Assalamualaikum Ustaz
Saya berjalan sampai di saf, imam telah rukuk. Saya takbir dan berdiri sekejap, selepas itu saya terus rukuk tanpa baca al-fatihah (imam ketika itu masih dalam keadaan rukuk). Adakah saya dikira mendapat rakaat itu?
Jawapan:
Pertama sekali, jika kita masuk ke dalam saf, imam dalam keadaan rukuk, maka kita bertakbir dengan takbiratul ihram, dalam keadaan berdiri, setelah sempurna kita melafazkan الله أكبر , maka terus kita rukuk dan tidak perlu kita berdiri seketika. jadi kita masuk ke dalam solat dalam keadaan berdiri untuk bertakbiratul ihram, apabila selesai kita bertakbiratul ihram الله أكبر , maka kita terus rukuk. Yang penting takbiratul ihram itu dilakukan dalam keadaan berdiri, sempurna sahaja melafazkan takbiratul ihram, maka kita terus rukuk, terus turun tunduk untuk melaksanakan rukuk, kerana imam sedang rukuk pada ketika itu.
Timbul persoalan, apakah kita perlu melafazkan takbir yang kedua selepas takbiratul ihram untuk rukuk? Dalam perkara ini ada keluasan. Adapun cara yang paling baik ialah kita melafazkan takbir yang kedua sebagai takbir perpindahan dari berdiri untuk rukuk. Namun begitu jika kita tidak melafazkan takbir yang kedua ini dan berpada dengan takbiratul ihram yang diucapkan untuk masuk ke dalam solat dalam keadaan berdiri, selesai sahaja melafazkan takbiratul ihram tersebut, terus kita turun rukuk juga tiada masalah, sah rukuk dan solat tersebut.
Soalan yang ditanya: “Apakah rakaat tersebut, kita mendapat rakaat tersebut?”
Maka jawapannya:
Seseorang makmum yang masbuk seperti yang bertanya, jika dia sempat rukuk dan tamakninah bersama dengan imam maka, sekalipun dia tidak membaca al-Fatihah, dia mendapat rakaat tersebut. Jadi kalau rukuk yang imam buat tersebut adalah rukuk pada rakaat pertama, kita sempat rukuk dan tamakninah bersama dengan imam, maka kita mendapat rakaat tersebut dan kita memberi salam selesai dari solat bersama dengan imam.