Soalan:
Assalamualaikum, boleh tak terangkan cara-cara mandi wajib secara keseluruhan?. jazakumullahu khaira.
Jawapan:
Mandi Janabah terbahagi kepada dua jenis:
1. Mandi janabah yang memadai (الغسل المجزئ). Yakni seseorang hanya melakukan perkara-perkara wajib mandi sahaja, dengan meninggalkan perkara-perkara yang sunat iaitu dengan dia berniat, kemudian meratakan air ke seluruh badan dengan apa-apa cara samaada menjirus atau terjun ke dalam air. Termasuk juga berkumur-kumur dan menghisap air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya semula. Ini adalah sifat mandi yang memadai atau yang diterima.
2. Mandi Janabah yang sempurna (الغسل الكامل), yakni seseorang mandi seperti mana mandinya Nabi saw. Sifatnya ialah:
i- Memulakan mandian dengan membasuh dua tangan hingga ke pergelangan.
ii- Membasuh kemaluan.
iii- Membaca bismillah (sunat di sisi jumhur ulama dan wajib di sisi al-Hanabilah) Mengambil wudhu sama seperti wudhu untuk solat.
iv- Membasuh kepala dgn air 3 kali.
v- Membasuk keseluruhan badannya.
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum berkumur dan memasukkan air ke hidung. Mazhab al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah beranggapan wajib. al-Imam al-Nawawi menyebut:
“Mazhab ulama dalam persoalan madhmadhah (berkumur) dan memasukkan air ke hidung (al-Isytinsyaq) ada empat pandangan:
1. Kedua-dua itu adalah sunat dalam berwudhu dan mandi (janabah). Inilah mazhab kami (al-Syafie).
2. Kedua-dua itu adalah wajib di dalam wudhu dan mandi (janabah) dan merupakan dua syarat sahnya wudhu dan mandi (janabah). Pendapat ini masyhur di sisi Imam Ahmad.
3. Wajib bagi mandi (janabah) dan tidak wajib bagi wudhu. Ini adalah pendapa Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.
4. al-Isytinsyaq (memasukkan air ke hidung) itu wajib bagi wudhu dan mandi (janabah), manakala berkumur itu tidak wajib. Pendapat ini merupakan satu riwayat dari Imam Ahmad. (Dinukil daripada al-Majmu’ secara ringkas)
Fiqh Ibadat
SDI 1435: Tatacara Mandi Wajib
- Wallahu a'lam