SDI 1406: Perlukah Masbuk Ikut Sujud Sahwi Imam?

Soalan: 
 
Kalau saya masbuk dalam satu-satu sembahyang, Tiba-tiba Imam sujud sahwi di akhir sembahyang. Apakah saya perlu ikut sujud sahwi imam?

Jawapan:

Makmum muwafiq wajib mengikut Imam dalam sembahyang jemaah atas keumumam sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ , فَلا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ , فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا , وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ , وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا ) رواه البخاري (722) ومسلم (414)

Maksudnya: "Sesungguhnya dijadikan Imam itu untuk diikuti, maka jangan kamu berbeza dengannya. Jika dia rukuk, maka rukuklah kamu semua, Jika dia menyebut sami'allahu liman hamidah, jawablah Rabbanaa lakal hamd, (demikian juga) jika dia sujud, maka sujudlah kamu semua." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun bagi masbuk, hendaklah mengikut imam, jika imam sujud sahwi sebelum salam. Kalau imam melakukan sujud sahwi selepas salam, dia tak perlu mengikut sujud sahwi imam disebabkan keuzuran, kerana tidak mungkin dia salam bersama Imam lalu sujud sahwi sedangkan dia masih ada rakaat yang tidak disempurnakannya.

Jika seseorang masbuk menyertai solat jamaah pada rakaat ketiga contohnya, dalam keadaan Imam terlupa tahiyyat awal yang tidak disertainya. Jika imam sujud sahwi selepas salam, makmum tersebut tidak perlu melakukan sebarang sujud sahwi seperti penjelasan di atas. Jika imam melakukan sujud sahwi sebelum salam, hendaklah makmum masbuk tersebut sujud bersama imam sekalipun dia tidak melakukan kesalahan bersama imam.
 
Bagi makmum yang masbuk pada rakaat kedua, lalu imam terlupa melakukan tahiyyat awal dan dia bersama imam ketika itu. Jika imam sujud sahwi selepas salam, makmum masbuk tersebut tidak perlu sujud sahwi mengikut imam, sebaliknya terus bangun dan lakukan sujud sahwi di akhir solatnya.

Cetak  
Wallahu a'lam