Oleh: al-Syeikh ‘Atiyyah Saqr, (Bekas) Ketua Lembaga Fatwa al-Azhar
Soalan:
Apakah hari yang kita (disunatkan) puasa bersempena dengan mauled Nabi saw, jika hari itu bersamaan dengan hari Jumaat, apakah kita boleh berpuasa?
Jawapan:
Puasa sunat digalakkan dan tidak dikhususkan pada masa atau di tempat tertentu, selamamana tidak dilakukan pada hari yang diharamkan berpuasa seperti pada 2 hari raya, hari-hari Tasri’, hari Syak (berdasarkan perbezaan pendapat ulama tentangnya), dan yang dimakruhkan berpuasa seperti menunggalkan puasa pada hari jumaat dan sabtu.
Manakala hari yang digalakkan puasa ialah seperti hari-hari dalam bulan al-Muharram, dan dalam bulan-bulan yang haram, hari ‘Arafah, ‘Asyura, hari Isnin dan Khamis, tiga hari putih dalam setiap bulan iaitu 13, 14 dan 15 haribulan, 6 hari dalam bulan Syawal, kebanyakan hari dalam bulan Syaban seperti yang dilakukan oleh Nabi saw.
Akan tetapi tidak ada pada hari-hari yang disunatkan puasa ini, hari (yang dianggap) kelahiran Nabi saw yang telah menjadi kebiasaan manusia menyambutnya pada 12 Rabiulawwal, padanya tidak disunatkan puasa, ini disebabkan dua perkara:
1. Hari 12 Rabiulawwal itu tidak disepakati yang ianya adalah hari kelahiran Nabi saw. Kerana ada juga yang berpendapat baginda dilahirkan pada hari ke-9 bulan Rabiulawwal, ada juga yang berpendapat selainnya.
2. (Jika ia pada hari jumaat) Ia jatuh pada hari yang dimakruhkan menunggalkannya dengan berpuasa iaitulah hari Jumaat. Sahih di dalam al-Bukhari dan Muslim, adanya larangan melakukannya berdasarkan sabda Nabi saw: “Jangan seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya juga.”
Kesimpulan: Hari 12 Rabiulawwal tidak ada padanya satu ibadah khusus bersempena dengan kelahiran Nabi saw, puasa pada hari ini tidak sebarang kelebihan yang lain berbanding puasa pada hari yang lain. Asas ibadah adalah mengikut Nabi saw, mencintai Nabi saw adalah dengan mengikut apa yang baginda datangkan seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim: “Sesiapa yang membenci sunnah ku, maka dia bukan daripada ku.” Juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad yang Hasan: “Sesiapa yang mencintaiku, maka hendaklah dia bersunnah dengan sunnahku.”