Tuesday, July 29, 2008
Kata Pengantar
بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله, ونصلي ونسلم على رسول لله, وعلى اله وصحبه أجمعين, وبعد
Risalah ringkas sifat solat ini disusun sebagai bahan panduan mudah dan ringkas untuk setiap individu muslim dalam menyahut seruan Nabi saw :
صلوا كما رأيتموني أصلِّي
"Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku menunaikan solat"[1]
Di dalam risalah ini, saya hanya menyebut petunjuk sesuatu hadith tanpa saya datangkan hadith secara lengkap. Ini bagi memenuhi tujuan asal risalah ini ditulis dalam bentuk ringkasan. Kebanyakan rujukan di bahagian nota kaki itu, saya tidak melihatnya sendiri dari kitab-kitab asal hadith, kebanyakannya saya hanya bersandar kepada nota-nota kaki yang dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam bukunya Sifat Solat Nabi saw. Risalah ini saya tulis dengan ringkas, sambil dinyatakan sumber hadithnya, sebagai menandakan amalan ibadah kita mestilah diambil dari Nabi saw melalui hadith-hadith yang Thabit[2] berdasarkan hukuman yang diberi oleh para ulama hadith di dalam kitab-kitab mereka.
Sesungguhnya semua insan yang beragama, memiliki cara ibadat untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka. Cuma bezanya umat Muhammad saw, kita mendekatkan diri kepada Allah swt dengan melakukan ibadat sepertimana yang dikehendaki oleh Allah melalui lidah RasulNya saw. Walaupun pada sebahagian ibadah, sebahagian nafsu umat Islam merasakan ianya tidak memadai, lalu mereka tambah bagi memuaskan nafsu dan mereka namakannya sebahagai hasanah (perkara yang baik). Yang sebenarnya bukanlah begitu, kerana asas dalam ibadah ini bukanlah berdasarkan rasa puas nafsu keinsanan. Sebaliknya ibadah hendaklah ikhlas dan bertepatan dengan cara yang dilakukan oleh Nabi saw.
Sebahagian bacaan yang dimuatkan di dalam risalah ini mungkin berbeza dengan bacaan yang lazim diamalkan oleh sesetengah individu. Ia tidak bermakna bacaan yang lain dari apa yang disusun di dalam risalah ini tidak baik, sebaliknya ia hanyalah sekadar pendedahan kepada berbagai bacaan yang juga dibaca oleh Nabi saw berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih daripada baginda. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dinilai sebagai ibadah oleh ALLAH swt.
Penyusun: Mohamad Abdul Kadir Bin Sahak.
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
http://www.bin-sahak.blogspot.com/
Panduan Ringkas Sifat Solat Nabi saw
1- Memulakan Solat dengan Takbiratul Ihram. Sabda Nabi saw :
"مفتاح الصلاة الطهور, و تحريمها التكبير , و تحليلها التسليم"
Maksudnya : "Anak kunci solat itu ialah bersuci, dan permulaannya ialah dengan bertakbir dan penutupnya dengan memberi salam.”[3]
Lafaznya اللهُ أكْبَرْ, dengan mengangkat kedua-dua tangan bersetentangan dengan kedua-dua bahu[4], atau bersetentangan dengan kedua-dua telinga[5], dalam keadaan kedua-dua telapak tangan menghadap ke arah qiblat.
- Menumpukan penglihatan pada tempat sujud[6]. Bukan meliarkan mata ke arah lain bahkan dilarang untuk melihat ke atas (langit), dilarang juga memandang ke Ka'bah walaupun Ka'bah berada di hadapan. Sabda Nabi saw :
فإذا صليتم فلا تلتفتوا, فإن الله ينصب وجهه لوجه عبده في صلاته ما لم يلتفت
Maksudnya : "Apabila kamu semua sedang solat, maka jangan kamu berpaling ke kanan dan ke kiri, kerana sesungguhnya ALLAH menghadapkan wajah-NYA ke wajah hamba-NYA di dalam solat, selama mana hamba-NYA tidak berpaling." [7]
لينتهين أقوام يرفعون أبصارهم إلى السماء في الصلاة, أو لا ترجع إليهم
Maksudnya : "Hendaklah berhenti orang-orang yang mengangkat pandangan mereka (melihat) ke langit ketika solat, atau tidak akan dikembalikan kepada mereka (Dalam riwayat yang lain disebut : "atau disambar penglihatan mereka.")[8]
2- Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika berdiri di dalam solat. Sabda Nabi s.a.w. :
"... وأن نضع أيماننا على شمائلنا في الصلاة
Maksudnya : "… Dan bahawasanya kami para Nabi disuruh meletakkan tangan kanan kami di atas tangan kiri kami di dalam Solat.”[9]
- Kedua-dua tangan diletakkan di atas dada[10]. Tidak ada penetapan yang sahih bahagian dada yang dimaksudkan. Jadilah perkara ini suatu yang luas. Boleh meletakkan pada mana-mana bahagian dada termasuk di atas tetek atau di bawahnya[11]. Sila lihat gambar di bawah.:
Meletakkan telapak tangan kanan di atas belakang telapak tangan kiri.[12]
Menggenggam pergelangan tangan kiri dengan tangan kanan.[13]
Meletakkan tangan kanan di pergelangan dan lengan tangan kiri.[14]
- Dr. Bakr Bin Abdullah Abu Zaid di dalam risalah kecilnya La Jadid fi Ahkam al-Solah mendakwa, meletakkan dua tangan di atas dada ini juga merupakan pendapat al-Imam al-Syafie berdasarkan salah satu riwayat daripadanya.[15]
- Selepas bertakbir pada rakaat yang pertama, bacalah al-Istiftah (الاستفتاح). Antara bacaan-bacaannya adalah seperti berikut :
1 - اللّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِيْ وَ بَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَ الْمَغْرِبْ, اَللّهُمَّ نَقِّنِيْ مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الْثَوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَنَسْ, اَللّهُمَّ اغْسِلْنِيْ مِنْ خَطَايَايَ بِالْمِاءِ وَ الثَلْجِ وَ البَرَدْ
Maksudnya : "Ya ALLAH ! Jauhkanlah aku daripada kesalahanku sepertimana ENGKAU menjauhkan jarak antara timur dan barat. Ya ALLAH! bersihkanlah aku daripada dosaku sepertimana ENGKAU membersihkan baju yang putih daripada kekotoran. Ya ALLAH ! sucikanlah aku daripada kesalahan dan dosa ku dengan air batu dan salji."[16]
2 - سُبْحَانَكَ اللّهُمَّ وَ بِحَمْدِكَ وَ تَبَارَكَ اسْمُكَ وَ تَعَالى جَدُّكْ وَ لا إِلهَ غَيْرُكْ
Maksudnya : "Maha suci engkau ya ALLAH, dengan kepujian dan berkah nama MU, maha tinggi keagungan MU, tidak ada Ilah selain MU."[17]
- Selepas membaca al-Istiftah (الاستفتاح), bacalah al-Ta'awwuz (التعوّذ) :
أعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَيْطَانِ الرَجِيْم
Maksudnya : "Aku berlindung dengan ALLAH daripada Syaitan yang direjam."
Atau :
أعُوْذُ بِاللهِ السَمِيْعِ العَلِيْمِ مِنَ الشَيْطَانِ الرَجِيْم
Maksudnya : "Aku berlindung dengan ALLAH yang maha mendengar dan mengetahui daripada Syaitan yang direjam."
- Selepas itu bacalah surah al-Fatihah. Membaca surah al-Fatihah ini adalah rukun, wajib membacanya pada setiap rakaat kerana sabda Nabi saw :
لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب
Maksudnya : "Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca al -Fatihah."[18]
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum makmum membaca al-Fatihah di dalam rakaat solat yang imam membaca jahr (jelas) seperti dua rakaat Subuh, dua rakaat awal Maghrib dan Isyak. Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam bukunya "Sifah Solah al-Nabi saw" menganggap pendapat yang lebih kuat, ialah pendapat yang mengatakan makmum tidak perlu lagi membaca al-Fatihah di dalam rakaat solat yang imam membaca jahr kerana bacaan imam itu juga adalah bacaannya. Makmum hanya perlu mendengar bacaan imam.[19]
- Selepas itu bacalah apa-apa yang diingati / mudah daripada surah-surah al-Quran. Di dalam solat yang imam membaca jahr (jelas), makmum tidak perlu membaca surah, cukuplah sekadar diam dan mendengar bacaan Imam.
