SDI 1353: Hukum Melewatkan Mandi Junub Dalam Bulan Puasa

Soalan:

Jika melakukan jimak pada malam hari dan tertidur sehingga siang hari sekitar pukul 8-9pg.Mandi wajib dilakukan selepas bangun tidur.Adakah puasa sah atau batal pada hari itu?Sekian

 

Jawapan:

  1. Jika sengaja melewatkan solat Subuh sehingga terkeluar dari waktunya maka perbuatan ini termasuk dosa besar. Wajib menunaikan solat Subuh tersebut ketika sedar dari tidur dan bertaubat dari kesalahan tersebut. Jika terlewat kerana tidak sengaja, Wajib juga tunaikan solat ketika terjaga berdasarkan hadis Nabi SAW:

إذا نام أحدكم عن صلاة أو نسيها فليصلها إذا ذكرها لا كفارة لها إلا ذلك

Mafhumnya: “Apabila seseorang daripada kamu tertidur dari menunaikan sesuatu solat atau lupa menunaikannya, maka hendaklah dia tunaikan apabila mengingatinya, tidak ada kaffarah lain lagi selain dari yang itu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

  1. Anda boleh meneruskan puasa dan puasa anda SAH.

Inilah pandangan majoriti fuqaha dari keempat-empat Mazhab termasuk al-Thauri, al-Auza’ie, al-Laith, Ishak, Abu ‘Ubaidah, dan Ahli Zahir. Di kalangan para sahabat Nabi SAW yang berpandangan seperti ini ialah ‘Ali bin Abi Tolib, Ibn Mas’ud, Zaid, Abu al-Darda’, Abu Zar, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, ‘Aisyah dan Ummu Salamah R’anhum ajma’ien. Hal ini berdasarkan hadis dari ‘Aisyah dan Ummu Salamah RA:

أنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم كان يُصبح جُنُبًا من جماعٍ ثم يغتَسِلُ ويصوم

Mafhumnya: “Bahawa Nabi SAW pernah berada pada waktu Subuh dalam keadaan berjunub disebabkan jimak, kemudian baginda mandi dan berpuasa.” (HR al-Bukhari dan Muslim). Hadis riwayat Imam Muslim ada tambahan lafaz: ولا يقضي yang bermaksud: “dan baginda tidak mengqadhanya.”

Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis dari ‘Aisyah RA yang berkata:

أَنَّ رَجُلًا جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَفْتِيهِ وَهِيَ تَسْمَعُ مِنْ وَرَاءِ الْبَابِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ تُدْرِكُنِي الصَّلَاةُ وَأَنَا جُنُبٌ أَفَأَصُومُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا تُدْرِكُنِي الصَّلَاةُ وَأَنَا جُنُبٌ فَأَصُومُ فَقَالَ لَسْتَ مِثْلَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَعْلَمَكُمْ بِمَا أَتَّقِي

Mafhumnya: “pernah seorang lelaki datang dan meminta fatwa dari Nabi SAW, ketika itu ‘Aisyah mendengar perbualan mereka dari belakang pintu rumah, lelaki itu bertanya: “Wahai Rasulullah, ketika waktu solat (subuh), saya berada dalam keadaan berjunub, bolehkah saya berpuasa?” Jawab baginda SAW: “Saya juga pernah berada dalam keadaan berjunub ketika waktu solat (subuh) tiba, dan saya tetap berpuasa.” Lelaki tadi berkata: “Anda tidak sama seperti kami wahai Rasulullah, Allah telah mengampunkan dosa-dosa mu yang dahulu mahupun yang akan datang.” Lalu baginda berkata: “Demi Allah sesungguhnya daku amat-amat berharap menjadi orang yang paling  takut kepada Allah dan yang paling tahu apakah cara untuk bertaqwa kepadaNya.”

Kata al-Imam al-Nawawi:

"أَجْمَعَ أَهْلُ هذه الأَمْصَار على صِحَّة صوْم الْجُنُب, سواءٌ كَان من احتِلام أَو جماعٍ ... وَإِذَا انقطع دم الحائض وَالنُّفَسَاء فِي اللَّيْل ثُمَّ طَلَعَ الْفَجر قَبْل اغْتِسَالهما صحَّ صَوْمُهمَا, وَوَجَبَ عليهِمَا إتمامُه, سَوَاء تركت الغُسْل عَمْدًا أَو سَهْوًا بِعُذْرٍ أَمْ بِغَيْرِهِ, كَالْجُنُبِ. هَذَا مَذهبُنَا وَمَذْهَب الْعُلَمَاء كَافَّة

Maksudnya: “Telah sepakat para ulama sahnya puasa orang yang berjunub, sama ada disebabkan mimpi atau jimak, inilah pandangan majoriti Sahabat dan Tabi’ien… dan sekiranya sesuatu darah haid atau nifas berhenti pada malam hari, apabila terbit fajar orang tersebut masih belum mandi, Sah puasa orang tersebut, dan dia wajib menyempurnakan puasa. Hal ini sama ada dia sengaja melewatkan mandi atau terlupa, sama ada ada keuzuran ataupun tidak. Inilah mazhab kami (al-Syafie) dan mazhab para ulama kesemuanya.” (Syarah Sahih Muslim)


Cetak  
Wallahu a'lam