Azan Jumaat Di Zaman Nabi SAW

Azan yang dilaungkan di zaman Nabi SAW pada hari Jumaat hanya sekali, dan perkara ini telah disepakati oleh semua ulama. Kesemua para ulama bersetuju azan pada hari Jumaat yang dilakukan di zaman Nabi hanya sekali.

Cuma bila berlaku azan dua kali, iaitulah di zaman pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan RA, azan buat dua kali. Kerana apa? kerana pada ketika itu masyarakat umat islam semakin ramai di Madinah, maka ‘Uthman merasakan perlu untuk diadakan peringatan kepada umat islam waktu Jumaat telah hampir, lalu diadakan azan dua kali. Bila dilaungkan azan pertama, siapa yang patut pulang untuk persiapan Jumaat, maka dia boleh pulang segera untuk bersiap mandi dan seumpamanya untuk menunaikan solat Jumaat. Kerana itu azan pertama yang dilaungkan di zaman ‘Uthman adalah di pasar, sebelum tergelincir matahari.

Maka di Perlis, buat azan Jumaat sekali kerana hendak mencontohi solat Jumaat yang dilakukan di zaman Nabi SAW. Alhamdulillah al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Solah, beliau juga mempertahankan azan pada hari Jumaat hanya perlu buat sekali dan beliau nyatakan itulah yang lebih baik dan lebih bertepatan dengan sunnah Nabi SAW, sekalipun al-Qaradhawi dan kita juga tidak membidaahkan pihak yang membuat azan dua kali. Perkara ini saya ingat merupakan satu masej yang penting. Kita azan sekali kerana hendak mencontohi Rasulullah SAW, Jumaat yang dilakukan di zaman Nabi SAW, azan hanya sekali. Dalam masa yang sama kita tidak membidaahkan sesiapa yang melakukan azan dua kali  pada hari Jumaat, kerana jika kita membidaahkan perkara itu, bermakna kita telah membidaahkan ‘Uthman bin ‘Affan RA, salah seorang sahabat, bukan hanya sahabat yang biasa-biasa, bahkan beliau adalah salah seorang daripada Khulafa’ Rasyidin, thalith al-Khulafa’, khulafa’ al-Rasyidin yang ketiga, di mana Rasulullah SAW telah bersabda: عليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين من بعدي maksudnya: “berpeganglah kamu semua kepada sunnahku dan sunnah para khulafa’ selepas daripadaku.” Maka ‘Uthman termasuk dalam salah seorang khulafa’ yang Nabi SAW suruh kita ikut mereka.

Seperti yang kita katakan tadi, solat Jumaat yang asal hanya azan sekali sahaja, dan alhamdulillah, kita tidak bersendiri melaungkan azan sekali pada hari Jumaat. al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Solah menyatakan Qatar juga melakukan perkara yang sama dan saya percaya perkara itu berlaku sampai ke hari ini. al-Qaradhawi juga menyebut masjid-masjid di Qatar melaunkan azan sekali pada hari Jumaat dan mereka tidak menghadapi apa-apa masalah, kerana itulah yang asal yang dilakukan di zaman Nabi SAW. Apatah lagi pada hari ini telah ada jam, penggera masa, alarm, dan sepatutnya umat Islam perlu set alarm di handset, supaya dapat tahu masa hampirnya tiba waktu Jumaat, 10 minit atau lima minit lagi, supaya mereka boleh datang awal di masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Apa-apa kekurangan dalam perlaksanaan solat Jumaat agar lebih bertepatan dengan sunnah Nabi SAW, seperti kita tengak terdapat sebahagian masyarakat Islam lewat datang ke masjid pada hari Jumaat, sebahagiannya baru masuk masjid ketika khutbah sedang disampaikan oleh khatib, ketika khutbah dimulakan, ruang di masjid masih banyak yang kosong, kekurangan-kekurangan yang ada seperti ini, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperbaiki kekurangan tersebut. Ustaz-ustaz perlu sebut dalam kuliah kepada jemaah, memberi rangsangan kepada mereka agar datang awal ke masjid dan jangan tunggu azan, baru nak datang ke masjid, merupakan tindakan yang menyalahi sunnah Nabi SAW.

Jika kita tunggu azan dilaungkan baru nak bersiap datang ke masjid, maknanya kita sampai di masjid ketika khutbah sedang disampaikan, sebahagian khutbag lagi kita tak dengar, sedangkan khutbah itu penting dalam solat Jumaat, sehinggakan ada di kalangan ulama yang mengatakan wajib mendengar khutbah. Oleh itu sepatutnya umat Islam set alarm untuk mereka dapat buat persiapan awal ke masjid, selewat-lewatnya ketika azan dilaungkan, jika lebih dari itu adalah lebih baik.   


Cetak  
Wallahu a'lam