Soalan:
Assalamualaikum ustaz saya ingin bertanya apakah hukum mengerakkan jari telunjuk saat tasyahud awal dan akhir adakah ia dari Rasulullah saw kerana ada sesetengah pendapat mengatakan ia bukan dari nabi saw ingin ustaz jelaskan dengan lebih lanjut.
Jawapan:
Keempat-empat Mazhab bersepakat adanya isyarat dengan jari telunjuk ketika bertasyahhdud di dalam solat dan hukumnya adalah Sunat disebabkan ada petunjuk dari beberapa hadis yang Sahih. Cumanya mereka berbeza pandangan bilakah isyarat itu dilakukan dan apakah isyarat beserta dengan gerakan ataupun tidak. Secara ringkas pandangan mazhab adalah seperti berikut:
Mazhab Hanafi: Isyarat dilakukan ketika ungkapan penafian, iaitulah ketika ungkapan لَا إِلَهَ, dan diletakkan jari telunjuk ketika ungkapan Ithbat, iaitulah إِلَّا الله. (Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiahnya)
Mazhab Maliki: Isyarat beserta gerakan ke kiri dan ke kanan secara berterusan. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil)
Mazhab Syafie: Isyarat ketika kalimah Ithbat iaitulah إِلّا الله, terus diangkat jari telunjuk sehingga salam tanpa digerakkan. (Lihat Mughniy al-Muhtaj)
Mazhab Hambali: Isyarat ketika menyebut Nama Allah. (al-Mardawi di dalam al-Insaf)
Namun begitu al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani RH menyebut: “Penetapan-penetapan dan kaifiat-kaifiat ini tidak ada asas di dalam Sunnah. Dan yang lebih hampir kepada kebenaran (dalam permasalahan ini menurut penilaian beliau) ialah Mazhab Hambali, sekiranya mereka tidak mengaitkan gerakan ketika menyebut nama Allah sahaja.” (Lihat Tamam al-Minnah)
Dalil dalam adanya gerakan jari telunjuk ketika al-Tasyahhud antaranya:
- Daripada Abdullah bin Zubair katanya:
ووضع يده اليسرى على ركبته اليسرى ووضع يده اليمنى على فخذه اليمنى وأشار بإصبعه
Mafhumnya: “(Di dalam al-Tasyahhud) Baginda meletakkan tangan kiri ke atas lutut kiri dan tangan kanan ke atas peha kanan, baginda membuat isyarat dengan jari (telunjuk) baginda.” (HR Muslim)
- Daripada Wail bin Hujr pula katanya:
ثم قعد وافترش رجله اليسرى ووضع كفه اليسرى على فخذه وركبته اليسرى وجعل حد مرفقه الأيمن على فخذه اليمنى ثم قبض اثنتين من أصابعه وحلق حلقة ثم رفع إصبعه فرأيته يحركها يدعو بها
Mafhumnya: “Kemudian baginda duduk (untuk bertasyahhud) dengan membentangkan kaki kiri, dan meletakkan tapak tangan kiri di atas peha dan lutut kiri, baginda menjadikan siku kanan baginda di bahagian atas peha kanan, kemudian baginda menggenggam dua, membuat bulatan (dengan jari telunjuk dengan Ibu jari), kemudian baginda mengangkat jari, daku melihat baginda menggerak-gerakkannya, baginda berdoa denganya.” (HR al-Nasaie. Dinilai soleh oleh Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, dan al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghaliil)