Solat Tarawih Bagi Yang Bermusafir

Friday, September 19, 2008

 
Sebahagian orang ada yang beranggapan solat malam tidak disunatkan bagi orang-orang yang berada dalam permusafiran. Kefahaman sebegini tidak tepat. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat malam samaada baginda bermusafir taupun tidak. termasuk di dalam solat malam ini ialah Solat Tarawih di dalam bulan Ramadhan. al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn ‘Omar R’anhuma yang berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً ، صَلَاةَ اللَّيْلِ ، إِلَّا الْفَرَائِضَ ، وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW menunaikan solat sunat malam dengan melakukan isyarat ketika bermusafir di atas tunggangannya kemana sahaja arah tunggangannya, melainkan solat fardhu, dan baginda juga menunaikan solat witir di atas tunggangannya.”

Al-Imam al-Bukhari juga meriwayatkan daripada Salim bin Abdillah bin ‘Omar R.’anhuma yang berkata:

كَانَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يُصَلِّي عَلَى دَابَّتِهِ مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُسَافِرٌ ، مَا يُبَالِي حَيْثُ مَا كَانَ وَجْهُهُ . قَالَ ابْنُ عُمَرَ : وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَبِّحُ عَلَى الرَّاحِلَةِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ ، وَيُوتِرُ عَلَيْهَا ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يُصَلِّي عَلَيْهَا الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya: “Adalah Abdullah bin ‘Omar r.’anhuma menunaikan solat sunat malam di atas tunggangannya sedangkan dia dalam permusafiran, tanpa beliau endahkan kearah mana beliau menghadap. Berkata Ibn ‘Omar: Rasulullah SAW menunaikan solat sunat di atas tunggangan baginda, kearah mana ia menghadap, baginda menunaikan witir di atasnya, dan baginda tidak menunaikan solat yang wajib di atas tunggangannya.”

Nabi SAW apabila bermusafir, baginda hanya meninggalkan solat sunat rawatib iaitulah qabliyyah dan ba’diyyah Zohor, ba’diyyah Maghrib dan ba’diyyah ‘Isyak. Adapun solat sunat yang lain adalah kekal sebagai sunat bagi orang yang bermusafir ataupun tidak.

Al-Imam Muslim di dalam sahihnya meriwayatkan daripada Hafs ibn ‘Asim Ibn ‘Amar al-Khattab (حَفْصِ بْنِ عَاصِمِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ) yang berkata:

صَحِبْتُ ابْنَ عُمَرَ فِي طَرِيقِ مَكَّةَ ، فَصَلَّى لَنَا الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ ، ثُمَّ أَقْبَلَ وَأَقْبَلْنَا مَعَهُ حَتَّى جَاءَ رَحْلَهُ ، وَجَلَسَ وَجَلَسْنَا مَعَهُ فَحَانَتْ مِنْهُ الْتِفَاتَةٌ نَحْوَ حَيْثُ صَلَّى ، فَرَأَى نَاسًا قِيَامًا ، فَقَالَ مَا يَصْنَعُ هَؤُلَاءِ ؟ قُلْتُ : يُسَبِّحُونَ, قَالَ : لَوْ كُنْتُ مُسَبِّحًا لَأَتْمَمْتُ صَلَاتِي ، يَا ابْنَ أَخِي ، إِنِّي صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي السَّفَرِ ، فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، وَصَحِبْتُ أَبَا بَكْرٍ فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، وَصَحِبْتُ عُمَرَ فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، ثُمَّ صَحِبْتُ عُثْمَانَ فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، وَقَدْ قَالَ اللَّهُ : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Saya mengiringi Ibn ‘Omar dalam perjalanan ke Mekah, beliau solat zohor bersama kami dua rakaat, kemudian beliau beredar dan kami juga beredar bersamanya sehinggalah beliau sampai ketempat barang-barangnya, kemudian beliau duduk dan kamipun duduk bersamanya, kemudian beliau menoleh ke arah tempat solat tadi, beliau melihat orang ramai berdiri (menunaikan solat lagi), lalu beliau bertanya: “Apa yang mereka itu lakukan?” aku menjawab: “Mereka menunaikan solat sunat rawatib.” Kata Ibn ‘Omar: “Kalaulah aku hendak menunaikan solat sunat rawatib sudah tentu aku akan tamamkan solatku (tidak qasarkan), wahai anak saudaraku, sesungguhnya aku pernah mengiringi Rasulullah SAW dalam permusafiran, baginda tidak solat lebih dari dua Rakaat (yakni baginda mengqasarkan solat yang 4 rakaat) sehinggalah baginda wafat. Au juga pernah mengiri Abu Bakar, beliau juga tidak pernah solat lebih dari dua rakaat sehingga beliau wafat, aku juga pernah mengiringi ‘Omar, beiau juga tidak pernah solat lebih dari dua rakaat, sehingga beliau wafat, kemudian aku pernah mengiringi ‘Uthman, tidak pernah beliau solat lebih dari dua rakaat sehingga beliau wafat. Sesungguhnya Allah berfirman: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang terbaik.”

Cetak  
Wallahu a'lam