Soalan:
Semalam pertama kali saya menunaikan solat gerhana bulan. Soalan saya apaka betul cara imam membaca سمع الله لمن حمده ketika bangun dari rukuk pertama sedangkan selepasnya ia akan membaca sekali lagi al-Fatihah dan surah. Mohon pencerahan dari Ustaz binSahak.
Jawapan:
Mana-mana imam yang mengucapkan “sami‘allahu liman hamidah” (سمع الله لمن حمده), atau bertakbir ketika bangun dari rukuk pertama dalam solat gerhana tidak perlu ditegur perbuatan tersebut.
Terdapat perbezaan pendapat ulama dalam persoalan ini. Sebahagian ulama ada yang berpandangan bangun dari rukuk pertama dalam solat gerhana bukan iktidal. Justeru bacaan yang sebenarnya adalah dengan melafazkan takbir الله أكبر. al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin, melalui ibarat yang beliau gunakan ketika menerangkan cara menunaikan solat gerhana boleh difahami beliau memegang pandangan ini. Beliau berkata:
فَيُحْرِمُ بِنِيَّةِ صَلاةِ الكُسُوفِ، ويَقْرَأُ الفاتِحَةَ ويَرْكَعُ، ثُمَّ يَرْفَعُ، ثُمَّ يَقْرَأُ الفاتِحَةَ ثُمَّ يَرْكَعُ ثُمَّ يَعْتَدِلُ ثُمَّ يَسْجُدُ
Maksudnya: “Maka seseorang (yang hendak menunaikan solat gerhana itu) bertakbiratul ihram dengan memiliki niat menunaikan solat gerhana, membaca al-Fatihah, rukuk, kemudian bangun, kemudian membaca al-Fatihah, kemudian iktidal, kemudian sujud…”
Penggunaan ibarat “kemudian bangun” untuk bangun dari rukuk yang pertama, boleh memberi faham, al-Nawawi cenderung kepada pandangan yang mengatakan bangun ketika itu bukan untuk iktidal (Lihat Mughniy al-Muhtaj oleh al-Syarbini 1/597), justeru yang lebih layak adalah bertakbir. Manakala ibarat “kemudian iktidal” untuk bangun kali kedua dari rukuk yang kedua dapat memberi faham bangun untuk iktidal, maka bacaan yang lebih layak adalah “sami‘allahu liman hamidah” (سمع الله لمن حمده). Namun perkata ini tidak disepakati oleh semua ulama.
a-Khatib al-Syarbini RH di dalam Mughniy al-Muhtaj barkata:
ويقول في الاعتدال عن الركوع الأول والثاني: سمع الله لمن حمده ربنا لك الحمد كما في الروضة كأصلها. زاد في المجموع حمدا طيبا. الخ. وقال الماوردي: لا يقول ذلك في الرفع الأول، بل يرفع مكبرا لأنه ليس اعتدالا، ولعل تعبير المصنف أي النووي في المنهاج أولا بالرفع وثانيا بالاعتدال فيه ميل إلى هذا لأن الرفع من الركوع الأول لا يسمى اعتدالا والراجح الأول.
Maksudnya: "Dan seseorang yang menunaikan solat gerhana di dalam iktidalnya setelah bangun dari rukuk pertama dan kedua ialah سمع الله لمن حمده، ربنا ولك الحمد seperti yang terdapat di dalam al-Raudhah sama seperti asalnya. Ditambah di dalam al-Majmu’ حمدا طيبا … sehingga ke akhirnya. Kata al-Mawardi: tidak boleh disebut sedemikin itu pada rukuk yang pertama, sebaliknya hendaklah bangun dengan bertakbir, kerana bangun ketika itu bukan iktidal. Barangkali ibarat musannif iaitulah al-Nawawi di dalam al-Minhaj: yang pertama dengan ungkapan bangun dan yang kedua dengan ungkapan iktidal merupakan tanda beliau cenderong kepada pandangan ini. Ini kerana bangun dari rukuk pertama tidak dinamakan iktidal. Namun yang rajih adalah yang pertama (kedua-dua tempat itu dibacakan سمع الله لمن حمده)."
Oleh itu, sesiapa yang beramal dengan salah satu dari pandangan ini, dia berada di bawah bimbingan para ulama.