3- Kemudian bertakbir sepertimana yang dilakukan ketika bertakbiratul ihram pada permulaan solat untuk ruku'.
Sifat ruku' :
- Menyama-ratakan belakang dengan kepala ketika ruku'[20].
- Menjauhkan dua tangan dari rusuk[21]. Al-Syaukani di dalam Nail al-Author menyebut kesemua rijal isnad hadith ini adalah thiqah (terpercaya). Namun perlu dielakkan dari berlebihan menjauhkan dua tangan dari rusuk. Berlebihan dalam menjauhkan dua tangan dari rusuk menyebabkan belakang badan tidak lagi kelihatan sama rata dengan kepala.
- Meletakkan kedua-dua tangan dengan merenggangkan jari-jemari[22] sambil menggenggam lutut[23].
Bacaan-bacaan di dalam ruku', antaranya :
i- سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْم [24] [3x atau kadang kadang dilebihkan ]
ii-[25] سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَ بِحَمْدِهِ [3x atau kadang-kadang dilebihkan]
iii- سُبُّوْحٌ قُدُّوْسٌ رَبُّ الْمَلائِكَةُ وَ الرُوْحُ [26] [3x atau dilebihkan
- Hendaklah toma'ninah [الطمأنينة (berhenti seketika)] di dalam ruku'. [27]]
4- Selepas itu bangun untuk al-I'tidal (الاعتدال) sambil mengangkat kedua-dua belah tangan seperti takbiratul ihram yang awal dengan mengucapkan :
سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهْ
Maksudnya : "Allah mendengar sesiapa yang memujiNya."[28]
- Hendaklah Toma'ninah [الطمأنينة (berhenti seketika)] ketika i'tidal.[29]
- Sunat dipanjangkan bacaan dengan membaca :
رَبَّنَا وَ لَكَ الْحَمْدُ, مِلْءُ السَمَاوَاتِ, وَ مِلْءُ الأرْضِ, وَ مِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْئٍِ بَعْدُ
Maksudnya : "Tuhan kami, bagi ENGKAUlah segala pujian yang memenuhi langit dan memenuhi bumi dan memenuhi segala sesuatu yang ENGKAU kehendaki."[30]
- Bagi makmum membaca رَبَّنَا وَ لَكَ الْحَمْدُ …. hingga ke akhir, selepas Imam membaca سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهْ.
Sabda Nabi s.a.w. :
إذا قال الإمام سمع الله لمن حمده فقولوا اللهم ربنا لك الحمد فإنه من وافق قوله قول الملاءكة
غفر له ما تقدم من ذنبه
Maksudnya : "Apabila Imam berkata "sami'allaahu liman hamidah (ALLAH mendengar sesiapa yang memujiNYA)", maka jawablah, "Allaahumma Rabbanaa lakal hamd (Ya ALLAH ya tuhan kami. Untuk ENGKAUlah segala pujian.)". Maka siapa yang bersamaan ucapannya dengan ucapan para Malaikat, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu."[31]
5- Selepas itu turun untuk sujud, dengan meletakkan kedua-dua lutut sebelum kedua-dua tangan.
Sifat sujud :
Sujud dengan tujuh anggota yang mesti dikenakan di lantai, seperti yang terdapat di dalam hadith[32], iaitu :
1- Dua telapak kaki yang ditegakkan di atas perut jari-jari kaki.
2- Dua lutut.
3- Dua telapak tangan diletakkan bersetentangan dengan bahu[33], kadang-kadang bersetentangan dengan telinga[34].
4- Wajah (iaitu dahi dan hidung[35]).
- Halakan kesemua jari jemari ke arah qiblat.[36]
- Toma'ninah (berhenti seketika) ketika sujud.
