SDI 0645: Wakaf Minyak Wangi Di Masjid, Pewakaf Boleh Guna Atau Tidak?

Soalan:
Saya hendak wakafkan minyak wangi utk jemaah masjid di qaryag saya. Bolehkah saya juga gunakan minyak wangi itu?

Jawapan:

Barangan wakaf diuruskan menurut syarat yang diletakkan oleh pewakaf. Jika dia wakafkan wangian atau minyak wangi secara am, tanpa meletakkan sebarang syarat, maka pewakaf boleh gunakan wangian yang diwakafkannya itu sama seperti jemaah masjid yang lain. Jika diwakafkan untuk kegunaan jemaah yang hadir untuk solat, maka ia digunakan oleh jemaah yang hadir untuk solat.

Uthman RA telah mewakafkan satu telaga di Madinah. Dalam masa yang sama beliau juga mengambil air dari telaga tersebut.

alImam alTirmizi (3703) meriwayatkan daripada 'Uthman RA yang berkata: "Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ يَشْتَرِي بِئْرَ رُومَةَ ، فَيَجْعَلَ دَلْوَهُ مَعَ دِلَاءِ المُسْلِمِينَ ، بِخَيْرٍ لَهُ مِنْهَا فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: "Siapa yang membeli telaga Rumah (رومة), dan mewakafkannya untuk kegunaan umat Islam (wakaf am), dia akan memperolehi kebaikan dengan sebabnya di dalam syurga." Kata 'Uthman: "Lalu aku membeli telaga tersebut dari hartaku." (Dinilai Hasan oleh alAlbani di dalam Sahih alTirmizi)

Ibn Hajar alHaitami RH berkata:

قول عثمان رضي الله عنه في وقفه بئر رومة: " دلوي فيها كدلاء المسلمين" ليس شرطا، بل إخبار بأن للواقف أن ينتفع بوقفه العام "

"perkataan 'uthman RA tentang telaga Rumah yang diwaqafnya (dalam riwayat lain): "timba cedokan aku sama seperti timba cedokan umat islam lainnya." bukanlah berupa satu syarat, sebaliknya satu perkhabaran bahawa pewaqaf boleh mengambil manfaat dari waqafnya yang am." (alFatawa alFiqhiyyah alKubra 2/275)


Cetak  
Wallahu a'lam