Solat Jenazah Ghaib (صلاة الغائب)  

Solat Ghaib (صلاة الغائب)
 
Ulama mazhab Syafie dan Hambali berdasarkan zahir pandangan beliau, menyatakan disyariatkan solat jenazah ghaib (pandangan ini berbeza dengan Mazhab Hanafi dan Maliki yang mengatakan solat ghaib tidak disyariatkan).
 
Dalil ulama mazhab Syafie dan Hambali adalah hadis alBukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA:
 
أن النبي صلى الله عليه وسلم نعى النجاشي في اليوم الذي مات فيه، وخرج بهم إلى المصلى فصف بهم وكبر عليه أربعاً.
 
Maksudnya: "Bahawa Nabi SAW menyampaikan berita kewafatan Najashi (pemimpin Habasyah) pada hari kewafatan Najashi. Baginda membawa para sahabat ke musalla (tempat solat jenazah), menjadikan mereka berada di dalam saf dan baginda bertakbir empat kali (mendirikan solat jenazah)."
 
Jenazah Najashi ketika itu berada di Habashah, Baginda SAW dan para Sahabat menunaikan solat di Madinah. 
 
Ramai di kalangan ulama menyatakan boleh tunaikan solat jenazah ghaib ini adalah untuk individu yang banyak berbakti kepada masyarakat, seperti ulama, para pemimpin dan seumpamanya. Solat jenazah sama ada yang ghaib atau hadir, disyaratkan hendaklah dilakukan setelah pasti jenazah tersebut telah dimandikan.

Cetak  
Wallahu a'lam