Bila Tamatnya Waktu 'Isya?

Thursday, July 2, 2009 



Sebahagian ulama membahagikan waktu solat Isyak kepada waktu ikhtiariy (الإختياري) dan waktu al-Idhtiroriy (الإضطراري). Waktu al-Ikhtiyari bagi solat ‘Isyak ialah sehingga sebahagian malam atau bermula waktu 1/3 malam. Manakala waktu al-Idhtiroriy pula berlanjutan sehingga terbitnya fajar sidik.

Maksud waktu al-Ikhtiariy: ialah waktu yang dibenarkan solat di dalamnya tanpa makruh, sama ada di awal waktu ikhtiyari ini atau di akhirnya.

Manakala maksud waktu al-Idhtiroriy: ialah waktu yang tidak boleh dilewatkan solat sehingga masuk waktunya melainkan bagi orang-orang yang berada dalam keuzuran seperti orang gila yang normal setelah berlalunya waktu al-Ikhtiyariy, wanita yang suci daripada haid selepas waktu ikhtiyariy, orang yang tertidur dan terjaga selepas waktu ikhtiyariy, terlupa dan teringat selepas waktu ikhtiyariy, orang kafir yang baru memeluk islam atau budak yang baru baligh selepas waktu ikhtiyariy.

Ini menunjukkan tidak boleh melewatkan solat ‘isya sehingga habisnya waktu al-Ikhtiyari melainkan bagi orang-orang yang memiliki keuzuran seperti yang disebut di atas berdasarkan pandangan sebahagian ulama.

Pandangan ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ

Maksudnya: “Dan waktu solat ‘isya ialah sehingga sebahagian malam yang pertengahan.” Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut, maksud hadith ini ialah: “waktu menunaikannya dalam waktu al-Ikhtiyariy.” (5/111)

Badan Fatwa Arab Saudi (Mazhab Hambali di dalam fatwa mereka menyebut:
 
ووقت العشاء من غيبوبة الشفق الأحمر إلى نصف الليل ، وهذا وقت الاختيار لها ، ووقت الاضطرار من نصف الليل إلى طلوع الفجر

Maksudnya: “Waktu ‘isya itu bermula dari luputnya awan merah (habis waktu maghrib) sehingga pertengahan malam, ini adalah waktu al-Ikhtiyar, manakala waktu al-Idhthiror bermula dari sebahagian malam sehingga terbitnya fajar.” (6/113)
 
Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz menyebut:

فإذا غاب الشفق - وهو : الحمرة في جهة المغرب - انتهى وقت المغرب ، ودخل وقت العشاء إلى نصف الليل ، وما بعد نصف الليل وقت ضرورة لوقت العشاء ، فلا يجوز التأخير لما بعد نصف الليل ولكن ما بين غروب الشفق إلى نصف الليل كله وقت اختياري للعشاء ، فلو صلاها بعد نصف الليل أداها في الوقت ، لكن يأثم ؛ لأنه أخرها إلى وقت الضرورة

Maksudnya: “Apabila telah hilangnya awan merah – iaitu awan merah sebelah barat – tamatlah waktu maghrib dan masuknya waktu ‘isya sehingga pertengahan malam. Dan apa yang selepas pertengahan malam adalah waktu dhorurah (al-Idhthirar) bagi solat ‘isya, tidak boleh melewatkan solat ‘isya sehingga selepas pertengahan malam, antara hilangnya awan merah sehingga pertengahan malam itu adalah waktu al-Ikhtiyariy bagi solat ‘isya, jika seseorang menunaikan solat ‘isya selepas pertengahan malam (selepas tamatnya waktu al-Ikhtiyariy) dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya, akan tetapi dia dikira berdosa, kerana melewatkan solat ‘isya sehingga masuk waktu dharurah.” (Fatwa Bin Baz 10/384)
 
Sekalipun pandangan ini berbeza dengan pandangan mazhab Syafie, namun ia wajar diberi perhatian kerana keluar dari khilaf itu suatu yang dianjurkan, agar tidak terjebak dalam perkara yang terlarang. 

Cetak  
Wallahu a'lam