Keharusan mandi bagi orang yang berpuasa

Thursday, September 4, 2008


Seorang yang berpuasa dibenarkan mandi disepanjang siang Ramadhan samaada untuk mandi junub atau selainnya.

‘A-isyah dan Ummu Salamah R’huma meriwayatkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW pernah berada pada waktu fajar dalam keadaan berjunub kerana bersama isteri baginda, kemudian baginda mandi dan meneruskan puasa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul Bari menyebut perkataan al-Qurtubi berkata:

في هذا فائدتان , إحداهما أنه كان يجامع في رمضان ويؤخر الغسل إلى بعد طلوع الفجر بيانا للجواز

Maksudnya: “Di dalam hadith ini terdua dua faedah, salah satunya, baginda (SAW) menyetubuhi isteri baginda pada malam Ramadhan dan baginda melewatkan mandi sehingga terbit fajar, ia merupakan penjelasan akan keharusannya (melewatkan mandi sehingga terbit fajar dalam bulan ramadhan)”

Di dalam riwayat lain bagi Muslim pula ada menyebut:

‏كَانَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ غَيْرِ ‏ ‏حُلُمٍ ‏ ‏ثُمَّ يَصُومُ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berada dalam waktu Subuh dalam keadaan berjunub bukan disebabkan bermimpi, kemudian baginda meneruskan puasa.”

Demikian juga dibenarkan mandi untuk menyejukkan badan atau untuk tujuan lain. Abu Daud meriwayatkan dari beberapa sahabat Nabi SAW yang berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ الْمَاءَ وَهُوَ صَائِمٌ مِنْ الْعَطَشِ أَوْ مِنْ الْحَرِّ
 
Maksudnya: “Saya melihat Rasulullah SAW mencurahkan air ke atas kepala baginda disebabkan dahaga atau panas, sedangkan baginda berpuasa.” (Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Abu Daud)

Di dalam ‘Aun al-Ma’bud disebutkan:

فِيهِ دَلِيل عَلَى أَنَّهُ يَجُوز لِلصَّائِمِ أَنْ يَكْسِر الْحَرّ بِصَبِّ الْمَاء عَلَى بَعْض بَدَنه أَوْ كُلّه , وَقَدْ ذَهَبَ إِلَى ذَلِكَ الْجُمْهُور وَلَمْ يُفَرِّقُوا بَيْن الاغْتِسَال الْوَاجِبَة وَالْمَسْنُونَة وَالْمُبَاحَة

Maksudnya: “Pada hadith ini petunjuk harusnya bagi orang yang berpuasa menghilangkan kepanasan dengan menuangkan air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhannya. Inilah pandangan jumhur (kebanyakan ulama), dan mereka tidak membezakan antara mandi yang wajib, sunat dan harus.”

Al-Imam al-Bukhari pula berkata:

بَاب اغْتِسَالِ الصَّائِمِ وَبَلَّ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ثَوْبًا فَأَلْقَاهُ عَلَيْهِ وَهُوَ صَائِمٌ وَدَخَلَ الشَّعْبِيُّ الْحَمَّامَ وَهُوَ صَائِمٌ . . . وَقَالَ الْحَسَنُ لا بَأْسَ بِالْمَضْمَضَةِ وَالتَّبَرُّدِ لِلصَّائِمِ

Maksudnya: “Bab orang yang berpuasa mandi, dan Ibn ‘Umar RA pernah membasahkan pakaiannya dan mengenakannya pada badannya sedangkan dia berpuasa. Demikian juga al-Sya’biy pernah memasuki bilik air (untuk mandi) sedangkan dia berpuasa… al-Hasan pula berkata: “Tidak mengapa berkumur, dan menyejukkan badan bagi orang yang berpuasa.”

Al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Fathul Bari menyebut:

( بَابٌ اِغْتِسَالُ الصَّائِمِ ) أَيْ بَيَانُ جَوَازِهِ . قَالَ الزَّيْنُ بْنُ الْمُنَيِّرِ : أَطْلَقَ الاغْتِسَالَ لِيَشْمَل الأَغْسَالَ الْمَسْنُونَةَ وَالْوَاجِبَة وَالْمُبَاحَة , وَكَأَنَّهُ يُشِير إِلَى ضَعْف مَا رُوِيَ عَنْ عَلِيٍّ مِنْ النَّهْي عَنْ دُخُول الصَّائِمِ الْحَمَّامَ أَخْرَجَهُ عَبْد الرَّزَّاق وَفِي إِسْنَادِهِ ضَعْفٌ

Maksudnya: “(perkataan al-Bukhari) Bab orang yang berpuasa mandi” yakni menerangkan keharusannya. Berkata al-Zain Ibn al-Munayyir: “termasuk mandi itu ialah mandi yang sunat, wajib dan harus. Dia seolah-olah mengisyaratkan akan kelemahan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali yang melarang orang yang berpuasa memasuki bilik air (untuk mandi) yang diriwayatkan oleh Abdul Razzak, kerana di dalam sanad hadith itu adanya kelemahan.”

Cetak  
Wallahu a'lam