz,

Saya ada kemusykilan ni, boleh tak ustaz bgtau pandangan yang paling kuat pasal sedekap tangan ketika solat. Yang saya maklum ada 4 tempat, dada, atas pusat, bwh pusat dan lurus kan tangan ke bawah. Yang mana paling hàmpir dgn amalan rasulullah s.a.w.

Jawapan:

Persoalan meletakkan tangan atau sedekap di dalam solat adalah persoalan khilafiah yang tidak boleh diingkari jika ada yang berbeza. Itupun jika perbezaan itu masih dalam ruang yang dibenarkan.

Semua pandangan yang disebut oleh ulama yang berbeza itu adalah bertujuan menghampiri perbuatan Rasulullah SAW. Mereka berbeza kerana perbezaan penilaian.

Imam Nawawi ada meringkaskan perbezaan pandangan ini. Beliau menyebut:

"Menjadikan kedua-dua tangan di bawah dada dan di atas pusat. Inilah mazhab kami alMasyhur. Inilah yang dinyatakan oleh jumhur. Kata Abu Hanifah, Sufyan alThauri, Ishak bin Rahuwaih, Abu Ishak alMarruzi dari kalangan sahabat kami: "menjadikan (meletakkan) kedua-duanya di bawah pusat. Dari 'Ali bin Abi Talib terdapat dua riwayat seperti dua mazhab. Dari Ahmad dua riwayat seperti dua mazhab. Ada riwayah ketiga yang memberi pilihan antara dua pandangan di atas tanpa ada tarjih. Dan inilah pandangan alAuza'ie dan Ibn alMunzir. Daripada Malik ada dua riwayat, salah satu ialah meletakkan kedua-dua tangan di bawah dada. Kedua dibiarkan kedua-duanya (irsal). Inilah riwayat jumhur para Ashab (mazhab Maliki) dan yang lebih masyhur di sisi mereka. Inilah mazhab alLaith bin Sa'ad. Dan (ada riwayat) daripada Malik RH juga yang berpandangan sunat meletakkan kedua-dua tangan tidak irsal dalam solat sunat. Dan irsal dalam solat fardhu. Inilah yang ditarjih oleh ulama Basrah dari kalangan Ashab mazhab Malik. Hujjah majoriti ulama akan sunat meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah berdasarkan hadis Wa'il bin Hujr yang dinyatakan di sini dan hadis Abi Hazim daripada Sahl bin Sa'ad RA yang berkata:

كان الناس يؤمرون أن يضع الرجل اليد اليمنى على ذراعيه في الصلاة

Maksudnya: "Adalah orang ramai diperintahkan supaya seseorang meletakkan tangan kanannya di atas lengannya (yang kiri) di dalam solat."

Kata Abi Hazim: "tidak aku ketahui melainkan ia disandarkan kepada Nabi SAW." Diriwayatkan oleh alBukhari.

Dalil meletakkan kedua-dua tangan di atas pusat pula hadis Wa'il bin Hujr yang berkata:

صليت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ووضع يده اليمنى على يده اليسرى على صدره.

Maksudnya: "Aku solat bersama Rasulullah SAW, baginda meletakkan tangan kanan baginda di atas tangan kiri di atas dada." Riwayat Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya.

Adapun hadis 'Ali RA yang berkata:

من السنة في الصلاة وضع الأكف على الأكف تحت السرة

Maksudnya: "Termasuk sunnah di dalam solat meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan yang satu lagi di bawah pusat" adalah hadis Lemah yang disepakati (dalam kalangan ulama) mendhoiefkannya, yang diriwayatkan oleh alDaraqutni dan alBaihaqi dari riwayat Abu Syaibah, Abd alRahman bin Ishak alWasiti, beliau seorang yang Dhoief dengan sepakat ulama. Kata para ulama: hikmah pada meletakkan sebelah tangan di atas sebelah satu lagi ialah ia lebih hampir kepada khusu' dan terhalang dari yg sia-sia. - tamat nukilan -

Sebahagian ulama lain seperti alSyaukani membantah penghujahan pandangan ulama mazhab Syafi'ie dengan hadis yang dikeluarkn oleh Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya dan beliau mensahihkannya dari hadis Wa'il bin Hujr yang berkata: "Aku pernah solat bersama Rasulillah SAW, baginda meletakkan tangan kanan baginda di atas tangan kiri di atas dada baginda." Beliau berkata: hadis ini tidak menunjukkan kepada pandangan yang mereka ambil. Ini kerana mereka berpandangan letakan tangan adalah di bawah dada seperti yang telah dijelaskan. Sedangkan hadis menjelaskan letakan kedua-dua tangan adalah di atas dada."

Cumanya, sekumpulan ulama' mazhab Syafi'ie seperti Syeikh alIslam Zakaria alAnsori RH menyebut bagi hadis ini ada satu riwayat lain dengan lafaz: "... di bawah dada baginda." Lalu hadis ini dijadikan penjelas kepada yang dimaksudkan dengan letak di atas dada, iaitulah di bawah dada bahagian atas pusat. Beliau menyebut di dalam Asna alMatolib: "Ibn Khuzaimah meriwayatkan di dalam Sahihnya daripada Wa'il bin Hujr: "Kami pernah solat bersama Nabi SAW baginda meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas dada." Iaitulah di hujung dada baginda sehingga jadilah tangan baginda di bawah dada dengan bukti terdapat riwayat yang menyebut di bawah dada baginda."

Namum, Fatwa di dalam Islamweb menyatakan mereka masih tidak ketemui riwayat ini dari sumber-sumber yang dicetak dan yang dihimpunkan.

Syeikah Dr Bakr Abu Zaid di dalam risalah kecilnya La Jadid Fi Ahkam alSolah menyatakan kawasan dada ini merangkumi bahagian atas pusat hingga ke bawah bahagian Nahr (kawasan antara bawah tengkuk dan dada).

 


Cetak  
Wallahu a'lam