SDI 1409: Kemusykilan Tentang Solat Istikharah Dan Kedudukan Doa Istikharah

Friday, September 26, 2008

 

Soalan: 
 
Assalamualaikum,

1. Apakah perlu kita tidur dahulu sebelum solat isthikharah (spt yg digalakkan sblm solat Tahajud) ?
2. Bolehkah solat isthikharah dilakukan pada bila2 masa? Apakah bacaan yg sesuai selepas fatihah?
3. Doa selepas solat isthikharah lebih afdhal dibaca sewaktu dlm sujud terakhir , selepas tahiyat akhir sblm salam ataupun selepas memberi salam? (kerana kita hanya akan melafaz/mengingati ttg perkara yg kita mohon pentunjuk itu ketika mbaca doa tersebut : "Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..)

Sekian.

Jawapan:

1. Tidak ada waktu khusus bagi solat Istikharah. Boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Cuma kalau seseorang itu memilih waktu yang mustajab untuk melakukan solat istikharah ia adalah suatu pilihan yang baik. Antara waktu mustajab itu ialah 1/3 akhir malam berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah RA.
ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة إلى سماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر, فيقول: من يدعوني فأستجيب له, من يسألني فأعطيه, من يستغفرني فأغفرله

Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 akhir malam pada setiap malam, lalu berfirman: “Sesiapa yang memohon kepada aku (ketika ini), aku akan memperkenankannya, sesiapa yang meminta kepada ku (ketika ini), aku akan memberikannya, sesiapa yang memohon ampun kepadaku (ketika ini) aku akan mengampunkannya.”

Maka jika ada keperluan yang mendesak untuk dilakukan segera solat istikharah itu, lakukanlah ia pada waktu-waktu yang dibenarkan solat. Namun jika ada kelapangan untuk melakukannya, lakukanlah ia pada waktu yang mustajab dan jauh dari waktu yang dilarang. (Sila rujuk kitab al-Syeikh ‘Adnan Muhammad ‘Ar’uur, Thalatha Solawat Mahjurah, Dar al-Tabi’ien bi al-Riyadh, m.s. 41-42)

2. Adapun tentang bacaan selepas al-Fatihah, dia boleh membaca apa-apa surah ataupun ayat al-Quran yang mudah baginya dan sesuai.

3. Doa bagi solat sunat Istikharah yang diajarkan oleh Nabi SAW tempatnya adalah selepas daripada salam berdasarkan sabdaan baginda SAW:

فليركع ركعتين من غير فريضة ثم ليقل...

Maksudnya: “(orang yang punyai hajat untuk beristikharah) hendaklah dia solat dua rakaat sunat, kemudian dia membaca… (doa yang diajarkan oleh Nabi SAW)” (HR al-Bukhari, Ahmad dan selain mereka)

Bukti dalam perkara ini:

Pertama: Perkataan Nabi SAW: “Hendaklah dia solat dua rakaat sunat…” yakni setelah selesai dua rakaat.

Kedua: Perkataan Nabi SAW: “kemudian membaca doa (yang diajar).” di mana perkataan ثُمَّ yang bermaksud kemudian menunjukkan ia dilakukan selepas selesai solat dan berturutan (lepas solat). Namun ada juga pandangan ulama yang mengatakan doa itu dibaca sebelum salam. Akan tetapi berdasarkan pilihan al-Syeikh ‘Adnan Muhammad ‘Ar’uun adalah seperti yang saya nyatakan di atas.

Cetak  
Wallahu a'lam