SDI 1356: Korban Seekor Kambing Untuk Satu Ahli Keluarga

Soalan:

Seekor kambing yang dikorbankan memadai untuk diri pelakunya sahaja atau untuk semua ahli keluarganya?

 

Jawapan:

 

Sesuatu korban memadai untuk sipelaku dan ahli keluarganya. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah daripada ‘Ato’ bin Yasar yang berkata:

سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوبَ الأَنْصَارِيَّ كَيْفَ كَانَتْ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ فَقَالَ : كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ ، فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ

Mafhumnya: “Saya pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori, bagaimana korban di zaman Rasulullah SAW? Beliau menjawab: Dahulunya seseorang lelaki melakukan korban dengan seekor kambing untuk dirinya dan ahli keluarganya, mereka makan daging korban tersebut dan memberi kepada orang lain juga.” (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)

Al-Mubarakfuri berkata di dalam Tuhfah al-Ahwazi:

هذا الحديث نَصٌّ صَرِيحٌ فِي أَنَّ الشَّاةَ الْوَاحِدَةَ تُجْزِئُ عَنْ الرَّجُلِ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَإِنْ كَانُوا كَثِيرِينَ ، وَهُوَ الْحَقُّ

Mafhumnya: “Hadis ini merupakan nas yang jelas menunjukkan seekor kambing memadai untuk seorang lelaki dan ahli keluarganya, sekalipun mereka ramai. Dan perkara ini adalah benar.”

Termasuk di dalam ahli keluarga ialah: Isteri, anak-anak, qarabah yang tinggal bersama dan nafkah mereka ditanggung oleh tuan rumah, atau mereka berkongsi nafkah, makan dan minum bersama.


Cetak  
Wallahu a'lam