Friday, June 24, 2011
Soalan:
Assalamu’alaikum warahmatullah.
Jawapan:
Assalamu’alaikum warahmatullah.
Benarkah baru-baru ini saya difahamkan jika kita solat jemaah 2 orang (seorang Imam dan seorang Makmum) kedudukan imam dan makmum adalah sama baris tidak perlu berdiri ke belakang sedikit.
Jawapan:
Isyarat Hadis ada menunjukkan jemaah yang terdiri dari seorang makmum dan seorang Imam, Makmum itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam tanpa perlu ke belakang sedikit. Antara hadis yang dimaksudkan, iaitulah sebuah hadis yang panjang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya dari Jabir bin ‘Abdillah yang berkata:
ثمَّ جِئْتُ حَتَّى قُمْتُ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَ بِيَدِي فَأَدَارَنِي حَتَّى أَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ ثُمَّ جَاءَ جَبَّارُ بْنُ صَخْرٍ فَتَوَضَّأَ ثُمَّ جَاءَ فَقَامَ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيْنَا جَمِيعًا فَدَفَعَنَا حَتَّى أَقَامَنَا خَلْفَهُ
Mafhumnya: “…kemudian saya datang dan berdiri sebelah kiri Rasulullah SAW (ketika baginda menunaikan solat), lalu baginda memegang tangan saya, dan menarik saya sehingga baginda menjadikan saya berdiri di sebelah kanan baginda, kemudian datang Jabbar bin Sakhr, dia berwudhu, kemudian dia berdiri di sebelah kiri Rasulullah SAW , lalu Rasulullah SAW memegang tangan kami berdua dan menolak kami berdua sehingga baginda menjadikan kami berdiri di belakang baginda (dalam satu saf)…” (Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya. Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq)
Berdasarkan hadis ini sebahagian ulama berpandangan jemaah yang terdiri dari seorang Imam dan seorang Makmum, Makmum hendaklah berdiri dalam satu Saf sebelah kanan Imam tanpa perlu ke belakang sedikit.
Namun sebahagian ulama dalam Mazhab Syafie berpandangan seorang Makmum walaupun seorang hendaklah berdiri ke belakang sedikit kerana Istishab (الإستصحاب) kedudukan asal atau hukum asal seorang Imam yang hendaklah berada terkehadapan daripada Makmum.