Wednesday, October 5, 2011
Soalan:
Bolehkah melakukan korban di tempat lain atas alasan sedekah atau disebabkan harga binatang korban yang terlampau tinggi di tempat sendiri.
Jawapan:
Sunnah dalam melakukan korban, ia dilakukan di negeri kita sendiri. Jika korban dilakukan di tempat lain, ia akan meluputkan beberapa kebaikan dari ibadah korban itu sendiri. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:
“Terdapat beberapa kumpulan manusia yang mencurahkan kemampuan harta mereka untuk melakukan korban di tempat lain. Perbuatan ini merupakan satu kekeliruan. Sebahagian mereka menyerahkan wang kepada badan yang menghimpunkan bantuan untuk dilakukan korban di negeri lain. Korban seperti ini tidak dilakukan dengan sempurna. Korban adalah syiar yang sepatutnya dilakukan di setiap negeri. Termasuk di dalam nikmat Allah AWJ, dimana Dia telah mengkhususkan untuk para jemaah haji menyembelih korban sebagai beribadah kepada Allah pada hari raya korban, maka Allah juga mensyariatkan bagi yang tidak menunaikan haji melakukan perkara yang sama dengan menyembelih korban, agar mereka berkongsi dengan para jemaah haji dalam syiar tersebut. Allah berfirman (mafhumnya:) “dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi'ar Allah…” oleh yang demikian, apabila ini merupakan maksud pensyariatan korban, maka kami katakan bahawa jangan melakukan korban di luar dari negeri anda, sebaliknya lakukan sembelihan di negeri anda sendiri, tegakkan syiar ini, adapun korban dalam bentuk menghantar wang ke tempat lain ia menyalahi sunnah (مخالف للسنة), perbuatan seperti ini menyebabkan luputnya kebaikan yang banyak seperti:
1. Kurangnya syiar ibadah korban di tempat tersebut.
2. Hilangnya ibadah sembelihan, dimana orang yang melakukan korban disyariatkan untuk terbabit secara langsung dalam penyembelihan tersebut, sekalipun hanya dengan menyaksikannya. Ini semua akan hilang jika ia dilakukan di negeri lain.
3. Tidak dapat menyebut nama Allah ketika sembelihan dilakukan.
4. Tidak dapat memakan sebahagian dari daging korban tersebut. Sedangkan Allah berfirman tentang ibadah korban (mafhumnya:) “Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah juga untuk dimakan orang-orang yang susah lagi fakir.” (al-Hajj: 28). Allah berfirman lagi (mafhumnya:) “Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.” (al-Hajj: 36). Maka ibadah korban dimulakan dengan kita memakannya terlebih dahulu, kerana itu sebahagian ulama berpandangan memakan sendiri ibadah korban itu wajib, sepertimana wajib mensedekahkannya (berdasarkan pandangan sebahagian ulama), demikian juga wajib memakannya. Sudah tentu perkara ini akan terluput, jika korban dilakukan di negeri lain.
5. Tidak dapat membahagi-bahagikan daging seperti yang dituntut. Bahkan kita tidak tahu korban kita yang dilakukan di tempat lain itu bagaimana dibahagikan.
6. Manfaat daging korban tidak akan diperolehi oleh penduduk negeri sendiri, seperti hadiah kepada jiran tetangga dan sedekah kepada orang fakir miskin. Semua ini akan hilang disebabkan kita melakukan korban di Negara lain.
7. Tidak dapat dipastikan apakah ibadah korban ini dilakukan dalam bentuk yang sempurna atau tidak. Apakah sembelihan itu dilakukan pada waktunya seperti yang dituntut? semua ini boleh berlaku.
Oleh yang demikian, kami menasihati agar jangan dikeluarkan harga korban untuk dilakukan di negeri/Negara lain, sebaliknya ibadah korban hendaklah dilakukan di negeri kita sendiri. Kami juga menasihati orang-orang yang memiliki kelebihan harta untuk mengeluarkan sedekah (selain korban) kepada umat Islam yang memerlukan walau dimana sahaja mereka berada di Negara umat Islam. Agar ibadah korban dilakukan tanpa ada unsur melampau dan mengambil ringan. (Terjemahan dan olahan semula dari al-Liqa’ al-Syahri. Liqa’ bilangan 26)
Al-Syeikh Soleh al-Fauzan pula berkata:
“Wahai sekelian umat Islam: Ibadah korban adalah sunat yang dituntut bagi sesiapa yang mampu melakukannya. Ia disembelih di rumah orang yang melakukan korban tersebut, mereka makan dagingnya dan menghadiahkan sebahagian lagi kepada jiran-jiran mereka dan mensedekahkan juga kepada orang-orang miskin yang berhampiran dengan mereka. Adapun apa yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam dengan menyerahkan harga binatang korban kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan untuk dilakukan korban tersebut di luar dan jauh dari orang yang melakukan korban tersebut, perbuatan ini menyalahi sunnah. Ia termasuk mengubah-suaikan ibadah. Maka yang wajib jangan melakukan urusan seperti ini. Korban hendaklah dilakukan di rumah sendiri, atau di negeri orang yang melakukan korban itu sendiri, seperti yang ditunjukkan di dalam sunnah, dan seperti yang diamalkan oleh umat Islam di zaman Nabi SAW, kami bimbang perkara ini akan termasuk di dalam bid’ah. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu dari urusan agama ini yang bukan darinya maka perkara itu adalah tertolak.” Sabda baginda juga: “jauhi kamu semua dari perkara yang diada-adakan, kerana sesungguhnya setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu adalah sesat.” Sesiapa yang hendak bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan, maka pintu bersedekah sentiasa terbuka, akan tetapi jangan diubah sesuatu ibadah (seperti ibadah korban) dari bentuk yang disyariatkan dengan nama sedekah, firman Allah SWT (mafhumnya:) “Dan apa-apa yang dibawakan kepada kamu oleh Rasul itu maka terimalah, dan apa-apa yang dilarangnya jauhilah, dan bertakwalah kamu semua kepada Allah, kerana Allah bersangatan azabNya.” (al-Hasyr:7). (Majalah al-Dakwah: bilangan 1878, tarikh: 27/11/1423H)