Soalan:
Saya ada wang simpanan, saya juga ada hutang. Apakah wajib zakat ke atas saya?
Jawapan:
Siapa yang memiliki harta maka wajib dia mengeluarkan zakat sekalipun di ada berhutang. Hutang tersebut tidak menggugurkan anda dari mengeluarkan zakat. Inilah Mazhab al-Syafie RH berdasarkan keumuman dalil yang menunjukkan wajib zakat bagi orang yang telah memiliki nisab. Nabi SAW telah menghantar para petugas untuk mengutip zakat di zaman baginda, namun baginda tidak arahkan mereka memeriksa terlebih dahulu apakah orang yang memiliki harta itu menanggung hutang ataupun tidak?
Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz ‘Abdullah bin Baz RH berkata:
وأما الدين الذي عليه فلا يمنع الزكاة في أصح أقوال أهل العلم
Maksudnya: “Adapun hutang yang ditanggung seseorang, ia tidak menghalang kewajipan zakat berdasarkan pandangan yang lebih sahih dari pandangan-pandangan ulama.” (Majmu’ al-Fatawa Ibn Baz 14/189)
Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pula berkata:
والذي أرجحه أن الزكاة واجبة مطلقا ، ولو كان عليه دين ينقص النصاب ، إلا دَيْناً وجب قبل حلول الزكاة فيجب أداؤه ، ثم يزكي ما بقي بعده
Maksudnya: “Dan yang lebih Rajih, bahawa zakat adalah wajib secara mutlak. Sekalipun seseorang itu menanggung hutang yang akan mengurangkan nisab, melainkan hutang yang wajib dilangsaikan sebelum tempoh mengeluarkan zakat, maka ketika itu wajib menyelesaikan hutang kemudian mengeluarkan zakat berdasarkan baki yang tinggal.” (al-Syarh al-Mumti’ 6/39. Lihat juga al-Majmu’ 5/317. Nihayah al-Muhtaj 3/133. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 23/247)