- Renggangkan antara satu anggota dengan anggota yang lain. Antara bacaan-bacaan ketika sujud ialah :
1- سُبْحَانَ رَبِّيَ الأعْلى [37](3x)
2- سُبْحَانَ رَبِّيَ الأعْلى وَ بِحَمْدِهْ [38](3x)
3- سُبُّوْحٌ قُدُّوْسٌ رَبُّ الْمَلائِكَةُ وَ الرُوْحُ [39](3x)
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang cara turun untuk sujud. Sebahagian ulama, ada yang mengatakan caranya hendaklah mendahulukan dua tangan daripada dua lutut (berlainan dengan cara yang disebutkan di atas). Mereka berbeza dalam memahami maksud Nabi saw :
إذا سجد أحدكم, فلا يبرك كما يبرك البعير
Maksudnya : "Apabila seseorang kamu hendak sujud, maka janganlah dia turun (untuk sujud) sepertimana turunnya unta."[40]
Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam buku "Sifah Solah al-Nabi saw" menganggap turun dengan mendahulukan dua tangan berbanding dua lutut itu adalah yang lebih kuat dan ia menyalahi cara turun unta, kerana lutut unta berada pada kaki hadapannya yang diletakkan terlebih dahulu sebelum turun untuk duduk.
Namun begitu kebanyakan ulama mengatakan yang lebih utama dan lebih kuat ialah meletakkan dua lutut sebelum meletakkan dua tangan[41]. Inilah cara turun yang berbeza dengan cara turunnya unta. Dimana unta akan menurunkan bahagian kepalanya terlebih dahulu sebelum bahagian punggungnya. Al-Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin berkata, perkataan Nabi saw : "Jangan kamu turun sepertimana turunnya unta" adalah dimaksudkan kepada bentuk turun unta." Dimana cara turunnya ialah dengan mendahulukan anggota bahagian atas (kepala – ini menyalahi tabiat kejadian aturan tubuh manusia). Maka insan di dalam solatnya disuruh menyalahi perbuatan unta, bentuk tubuh perlu diraikan, mana yang lebih hampir ke bumi, anggota itulah terlebih dahulu diturunkan. Dia hendaklah mendahulukan lutut sebelum tangannya, agar cara turunnya dengan mendahulukan anggota yang lebih hampir ke bumi (iaitu lutut) kemudian diikuti anggota atas seperti tangan dan seterusnya kepala menyalahi dengan sifat turunnya unta yang mendahulukan bahagian atas. Sifat inilah yang sering ditekankan oleh Nabi saw, dimana baginda seringkali menyuruh membezakan perbuatan-perbuatan di dalam solat dengan perbuatan-perbuatan haiwan
*** Sujud adalah tempat yang digalakkan berdoa, dan hampirnya seorang
hamba dengan ALLAH ta'ala. Digalakkan berdoa di dalam setiap sujud.
6- Selepas itu bangun daripada sujud untuk duduk diantara dua sujud sambil bertakbir[42] dan duduk dalam keadaan toma'ninah [berhenti seketika[43]].
Sifat duduk antara dua sujud :
- Mata melihat ke tempat sujud, sambil meletakkan kedua-dua belah tangan di atas kedua-dua belah peha dan lutut
- Letakkan / bentangkan kaki yang kiri dan duduk di atasnya[44] , sambil telapak kaki kanan ditegakkan.[45]
- Atau tegakkan kedua-dua telapak kaki dan duduk di atas kedua-duanya.[46]
- Zikir-zikir ketika duduk diantara dua sujud, antaranya :
1- اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ, وَارْحَمْنِيْ, وَاهْدِنِيْ, وَارْزُقْنِيْ
Maksudnya : "Ya ALLAH, ampunilah dosaku, rahmatilah aku, berilah hidayah kepadaku dan rezkikanlah kepadaku."[47]
2- رَبِّ اغْفِرْلِيْ اغْفِرْلِيْ
Maksudnya : "Ya Rabb, ampunilah aku, ampunilah aku."[48]
- Selepas itu bertakbir dan sujud untuk kali kedua sama seperti sujud yang pertama
7- Kemudian bangun untuk berdiri pada rakaat yang kedua sambil bertakbir.
- Atau duduk sebentar seperti duduk antara dua sujud, iaitu duduk al-Istirahah (الإستراحة), tanpa ada doa dan zikir, kemudian bangun dengan menongkatkan tangan pada lantai lalu berdiri untuk rakaat yang seterusnya.
- Mulakan dengan membaca al-Fatihah dan lakukan sepertimana pada rakaat yang pertama hingga selesai melakukan dua sujud.
8- Selepas itu duduk untuk Tasyahhud (التّشهّد) awal. Cara duduknya adalah sama sepertimana duduk diantara dua sujud.
- Letakkan telapak tangan kiri (tanpa menggenggam) di atas peha dan lutut kiri.
