SDI 0655: Pernahkan Rasulullah SAW Melaksanakan Umrah Dalam Bulan Rejab?

Soalan
Apakah melaksanakan umrah dalam bulan Rejab termasuk perkara yang digalakkan? Sebahagian orang ada yang mendakwa Nabi SAW pernah melakukan Umrah dalam bulan Rejab. Benarkan dakwaan ini?

Jawapan:

Nabi SAW tidak pernah melakukan umrah dalam bulan Rejab. Hal ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, kata Mujahid:

دَخَلْتُ أَنَا وَعُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ الْمَسْجِدَ فَإِذَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا جَالِسٌ إِلَى حُجْرَةِ عَائِشَةَ وَإِذَا نَاسٌ يُصَلُّونَ فِي الْمَسْجِدِ صَلَاةَ الضُّحَى قَالَ فَسَأَلْنَاهُ عَنْ صَلَاتِهِمْ فَقَالَ بِدْعَةٌ ثُمَّ قَالَ لَهُ كَمْ اعْتَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعًا إِحْدَاهُنَّ فِي رَجَبٍ فَكَرِهْنَا أَنْ نَرُدَّ عَلَيْهِ قَالَ وَسَمِعْنَا اسْتِنَانَ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ فِي الْحُجْرَةِ فَقَالَ عُرْوَةُ يَا أُمَّاهُ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ أَلَا تَسْمَعِينَ مَا يَقُولُ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ قَالَتْ مَا يَقُولُ قَالَ يَقُولُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اعْتَمَرَ أَرْبَعَ عُمَرَاتٍ إِحْدَاهُنَّ فِي رَجَبٍ قَالَتْ يَرْحَمُ اللَّهُ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ مَا اعْتَمَرَ عُمْرَةً إِلَّا وَهُوَ شَاهِدُهُ وَمَا اعْتَمَرَ فِي رَجَبٍ قَطُّ

Maksudnya: “Aku dan ‘Urwah bin al-Zubair masuk ke dalam masjid (Masjid Nabawi). Ketika itu ‘Abdullah bin ‘Umar sedang duduk bersandar kepada bilik ‘A’isyah RA, lalu beliau ditanya: “Berapa kali Rasulullah melakukan ‘Umrah?” Beliau menjawab: “4 kali, salah satunya dalam bulan Rejab.” (kata Mujahid) kami tidak suka untuk membantah beliau.” Katanya lagi: “Kami juga mendengar bunyi siwak yang digunakan oleh ‘Aisyah di dalam bilik beliau.” Lalu ‘Urwah berkata: “Wahai ibu, wahai ibu kepada orang-orang yang beriman, tidakkah anda dengar apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abd al-Rahman (‘Abdullah bin ‘Umar).” Kata ‘Aisyah: “Apa yang dia kata?” Jawab ‘Urwah: “dia berkata bahawa Rasulullah SAW telah melakukan umrah sebanyak 4 kali, salah satunya dalam bulan Rejab.” Jawab ‘Aisyah: “Semoga Allah merahmati Abu ‘Abd al-Rahman, tidak pernah baginda melakukan satu umrah, melainkan beliau (Ibn ‘Umar) bersama dengan baginda (SAW), dan tidaklah pernah baginda melakukan umrah dalam bulan Rejab sama sekali.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sekalipun demikian, perlu dijelaskan bahawa umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Yang dimaksudkan di sini ialah mengkhususkan umrah pada bulan Rejab dan menganggap terdapat kelebihan yang tertentu adalah sesuatu yang tidak benar.


Cetak  
Wallahu a'lam