Soalan:
Assalamualaikum,
Terlebih dahulu saya ingin menerangkan fungci CONTINUOUS GLUCOSE METER (CGM). Alat ini dapat membantu pesakit diabetes mengetahui keadaan kadar gula di dalam darah pesakit tanpa perlu menggunakan kaedah lama dengan mencucuk di jari. Sebaliknya ia menggunakan pelekat atau sensor yang mempunyai jarum kecil di badan dan boleh bertahan selama 14 hari. Kelebihannya pesakit dapat memeriksa kadar darah pada bila-bila masa, bagi pesakit diabetes paras gula yang terkawal adalah perlu bagi mengelakkan komplikasi penyakit lain yang kebiasaannya bagi kes saya, saya akan memeriksa darah sebanyak lebih kurang 10-12 kali sehari menggunakan kaedah lama dengan mencucuk jari, sehinggakan berlaku parut yang banyak dan khuatiri akan berlaku jangkitan kuman sekiranya berterusan (kadang kala tidak sempat wipe dengan alcohol dan tukar jarum). Sebaliknya dengan menggunakan CGM ia lebih mudah dan boleh melakukan pemeriksaan darah pada bila-bila masa tanpa perlu mengambil sample darah. Segala rekod mengenai tahap kadar gula di dalam badan akan direkodkan dan akan memudahkan pesakit melakukan kawalan terhadap penyakit ini.
Kelemahan:
1. Sensor melekat di badan, dan boleh bertahan selama 14 hari.
2. Kos sensor mahal iaitu berharga rm200-250 1 keping sensor.
3. Pelekat Sensor CGM adalah water resistant
Persoalan saya:
Apakah hukum mandi wajib sekiranya pesakit diabetes menggunakan alat CGM ini? Yang mana ianya kelihatan lebih mudah untuk digunakan demi kebaikan pesakit diabetes yang ingin mengawal pemakanan dan gula dalam darah dengan lebih baik. Sekiranya perlu dibuka ketika mandi pesakit akan menanggung kerugian yang tinggi memandangkan sensor ini hanya boleh dipasang sekali dan bertahan selama 14 hari dan tidak boleh diguna semula sekiranya dibuka.
Sekian, Terima Kasih
Jawapan:
- Hukum asal untuk berwudhu dan mandi junub atau mandi wajib adalah menyampai dan meratakan air ke anggota badan. Namun dalam situasi tertentu seperti berhadapan dengan kesukaran luar dari kebiasaan, syara’ memberikan keringanan. Antara keringanan yang disebut oleh para fuqaha dalam bab bersuci sama ada ketika berwudhu atau mandi wajib ialah keharusan menyapu di atas balutan luka (‘isabah) dan patah (jabirah). Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 15/108 dinyatakan:
وَفِي حُكْمِ الْمَسْحِ عَلَى الْجَبِيرَةِ الْمَسْحُ عَلَى الْعِصَابَةِ، أَوْ اللَّصُوقِ، أَوْ مَا يُوضَعُ فِي الْجُرُوحِ مِنْ دَوَاءٍ يَمْنَعُ وُصُول الْمَاءِ - كَدُهْنٍ، أَوْ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Dan hukum (keharusan) sapuan di atas jabirah (balutan patah) adalah sama dengan hukum (keharusan) sapuan di atas ‘isabah (balutan luka), pelekat[1] atau apa-apa yang diletakkan pada luka seperti ubat yang menghalang sampainya air pada anggota seperti minyak atau selainnya.”
- Oleh itu, bagi pengidap diabetes yang perlu berulang kali memeriksa kandungan gula di dalam darah sehari semalam. Di mana jika menggunakan kaedah lama dengan suntikan di jari tangan, akan menjadikan pesakit berada dalam kesukaran luar biasa seperti untuk menjaga kebersihan dan seterusnya boleh menjadi sebab kepada jangkitan kuman. Pesakit juga akan berhadapan dengan kesukaran jika perlu menukar pelekat CGM berulang kali di sampai terpaksa menanggung kos yang tinggi, maka pesakit yang menggunakan pelekat CGM seperti ini, boleh mengambil keringanan sapuan di atas pelekat CGM ketika bersuci sama ada untuk berwudhu ataupun madi wajib. Situasinya sama seperti keharusan sapuan di atas jabirah (balutan patah) dan ‘isabah (balutan luka).
Justeru, ketika bersuci sama ada untuk wudhu atau mandi wajib, pesakit berkaitan hanya perlu menyapukan air dengan tangan yang dibasahkan ke atas pelekat CGM tanpa perlu mengalirkan air seperti biasa yang dilakukan oleh orang sihat. Jika disusuli dengan tayamum selepas itu, ia suatu yang lebih baik bagi meraikan pandangan ulama yang mewajibkan tayamum untuk anggota yang disapu di atas balutan. Manakala pada bahagian badan yang boleh dikenakan air, wajib dilakukan sepertimana perintah asal untuk bersuci. Kata Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy 1/205:
وقالَ القاضِي، فِي اللُّصُوقِ عَلى الجُرْحِ: إنْ لَمْ يَكُنْ فِي نَزْعِهِ ضَرَرٌ نَزَعَهُ، وغَسَلَ الصَّحِيحَ، ويَتَيَمَّمُ لِلْجُرْحِ، ويَمْسَحُ عَلى مَوْضِعِ الجُرْحِ، فَإنْ كانَ فِي نَزْعِهِ ضَرَرٌ فَحُكْمُهُ حُكْمُ الجَبِيرَةِ، يَمْسَحُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Kata al-Qadhi: berkaitan pelekat (ubat) di atas luka, jika ditanggalkan (untuk bersuci) tidak mendatangkan mudharat, hendaklah ditanggalkan, membasuh bahagian yang sihat, dilakukan tayamum bagi bahagian luka dan disapu (dengan air) di atas tempat luka. Jika menaggalkan pelekat (ubat) boleh mendatangkan mudharat, maka hukumnya seperti hukum jabirah, dilakukan sapuan air sahaja di atasnya.”
- Adapun bagi pengidap diabetes yang tidak perlu berulang kali memeriksa kandungan gula di dalam darah, sebaliknya pemeriksaan berkaitan hanya perlu dibuat sekali sehari atau sekali dalam dua atau tiga hari, tidak boleh mengambil keringanan ini. Wajib ke atas pengidap diabetes sebegini ketika melakukan wudhu atau mandi wajib mematuhi perintah asal ketika bersuci kerana tidak berhadapan dengan kesukaran di luar dari kebiasaan.
-----------------------------------------------------------
[1] "Pelekat" adalah terjemah yang dipilih untuk kalimah al-lasuq اللَّصُوْق dengan huruf “Lam” diberi baris fathah yang merujuk kepada apa-apa yang dilekat atau ditampal di atas luka untuk perubatan. Di dalam al-Misbah dinyatakan: “Setelah itu diitlaqkan kepada perca kain dan seumpamanya apabila diikat pada anggota untuk rawatan.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 15/107)