Soalan:
Apakah wajijb berturutan menunaikan solat Zohor dan ‘Asar secara jamak? Bagaimana pula jika ditunaikan solat jenazah selepas solat Zohor sebelum Asar yang hendak dijamakkan?
Jawapan:
Menunaikan solat jenazah selepas menunaikan solat Zohor yang hendak dijamakkan dengan ‘Asar tidak memutuskan turutan atau muwalah (الموالاة) pasangan solat jamak.
Huraian
- Wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang hukum al-Muwalah atau berturutan menunaikan pasangan solat Jamak. Sekumpulan ulama mengatakan tidak wajib muwalah atau berturutan antara pasangan solat jamak, sama ada untuk jamak taqdim amahupun ta’khir selagi masih di dalam waktunya. Kerana yang dimaksudkan dengan jamak solat adalah menghimpunkan waktu bukan perbuatan. Antara ulama yang menyatakan pandangan ini ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dan al-Imam Abu Sa‘ied al-Ishtakhriy (أبِي سَعِيدٍ الإصْطَخْرِيِّ) dari kalangan Ashab Mazhab Syafie.
Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 4/376:
المُوالاةُ والمَذْهَبُ الصَّحِيحُ المَنصُوصُ لِلشّافِعِيِّ وقَطَعَ بِهِ المُصَنِّفُ والجُمْهُورُ اشْتِراطُها وفِيهِ وجْهٌ أنَّهُ يَجُوزُ الجَمْعُ وإنْ طالَ الفَصْلُ بَيْنَهُما ما لَمْ يَخْرُجْ وقْتُ الأُولى حَكاهُ أصْحابُنا عَنْ أبِي سَعِيدٍ الإصْطَخْرِيِّ وحَكاهُ الرّافِعِيُّ عَنْهُ وعَنْ أبِي عَلِيٍّ الثَّقَفِيِّ مِن أصْحابِنا
maksudnya: “(Syarat yang ketiga) al-Muwalah (bersambungan), pandangan al-Mazhab al-Sahih al-Mansus bagi al-Imam al-Syafie dan yang telah diputuskan oleh penulis (al-Syirazi) dan majoriti ulama, mensyaratkan muwalah. Dalam perkara terdapat satu wajah yang mengatakan boleh jamak sekalipun lama waktu pemisah antara dua pasangan solat jamak selagi belum keluar waktu pertama. Dihikayatkan pandangan ini oleh para Ashab dari Abi Sa‘id al-Istakhriy, al-Rafi’e dan Abi ‘Ali al-Thaqafi.”
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa 24/54 RH:
وَالصَّحِيحُ أَنَّهُ لَا تُشْتَرَطُ الْمُوَالَاةُ بِحَالٍ لَا فِي وَقْتِ الْأُولَى وَلَا فِي وَقْتِ الثَّانِيَةِ ؛ فَإِنَّهُ لَيْسَ لِذَلِكَ حَدٌّ فِي الشَّرْعِ ، وَلِأَنَّ مُرَاعَاةَ ذَلِكَ يُسْقِطُ مَقْصُودَ الرُّخْصَةِ
maksudnya: “Dan yang sahih (benar) bahawa tidak disyaratkan muwalah (berturutan) sama ada untuk jamak taqdim atau ta’khir. Sesungguhnya tiada penetapan batas berturutan dalam syara’. Demikian juga menjadikan muwalah syarat melakukan jamak menggugurkan maksud keringanan dari pensyariatan jamak.”
Beliau juga berkata 24/52:
كلام الإمام أحمد يَدُلُّ عَلَى أَنَّ الْجَمْعَ عِنْدَهُ هُوَ الْجَمْعُ فِي الْوَقْتِ ، وَإِنْ لَمْ يصل إحْدَاهُمَا بِالْأُخْرَى ، وَأَنَّهُ إذَا صَلَّى الْمَغْرِبَ فِي أَوَّلِ وَقْتِهَا وَالْعِشَاءَ فِي آخِرِ وَقْتِ الْمَغْرِبِ - حَيْثُ يَجُوزُ لَهُ الْجَمْعُ - جَازَ ذَلِكَ
maksudnya: “Perkataan al-Imam Ahmad menunjukkan jamak di sisi beliau adalah jamak dalam waktu, sekalipun tidak bersambungan antara duanya (pasangan solat jamak). Apabila seseorang menunaikan solat Maghrib di awal waktu dan solat ‘Isyak di akhir waktu Maghrib (kerana jamak), harus demikian itu.”
- Manakala pandangan majoriti ulama mengatakan wajib muwalah menunaikan pasangan solat Jamak, jika jamak dilakukan secara taqdim. Majoriti ulama berpandangan solat Jamak itu seperti solat yang satu, maka wajib dilakukan secara berturutan atau muwalah. Demikian juga perkara ini berdasarkan perbuatan yang dilakukan oleh Nabi SAW yang tidak pernah melakukan jamak secara terpisah antara pasangannya. Kata Ibn Hajar al-Haitami RH dalam Tuhfah al-Muhtaj 2/397:
(يشترط) الموالاة بألا يطول بينهما فصل؛ لأنها تابعة والتابع لا يفصل عن متبوعه، لأنه المأثور، ولهذا تركت الرواتب بينهما. فإن طال الفصل بينهما ولو بعذر كجنون: وجب تأخير الثانية إلى وقتها؛ لزوال رابطة الجمع. ولا يضر فصل يسير, ويعرف طوله وقصره بالعرف; لأنه لم يرد له ضابط
maksudnya: “(Disyaratkan) muwalah (berturutan) dalam bentuk tiada pemisah yang panjang antara keduanya (antara dua pasangan solat Jamak). Ini kerana (solat yang kedua) adalah mengikut solat yang pertama, maka yang mengikut tidak boleh dipisahkan dari yang diikut, dan inilah yang dilakukan (di zaman Nabi dan para sahabat), kerana itu ditinggalkan solat sunat Rawatib antara dua pasangan solat Jamak. Jika berlaku pemisahan yang panjang antara keduanya, sekalipun kerana ada keuzuran seperti diserang penyakit gila, wajib melewatkan waktu kedua (Asar atau Isyak) untuk ditunaikan dalam waktunya, disebabkan telah hilang hubungan jamak. (Namun) tidak mengapa jika berlaku pemisahan yang seketika. Dapat dibeza antara pemisahan yang lama dan seketika ini menurut uruf, kerana tidak terdapat ketetapan (dari syarak) untuknya.”
