Soalan:
Imam solat jemaah salah baca al-Fatihah pada ayat “ar-Rahmaanir rahim”, imam baca “ar-RahmaNUR rahiim”. Apa hukum ustaz?
Jawapan:
Kesalahan menyebut الرحمنُ الرحيم adalah termasuk kesalahan kecil ketika membaca al-Fatihah, kerana ini tidak mengubah makna. Kata al-Imam al-Nawawi RH:
إذا لَحَنَ فِي القِراءَةِ كُرِهَتْ إمامَتُهُ مُطْلَقًا فَإنْ كانَ لَحْنًا لا يُغَيِّرُ المَعْنى كَرَفْعِ الهاءِ مِن الحَمْدُ لِلَّهِ كانَتْ كَراهَةَ تَنْزِيهٍ وصَحَّتْ صَلاتُهُ وصَلاةُ من اقتدى به، وإن كان لحنا يغير المَعْنى كَضَمِّ التّاءِ مِن أنْعَمْتَ أوْ كَسْرِها أوْ يُبْطِلُهُ بِأنْ يَقُولَ (الصِّراطَ المُسْتَقِينَ) فَإنْ كانَ لِسانُهُ يُطاوِعُهُ وأمْكَنَهُ التَّعَلُّمُ فَهُوَ مُرْتَكِبٌ لِلْحَرامِ ويَلْزَمُهُ المُبادَرَةُ بِالتَّعَلُّمِ فَإنْ قَصَّرَ وضاقَ الوَقْتُ لَزِمَهُ أنْ يُصَلِّيَ ويَقْضِي، ولا يَصِحُّ الِاقْتِداءُ بِهِ
Maksudnya: “Apabila seseorang ada kecacatan pada bacaan, makruh dia menjadi imam secara mutlaq. Jika kecacatan itu tidak mengubah makna seperti memberi hukum rafa’ kepada huruf “Ha’” dari ayat “al-Hamdulillahi” (menjadi alhamdulillaaHU), ma ia makruh dan solat dia dan makmum yang mengikutnya sah. Jika kecacatan bacaan itu mengubah makna seperti memberi baris “dhammah” atau memberi baris “kasrah” kepada huruf “Ta’” dari ungkapan “an‘amTA” (menjadi an‘amTU/TI), atau merosakkannya (merosakkan terus bacaan) seperti dia membaca al-Siratal MustaqIIN, sedangkan lidahnya boleh diperbetulkan dan dia boleh mempelajarinya, maka dia melakukan perkara yang haram, wajib dia segera belajar bagi membetulkan kesalahan tersebut. Jika dia cuai dan sempit masa untuk mempelajarinya, dia wajib solat (untuk waktu solat semasa) setelah itu mengqadha solatnya tersebut, dan tidak boleh ada seseorang yang mengikut solatnya (berjemaah).” (al-Majmu’ 4/268)