SDI 0088: Macamana nak buat kalau dulu tak puasa?

Friday, September 12, 2008

Soalan: 

salam ustaz

Saya ingin bertanya tentang puasa yg telah ditinggalkan semasa remaja iaitu dari mula baligh, seingat saya sewaktu itu saya tidak menggantikan puasa saya sepenuhnya, bagaimanakah harus saya membayar fidyah atau ganti puasa semula, saya hanya menggantikan puasa saya sepenuhnya apabila saya tinggal di asrama dan semasa di IPTA saja..itu saja ustaz terima kasih.

Jawapan:

Orang yang tidak berpuasa ada tiga golongan:

1. Orang yang tidak berpuasa kerana ada keuzuran seperti sakit, bermusafir, wanita yang haid atau seumpamanya. Orang yang sebegini mereka hanya perlu menggantikan/qadha puasa yang mereka tinggalkan pada bila-bila masa yang mereka mahu sebelum masuk Ramadhan yang berikutnya. Allah SWT berfirman:

وَمَنْ كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: "Dan sesiapa yang sakit atau dalam permusafiran, maka gantilah (puasa yang ditinggalkannya) pada hari-hari yang lain." (al-Baqarah: 185)

2. Orang yang tidak berpuasa, dan langsung tidak ada niat untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana malas, tak larat atau seumpamanya. Perbuatan ini termasuk di dalam dosa besar. Wajib ke atasnya bertaubat dengan taubat yang bersungguh-sungguh, memohon keampunan daripada Allah SWT dari kesalahannya dan perbanyakkan amalan sunat yang lainnya.

Majoriti ulama mengatakan orang sebegini wajib mengqadha semua puasa yang ditinggalkannya itu. Manakala pandangan minoriti mengatakan, orang sebegini TIDAK perlu menggantikan puasanya. Ini kerana puasa adalah ibadah yang ditentukan waktunya iaitulah dalam bulan Ramadhan. Jika selepas habis bulan Ramadhan dia tidak ada niat untuk berpuasa, maka dia telah ketinggalan melaksanakan ibadat tersebut pada waktunya. al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin ketika ditanya dalam masalah ini berkata:

الصحيح : أن القضاء لا يلزمه إن تاب ؛ لأن كل عبادة مؤقتة بوقت إذا تعمد الإنسان تأخيرها عن وقتها بدون عذر : فإن الله لا يقبلها منه ، وعلى هذا فلا فائدة من قضائه ، ولكن عليه أن يتوب إلى الله عز وجل ويكثر من العمل الصالح ، ومن تاب تاب الله عليه .

Maksudnya: "Yang benarnya, orang yang bertaubat kerana sengaja tidak berpuasa, tidak perlu mengqadhanya, ini kerana setiap ibadat yang ditentukan waktunya, jika sengaja ditinggalkan dari waktunya tanpa ada keuzuran, sesungguhnya Allah tidak akan menerimanya. Berdasarkan ini tidak ada faedah mengqadhanya, akan tetapi orang seperti ini hendaklah bertaubat kepada Allah azza wajall, dan dia perbanyakkan amalan-amalan soleh, sesiapa yang mahu bertaubat, Allah menerima taubatnya." (Majmu' Fatawa al-Syeikh Ibn 'Uthaimin 19, soalan bilangan 41)

3. Orang yang berpuasa pada awal siang harinya, kemudian berbuka dengan sengaja. Perbuatannya ini adalah salah satu dosa yang besar, hendaklah dia bertaubat kepada ALlah SWT dan menggantikan puasa yang ditinggalkannya. Ini berdasarkan arahan Nabi SAW yang menyuruh orang yang berjima' di siang hari Ramadhan menunaikan kafarah, kemudian baginda bersabda:
صم يوماً مكانه

Maksudnya: "Puasalah sehari, sebagai ganti tempatnya (puasa yang dibatalkan)." (HR Abu Daud, Ibn Majah dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil)

Cetak  
Wallahu a'lam