Friday, October 28, 2011
Soalan:
Apakah hukum membaca Basmalah sebelum menyembelih korban berdasarkan pandangan empat mazhab dan apa pula pandangan syeikh Soleh 'Uthaimin RH?
Jawapan:
Para ulama berbeza pandangan berkaitan hukum membaca Basmalah sebelum menyembelih korban. Pandangan tersebut terbahagi kepada tiga:
1. Membaca Basmalah adalah Sunat. Pandangan ini mewakili Mazhab al-Syafie.
2. Membaca Basmalah adalah syarat sesuatu sembelihan menjadi halal. Namun jika terlupa membacanya tidak mengapa. Inilah pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali.
3. Membaca Basmalah adalah syarat, dan syarat ini tidak tergugur dengan disebabkan terlupa, sengaja mahupun jahil. Pandangan ini mewakili mazhab Zahiri, salah satu riwayat dari Imam Malik dan Imam Ahmad. Ia juga merupakan pandangan sekumpulan generasi Salaf, dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH. Al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin berkata: “Inilah pandangan yang benar”. Beliau menyambung dengan berkata:
" واستدل هؤلاء بعموم قوله تعالى : ( وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ ) الأنعام/ 121 ، وبأن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ( ما أنهر الدم وذُكر اسم الله عليه فكُل ) فشرط لحل الأكل التسمية ، ومعلوم أنه إذا فقد الشرط فقد المشروط ، فإذا فقدت التسمية فإنه يفقد الحل ، كسائر الشروط . ولهذا لو أن إنسانا صلى وهو ناسٍ أن يتوضأ ، وجبت عليه إعادة الصلاة ، وكذلك لو صلى وهو جاهل أنه أحدث بحيث يظن أن الريح لا تنقض الوضوء ، أو أن لحم الإبل لا ينقض الوضوء مثلا ، فعليه الإعادة ، لأن الشرط لا يصح المشروط بدونه "
Mafhumnya: “Para ulama ini berdalilkan dengan keumuman firman Allah: “Dan jangan kamu makan apa-apa yang tidak disebut nama ke atasnya.” Surah al-An’am: 121. Demikian juga Nabi SAW bersabda: Apa yang ditumpahkan darah (disembelih) dan disebut nama Allah ke atasnya, maka makanlah.” Maka baginda mensyaratkan sembelihan itu menjadi halal dimakan dengan menyebut basmalah. Dan telah diketahui bahawa jika gugurnya syarat maka gugurlah perkara yang disyaratkan, maka apabila gugurnya basmalah, maka gugur halalnya, sama seperti syarat-syarat yang lain. Oleh yang demikian sekiranya seseorang menunaikan solat dalam keadaan terlupa berwudhu, wajib dia mengulagi solat tersebut. Sama keadaannya sekiranya seseorang itu solat dalam keadaan jahil melepaskan angin itu membatalkan wudhu… dia wajib mengulangi solatnya. Ini kerana sesuatu syarat menyebabkan tidak sah sesuatu ibadah jika tanpanya.” (al-Syarh al-Mumti’: 6/358. Lihat juga al-‘Inayah Syarh al-Hidayah: 9/489, al-Majmu’: 8/387, al-Mughniy: 9/309))