SDI 0053: Apakah Orang Yang Murtad Perlu Qadha Puasa dan Solatnya Selepas Bertaubat ?

Monday, August 18, 2008

Soalan:

Jika seseorang muslim murtad dari agamanya dalam tempoh beberapa tahun, kemudian dia kembali kepada Islam. Apakah dia perlu qadha puasa, sembahyang yang ditinggalkannya?

Jawapan:

Oleh: al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz
Penterjemah: binSahak

Jika seorang muslim murtad daripada Islam - na'uzubillahi min zalik - kemudian dia bertaubat, maka dia tidak perlu qadha sembahyang dan puasa yang ditinggalkannya berdasarkan firman ALlah SWT:

قُل لِلَّذِينَ كَفَرُواْ إِن يَنتَهُواْ يُغَفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ

Maksudnya: "Katakanlah kepada orang yang kafir itu, jika kamu semua berhenti (daripada kekafiran), akan diampunkan untuk kamu apa yang telah lalu."

Sabda Nabi SAW:
الإسلام يهدم ما كان قبله والتوبة تهدم ما كان قبلها

Maksudnya: "Islam itu menghapuskan (kesalahan-kesalahan) sebelumnya (sebelum memeluk Islam), dan taubat itu menghapuskan (dosa-dosa) yang lalu."

Inilah pandangan ulama yang benar terhadap ayat dan hadith di atas. Selain itu juga para sahabat Nabi SAW tidak menyuruh mereka yang kembali kepada Islam setelah murtad di zaman Abu Bakr RA untuk mengqadha solat dan puasa sedangkan mereka (yakni para sahabat) adalah orang yang paling mengetahui tentang agama selepas Nabi SAW.
 
Demikian juga memestikan mereka (orang-orang yang memeluk Islam selepas murtad) qadha sembahyang dan puasa yang mereka tinggalkan, melarikan mereka daripada kembali kepada Islam. Samalah halnya dengan zakat, kerana semua perkara ini hanya sah dilakukan oleh orang Islam, dan ianya tidak dituntut melakukannya selain daripada orang Islam.

Cetak  
Wallahu a'lam