SDI 1461: Orang Yang Makan Dari Sumber Yang Haram, Apakah Tetap Perlu Solat?

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh macam mana dengan solat orang yang kerjanya haram, makan duit haram dan makanannya juga haram adakah dia tetap kena solat dan Adakah solatnya masih boleh diterima oleh Allah subhanahu wataala?

 

Jawapan: Pertama sekali kita kena tanya dulu, orang yang memakan makanan yang haram itu, apakah orang Islam ataupun tidak? Jika dia Islam, maka jawapan soalan ini ikut jawapan kita, Islan atau tidak? Kalau kita kata dia Islam, maka sudah tentu orang Islam wajib ke atasnya menunaikan solat, sekali pun dia makan makanan yang haram, dia minum minuman yang haram, dia pakai pakaian yang haram, tetap wajib ke atasnya menunaikan solat. Sama ada solatnya itu diterima atau tidak diterima, bukan bermakna dia boleh meninggalkan solat.  Kalau dia tidak solat, dia tetap akan disoal di akhirat kenapa tidak menunaikan solat, di samping soalan kenapa dia berusaha mencari harta yang haram. Jadi dia kena jawab dua perkara. Oleh kerana itu orang yang memakan, meminum dan memakai dari sumber yang haram, wajib juga ke atasnya menunaikan solat dan itulah perintah agama ke atas orang-orang yang mengaku dirinya beragama Islam.

 

Kemudian menjadi kewajipan seorang muslim juga untuk dia berusaha bebas dari harta yang haram. Inilah perkara yang lebih utama untuk kita beri perhatian. Adapun apakah ibadah dia diterima, maka dia kena berusaha memastikan ibadah dia diterima oleh Allah SWT, dengan cara menjauhi perkara-perkara yang haram, bukan dengan cara, "dah aku lakukan perkara yang haram, maka  aku tak perlulah solat," maka itu cara fikir yang salah.

 


Cetak  
Wallahu a'lam