Soalan:
Bolehkah seorang makmum lewat memberi salam setelah imam memberi salam?
Jawapan:
Dalam perkara berkaitan solat jemaah Nabi SAW bersabda: إنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ maksudnya: "Diadakan imam itu adalah bertujuan untuk diikuti, maka janganlah kamu semua menyalahinya (dalam perbuatan solat)." (al-Bukhari dan Muslim)
Kerana itu kita dapati ada dalam kalangan ulama yang melarang makmum berbeza perbuatan dengan imam termasuk dalam bab salam solat. Kata al-Hattab al-Maliki dari mazhab Maliki dalam Mawahib al-Jalil: وَلَا يَنْبَغِي لِلْمَأْمُومِ أَنْ يُؤَخِّرَ سَلَامَهُ بَلْ يَتَحَلَّلَ عَقِبَ سَلَامِ إمَامِهِ "tidak sepatutnya bagi makmum melewatkan memberi salam, sebaliknya hendaklah makmum itu memberi salam selepas salam imam."
Namun jika seseorang makmum melewatkan salamnya selepas imam memberi salam, perbuatannya tersebut tidak membatalkan solatnya. Inilah juga yang dinyatakan oleh ulama dalam mazhab Maliki seperti al-Nafrawi (النفراوي) dalam al-Fawaki al-Dawani: إنَّمَا يُبْطِلُ صَلَاةَ الْمَأْمُومِ إنْ خَتَمَ قَبْلَ الْإِمَامِ لَا إنْ تَأَخَّرَ عَنْ سَلَامِ الْإِمَامِ أَوْ صَاحَبَهُ عَلَى الْمُعْتَمَدِ "Hanya yang membatalkan solat makmum jika makmum menamatkan solat sebelum imam, bukan jika makmum melewatkan salam dari salam imam atau bersamaan dengan salam imam berdasarkan yang muktamad."
Bahkan di sisi ulama mazhab Syafie, tidak menjadi masalah bagi makmum yang lewat memberi salam setelah salam imam. Hal ini kerana di sisi mereka perintah makmum mengikuti imam telah tamat dengan imam memberi salam. Kata al-Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj': وَتَنْقَضِي الْقُدْوَةُ بِسَلَامِ الْإِمَامِ، فَلِلْمَأْمُومِ أَنْ يَشْتَغِلَ بِدُعَاءٍ وَنَحْوِهِ ثُمَّ يُسَلِّمَ makusnya: "Dan tamat ikutan makmum dengan salam imam. Maka bagi makmum boleh mengisi ruang yang ada dengan doa dan seumpamanya, setelah itu memberi salam."