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 15/288 dinyatakan:
ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ الْقَائِلِينَ بِجَوَازِ الْجَمْعِ إلَى أَنَّهُ يُشْتَرَطُ لِجَمْعِ التَّقْدِيمِ أَرْبَعَةُ شُرُوطٍ : .... ، ثَالِثُهَا : الْمُوَالَاةُ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ وَهِيَ أَنْ لَا يَفْصِلَ بَيْنَهُمَا زَمَنٌ طَوِيلٌ ، أَمَّا الْفَصْلُ الْيَسِيرُ فَلَا يَضُرُّ ; لِأَنَّ مِنْ الْعَسِيرِ التَّحَرُّزَ مِنْهُ . فَإِنْ أَطَالَ الْفَصْلَ بَيْنَهُمَا بَطَلَ الْجَمْعُ سَوَاءٌ أَفَرَّقَ بَيْنَهُمَا لِنَوْمٍ ، أَمْ سَهْوٍ ، أَمْ شُغْلٍ ، أَمْ غَيْرِ ذَلِكَ . وَالْمَرْجِعُ فِي الْفَصْلِ الْيَسِيرِ وَالطَّوِيلِ الْعُرْفُ كَمَا هُوَ الشَّأْنُ فِي الْأُمُورِ الَّتِي لَا ضَابِطَ لَهَا فِي الشَّرْعِ أَوْ فِي اللُّغَةِ
maksudnya: “Majoriti ulama yang berpandangan harus menjamakkan solat meletakkan empat syarat untuk jamak taqdim… yang ketiga ialah: al-Muwalah antara pasangan solat iaitulah tidak dipisahkan antara keduanya oleh tempoh masa yang lama. Adapun pemisahan yang seketika tidak mengapa. Ini kerana termasuk dalam kesukaran untuk memastikan tidak berlaku pemisahan. Jika pemisahan antara kedua solat itu lama, batal (keharusan) jamak, sama ada dipisahkan disebakan tidur atau terlupa atau sesuatu kesibukan atau lainnya. Rujukan untuk mengenalpasti pemisahan yang lama dan seketika adalah berdasarkan ‘uruf, sama seperti persoalan lain yang tidak diletakkan ketetapan dalam syarak atau bahasa.”
Dalam Fatwa Jordan ada dinyatakan berkaitan tempoh lama yang boleh memggugurkan keizinan melakukan jamak dengan kenyataan:
وقد بين الفقهاء المتأخرون أن الفاصل اليسير هو الوقت الذي يكفي لأداء ركعتين خفيفتين بوضوء وأذان وإقامة، ونحن نقدره اليوم بسبع دقائق، فإن زاد الفاصل عن مثل هذا الوقت فهو فاصل طويل، وإن شك المصلي هل طال الفصل أم قصر، فلا يجمع بين الصلاتين، كما في "حاشية نهاية المحتاج" (2/276)
maksudnya: “Dan para fuqaha yang kemudian telah menjelaskan bahawa pemisah yang sedikit atau seketika itu ialah waktu yang memadai untuk menunaikan solat dua rakaat yang ringkas, beserta wudhu, azan dan iqamah. Kami jadikan kadarnya pada hari ini sekitar tujuh minit. Jika pemisahan yang berlaku lebih dari tempoh ini, maka ia pemisahan yang lama. Jika seseorang ragu apakah pemisahan yang berlaku itu seketika atau lama, maka jangan dia jamak antara dua solat tersebut, sepertimana yang terdapat di dalam Hasyiah NIhayah al-Muhtaj 2/276.” (sumber https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=1873#.Y9cfs3ZBzIW, dilihat pada 30/1/223)
Kesimpulan
al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH dalam al-Syarh al-Mumti’ 4/400 berkata:
وقد ذكر شيخ الإِسلام رحمه الله نصوصاً عن الإِمام أحمد تدل على ما ذهب إليه ، من أنه لا تشترط الموالاة في الجمع بين الصلاتين تقديماً ، كما أن الموالاة لا تشترط بالجمع بينهما تأخيراً، والأحوط أن لا يجمع إذا لم يوالِ بينهما ، ولكن رأي شيخ الإِسلام له قوة
maksudnya: “Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH telah menyebut teks dari al-Imam Ahmad yang menunjukkan pandangannya, bahawa tidak disyaratkan berturutan atau bersambungan pada jamak antara dua solat secara taqdim. Sama juga tidak disyaratkan bersambungan untuk jamak secara ta’khir. Namun yang lebih berhati-hati ialah tidak melakukan jamak jika tidak bersambungan antara dua pasangan solat (seperti pandangan majoriti ulama). Akan tetapi pandangan Syeikh al-Islam (Ibn Taimiyyah) itu juga memiliki kekuatan.”