- Genggamkan jari-jari tangan kanan, buatkan isyarat dengan jari telunjuk[49] dan letakkan di atas peha dan lutut kanan. Atau genggamkan jari kelingking dan jari manis, buatkan bulatan antara jari tengah dan jari ibu, dan isyaratkan dengan jari telunjuk.[50]
Penglihatan hendaklah ditumpukan pada jari telunjuk ketika tasyahhud.[51]
- Selepas membaca tasyahhud, bangun berdiri sepertimana yang dilakukan pada rakaat pertama untuk menyempurnakan rakaat yang seterusnya..
- Jika rakaat yang kedua itu merupakan rakaat yang akhir (seperti solat Subuh), atau tasyahhud akhir pada solat yang tiga atau empat rakaat, maka duduk tasyahhud akhir dengan duduk tawarruk (التورّك)
- Duduk dengan membentangkan kaki yang kiri dan keluarkan telapak kaki tersebut di sebelah kanan, iaitu di bawah betis kaki kanan. Sambil menegakkan telapak kaki kanan. Lihat gambar di sebelah.
- Penglihatan hendaklah ditumpukan pada jari telunjuk ketika tasyahhud.[52]
Antara bacaan tasyahhud (التّشهّد) ialah :
التَََّحِيَّاتُ لِلّه, وَالصََّلَوَاتُُ وَ الطِّيْبَات, السَلاَمُ عَلَيْكَ أيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهْ, السَّلامُ -1
عَلَيْنَا وَ عَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْن, أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إلاَّ الله, وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُه.
Maksudnya : "Segala kehormatan, selawat dan kebaikan adalah milik ALLAH. Keselamatan ke atas engkau wahai Nabi, rahmat dan keberkatanNYA. Keselamatan ke atas kami dan hamba-hamba ALLAH yang soleh. Aku bersaksikan bahawasanya tiada Ilah melainkan ALLAH, dan aku bersaksikan sesungguhnya Muhammad itu hamba dan RasulNYA."[53]
3- التَّحِيَّاتُ المُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطِّيْبَاتُ لِلَّه, السَّلامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُه,
السَّلامُ عَلَيْنَا وَعَلى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِيْن, أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إلا اللَّه وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللَّه
Maksudnya : "Segala kehormatan, keberkatan, selawat dan kebaikan adalah milik ALLAH. Keselamatan ke atas engkau wahai Nabi, rahmat dan keberkatanNYA. Keselamatan ke atas kami dan hamba-hamba ALLAH yang soleh. Aku bersaksikan bahawasanya tiada Ilah melainkan ALLAH, dan aku bersaksikan sesungguhnya Muhammad itu rasulullah."[54]
اللّهُمَّ صَلِّيْ عَلى مُحَمَّدٍ وَ عَلى آلِ مُحَمَّد, كَمَا صَلَّيْتَ عَلى إبْرَاهِيْم وَ عَلى آلِ إبْرَاهِيْم, إنَّكَ
حَمِيْدٌ مَجِيْد, اللّهُمَّ بَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَ عَلى آل مُحَمَّدٍ, كَمَا بَارَكْتَ عَلى إبْرَاهِيْم وَ عَلى آل إبْرَاهِيْم, إنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد.
Maksudnya : "Ya ALLAH selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, seperti ENGKAU selawat ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim.Sesungguhnya engkau maha terpuji dan maha mulia. Ya Allah berkatilah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sepertimana ENGKAU berkati ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya engkau maha terpuji dan maha mulia."[55]
10- Membaca doa meminta perlindungan daripada empat perkara selepas berselawat ke atas Nabi di dalam tasyahhud akhir. Lafaz doanya :
اللّهُمّ إنِّيْ أعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمْ, وَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ, وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَ الْمَمَاتْ, وَمِنْ
فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّال
Maksudnya : "Ya ALLAH sesungguhnya aku meminta perlindungan dengan engkau daripada azab neraka jahannam, dan daripada azab kubur, dan daripada fitnah sewaktu hidup dan sesudah mati, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal."[56]
11- Memberi salam. Sabda nabi saw :
......و تحليلها التسليم
Maksudnya : "........ dan penutupnya dengan memberi salam."[57].
