Boleh Puasa Penuh Sebulan Muharram

DJ Atikah: “Ada soalan tambahan sikit dari saya… jadi kalau 9, 10, macam ustaz kata kalau dia tak boleh 9 dia pilih hari lain. Tapi kalau dia dah mula start puasa dari 1 Muharram sampai 10 haribulan Muharram, macamana ustaz?”

Jawapan:

Sebenarnya isu puasa bermula dari awal Muharram, sebenarnya hukumnya tidak ada masalah. Tiada masalah untuk start puasa bermula 1 Muharram, katakan orang itu rajin berpuasa. Tadi kita ada cakap tentang orang yang malas berpuasa. Ada orang yang rajin berpuasa seperti orang tertentu yang memang mereka nak dan larat berpuasa dari 1 hingga 10 Muharram, terus ke 11, 12, 13 dan seterusnya, kami larat nak puasa, boleh ka ustaz?

Jawapannya, puasa! boleh dan tak ada masalah. Cumanya ada isu sikit berkaitan orang yang berpuasa penuh dalam bulan Muharram.

Wallahu a’lam, setakat semakan dan pembacaan, saya tengak para ulama kemudian ini seperti ada berbeza pandangan. Sekumpulan ulama seperti tidak suka orang yang berpuasa penuh dalam bulan Muharram disebabkan perkataan ‘Aisyah RA yang mengatakan Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh melainkan Ramadan. Jadi atas perkataan ‘Aisyah itu, sebahagian ulama kemudian ini mereka berpandangan kita jangan puasa penuh, sebaliknya kita puasa pada kebanyakan hari, barangkali 25 hari, barangkali 27 hari, barangkali 28 hari. Ini pandangan yang pertama.

Manakala pandangan kedua, mereka tidak bersetuju dengan pandangan pertama itu. Mereka kata pasai apa kita nak halang orang Islam dari melakukan ketaatan? Perkataan ‘Aisyah RA bukan bermaksud tidak boleh puasa penuh sebulan Muharram. Perkataan ‘Aisyah hanya menunjukkan apa yang biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah pula biasa meninggalkan sesuatu yang afdhal kerana bimbang akan menyusahkan umat. Jadi perkataan ‘Aisyah itu hanya menunjukkan apa yang biasa dilakukan oleh Rasulullah. Iaitulah Rasulullah SAW tidak berpuasa penuh sebulan melainkan dalam bulan Ramadan, tetapi bukan bermakna tidak boleh berpuasa sebulan dalam bulan Muharram.

Antara ulama yang sebut pandangan yang kedua ini, saya sendiri mendengar kuliah beliau, ketika beliau mensyarahkan hadis-hadis di dalam Jami; al-Tirmizi, beliau ialah al-Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti, dia kata: “Sesiapa yang mengatakan tidak boleh berpuasa penuh dalam bulan Muharram, orang yang seperti ini perlu disekat dari mengeluarkan pandangan.” Dia marah sesiapa yang tak bagi puasa penuh sebulan Muharram. Dia kata boleh puasa penuh dalam bulan Muharram, dia kata tak ada ulama awal yang tegah.

Jadi, sebab itu saya kata ada dua pandangan. Saya wallahu a’lam, secara peribadi lebih cenderung kepada pandangan yang kedua, yang mengatakan tak ada masalah untuk berpuasa penuh dalam bulan Muharram bahkan ia suatu yang disunatkan berdasarkan hadis: أفضل الصيام بعد رمضان صيام شهر الله المحرم “Puasa yang paling utama selepas Ramadan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram.”

Kalau ada orang tanya: “Ustaz Nabi SAW buat macamana?” Jawabnya: “Nabi tidak berpuasa penuh.” Tetapi boleh tak kami puasa penuh sebulan Muharram? jawabnya boleh! Sepertimana tak ada riwayat Nabi banyak menunaikan solat sunat antara Zohor dan Asar. Tetapi boleh tak kita menunaikan solat sunat antara Zohor dan Asar? Jawabnya boleh, kerana keumuman perintah memperbanyakkan amalan solat. Ini kerana manusia tak sama kerajinannya seperti Nabi Muhammad. Baginda menunaikan solat malam sampai bengkak-bengkak kaki. Kita tak boleh nak sembahyang sampai begitu. Sembahyang dua rakaat, lima minit, kita tidur lima jam.

Jadi ada waktu kita rajin, ada waktu kita perlukan mempertingkatkan amalan. Dalam Muharram inilah ada orang tertentu yang hendak berpuasa banyak. Maka wallahu a’lam, saya lebih cenderung memegang pandangan ulama yang mengatakan tak ada masalah untuk seseorang berpuasa penuh dalam bulan Muharram bagi merebut kelebihan dan kebaikan yang ada dalam bulan Muharram.


Cetak  
Wallahu a'lam