Isu Lafaz Niat Solat

Soalan:

Dalam hadis dikhabarkan malaikat Jibril turun ajar Nabi waktu setiap solat, waktu awal dan akhir. Adakah Jibril ajar Nabi lafaz niat solat? hadith Nabi berhijrah tidak juga dinyatakan yang berhijrah pada masa itu melafazkan niat hijrah. Dari mana asal lafaz niat solat?

Jawapan:

Sabit di dalam hadis yang menunjukkan Jibril AS turun setelah berlaku peristiwa Isra’ dan Mikraj dan mengajar kepada Nabi SAW penetapan awal waktu solat dan akhir waktu solat bagi kelima-lima waktu solat. Namun di dalam hadis tidak dinyatakan sama sekali lafaz niat solat. Kerana itu lafaz niat solat tidak termasuk di dalam sunnah Nabi SAW dalam mengerjakan solat.

Kemudian soalan menyebut: “hadis Nabi berhijrah tidak juga dinyatakan yang berhijrah pada masa itu melafazkan niat hijrah.”

Jawapan:

Betul, tidak dinyatakan, kerana niat bukan terletak pada lafaz, sebaliknya niat adalah apa yang ada di dalam hati.

Kemudian soalan bertanya: “Dari mana asal lafaz niat solat?”

Jawapan:

Asal lafaz niat solat ini panjang ceritanya, iaitulah banyak dibahaskan oleh para ulama terutamanya dalam mazhab Syafie, dan ketika mereka membahaskan persoalan lafaz niat, mereka tidak maksudkan memasukkan dia ke dalam sunnah solat. Kerana itu kita akan tengak kebanyakan para ulama, setakat pemerhatian saya, kebanyakan para ulama mazhab Syafie, mereka hanya menggunakan perkataan يستحب yang boleh diterjemahkan sebagai “sesuatu yang digalakkan" atau "dianjurkan”, mereka tidak menggunakan istilah يسن yang bermaksud “disunatkan” atau “disunnahkan”. Walaupun saya tak nafikan يستحب boleh membawa maksud sunat, akan tetapi para ulama ini, mereka gunakan setiap perkataan itu, mereka letakkannya pada setiap persoalan dengan maksud tertentu. Mereka tidak gunakan perkataan يسن dalam bab lafaz niat, sebaliknya يستحب yang bermaksud digalakkan atau dianjurkan. Kalau adapun para ulama yang sebut يسن, mereka ada maksud tersendiri, iaitulah يسن pada mereka kadang-kadang bukan memaksudkan disunnahkan dalam ertikata ia sabit di dalam sunnah. Tetapi mereka maksudkan يسن iaitulah sesuatu yang dianjurkan kerana memiliki alasan.

Para ulama terlalu berhati-hati dalam persoalan ini. Kerana itu kita tidak nafikan, yang menyebut dan yang menganjurkan lafaz niat ini, kebanyakannya ulama dalam mazhab Syafie, namun untuk kita memahami maksud mereka, kita perlu memahami maksud setiap perkataan dari setiap mereka apa yang dimaksudkan oleh mereka. Kita juga tidak nafikan di kalangan ulama mazhab Syafie juga ada yang menulis kitab dan membantah pandangan yang begitu mendatangkan kesusahan kepada umat dalam persoalan lafaz niat ini. Apapun bagi seseorang yang tidak ada masalah pada niat, dia dah mengaji dan dah paham bagaimana tuntutan ibadah yang sebenar, maka tidak ada keperluan untuk dia melafazkan apa-apa niat sebelum dia memulakan solat.


Cetak  
Wallahu a'lam