------------------------
[1] Al-Bukhari dan Muslim
[2] Iaitu yang sahih dan hasan
[3] Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, dan al-Hakim, beliau mensahihkannya dan disepakati oleh al-Zahabi
[4] al-Bukhari dan al-Nasa-ie
[5] al-Bukhari, Muslim, Abu Daud
[6] al-Baihaqi, al-Hakim dan beliau mensahihkannya
[7] Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim, dan mereka berdua mensahihkannya
[8] Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Siraj
[9] Riwayat Ibn Hibban dan al-Dhiya' dengan sanad yang sahih
[10] Abu Daud dan Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya
[11] DR. Bakr bin Abdullah Abu Zaid, La Jadid Fi Ahkaam al-Solah, m.s. 32, cet. Maktabah al-Sunnah Kaherah.
[12] Abu Daud, al-Nasa'ie, Ibn Khuzaimah dengan sanad yang sahih, disahihkan juga oleh Ibn Hibban
[13] Al-Nasa'ie dan al-Daruqutni dengan sanad yang sahih
[14] Abu Daud, al-Nasa'ie, Ibn Khuzaimah dengan sanad yang sahih, disahihkan juga oleh Ibn Hibban
[15]Beliau menyebut : "(Meletakkan dua tangan di atas dada adalah) Bagi al-Syafie r.h.dalam salah satu riwayat daripadanya. Dan tidak ada yang menyatakan (seperti itu) selain dari beliau dari kalangan fuqaha' yang empat. Inilah kehebatan mazhab beliau yang sama dengan nas al-Sunnah." m.s. 18, Maktabah al-Sunnah, Kaherah.
[16] Al-Bukhari dan Muslim
[17] Abu Daud, dan al-Hakim, dan beliau mensahihkannya dan disepakati oleh al-Zahabi
[18] Al-Bukhari dan Muslim
[19] Riwayat Ibn Abi Syaibah, Daruqutni dan selain mereka
[20] Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih, al-Bukhari, dan Ibn Majah
[21] Ahmad, Abu Daud dan al-Nasa-ie
[22] Al-Hakim mensahihkannya dan disepakati oleh al-Zahabi
[23] Al-Bukhari dan Abu Daud
[24] riwayat Ahmad, Abu Daud, dan Ibn Majah
[25] hadith sahih riwayat Abu Daud, al-Daruqutni, Ahmad, al-Tobrani dan al-Baihaqi
[26] Muslim dan Abu 'Iwanah
[27] Ahmad dan al-Tobrani dengan sanad yang sahih
[28] Riwayat al- Bukhari dan Muslim
[29] Al- Bukhari dan Muslim
[30] Riwayat Muslim dan Abu 'Iwanah
[31] Riwayat al-Bukhari dan Muslim
[32] Riwayat Muslim, Abu 'Iwanah dan Ibn Hibban
[33] Disahihkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Mulqan
[34] Abu Daud dan al-Nasa-ie dengan sanad yang sahih
[35] Riwayat al-Daraqutni, al-Tobrani, Abu Naim.
[36] al-Bukhari dan Abu Daud
[37] Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah
[38] Sahih, riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Baihaqi
[39] Sahih, riwayat Muslim dan Abu 'Iwanah
[40] Abu Daud dan al-Nasa-ie dengan sanad yang sahih
[41] Hadith daripada Wail bin Hujr
[42] al-Bukhari dan Muslim
[43] Riwayat Abu Daud, al-Hakim mensahihkannya dan disepakati oleh al-Zahabi
[44] Ahmad dan Abu Daud dengan sanad yang baik
[45] al-Bukhari dan al-Baihaqi
[46] Muslim dan Abu 'Iwanah
[47] Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim mensahihkannya dan disepakati oleh al-Zahabi
[48] Ibn Majah dengan sanad yang hasan
[49] Muslim
[50] Riwayat Abu Daud, al-Nasa'ie, Ibn Jaaruud di dalam al-Muntaqa, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban di dalam kitab sahihnya dengan sanad yang sahih dan disahihkan juga oleh Ibn Mulqan
[51] Muslim, Ibn Khuzaimah dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih
[52] muslim, Ibn Khuzaimah dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih
[53] Abu Daud dan al- Daruqutni, dan beliau mensahihkannya
[54] Muslim dan Abu Daud
[55] Al-Bukhari dan Muslim
[56] Riwayat Muslim
[57] Hadith ini disahihkan oleh al-Hakim dan al-Zahabi