Soalan:
Assalamu’alaikum.. saya ingin bertanya hukum sebenar menggosok gigi di siang hari Ramadhan. Ada kata makruh, adakah sunat? apakah hukum sebenarnya? Terima kasih kepada Jabatan Mufti Perlis.
Jawapan:
الحمد لله وحده، والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، وبعد:
Sememangnya terdapat perbezaan pendapat ulama tentang hukum bersiwak selepas waktu zawal di siang hari puasa. Namun pandangan yang lebih kuat adalah yang mengatakan bersiwak hukumnya Sunat sama ada sebelum mahupun selepas waktu Zawal, di dalam bulan Ramadhan mahupun di luar bulan Ramadhan. Hal ini berdasarkan hadis dari ‘Amir bin Rabi’ah RA yang berkata:
رأيتُ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم ما لا أُحْصِي يَتسوَّكُ وهو صائم
Mafhumnya: “Saya melihat Rasulullah SAW dalam kekerapan yang tidak terkira bersiwak sedangkan baginda berpuasa.” (HR al-Tirmizi, dan dinilai Hasan oleh beliau)
Hadis ini tidak menyatakan sama ada sebelum mahupun selepas waktu Zawal. Sebaliknya pada kebiasaannya bersiwak dilakukan selepas dari waktu zawal. Ini kerana solat pada siang hari kebanyakannya dilakukan selepas waktu zawal, dan baginda menggalakkan bersiwak sebelum dari menunaikan solat.
Para ulama yang beranggapan makruh bersiwak selepas waktu zawal berdalilkan antaranya dengan hadis:
إِذَا صُمْتُمْ فَاسْتَاكُوا أَوَّلَ النَّهَارِ وَلا تَسْتَاكُوا آخِرَهُ
Mafhumnya: “Apabila kamu semua berpuasa, maka bersiwaklah pada awal waktu siang dan jangan bersiwak pada penghujungnya.”
Akan tetapi hadis ini Dhoief (Lemah) seperti yang dihukumkan oleh beberapa ulama hadis antara mereka ialah al-Zahabi di dalam Mizan al-I’tidal dan al-Daraqutni di dalam Sunannya. Oleh yang demikian hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah. Selain itu hujah berikutnya yang dijadikan sandaran ialah hadis:
لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
Mafhumnya: “Benar-benarlah bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah berbanding bau kasturi.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian sebahagian para ulama berpandangan perbuatan bersiwak akan menghilangkan bau mulut yang terjadi kerana kesan dari ketaatan kepada Allah SWT dengan berpuasa, bau itu pula lebih baik di sisi Allah SWT berbanding bau kasturi.
Namun alasan ini tidak kuat, kerana bau mulut orang yang berpuasa tetap tidak akan hilang kerana bau itu sendiri datang dari perut yang kosong. Maka tujuan bersiwak pada ketika itu bukan menghilangkan bau mulut sebaliknya bertujuan membersihkan gigi. Justeru pandangan yang lebih kuat dalam permasalahan ini pada penilaian kami adalah pandangan ulama yang mengatakan bersiwak pada siang hari Ramadhan hukumnya adalah sunat, sama ada sebelum atau selepas waktu Zawal.