Soalan:
Bagaimana cara nak keluarkan fidyah bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa? Sebelum masuk Ramadan atau selepas Ramadan?
Jawapan:
Cara mengeluarkan fidyah, sama ada sebelum Ramadan atau selepas Ramadan menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.
Pandangan pertama mengatakan, orang yang tidak mampu berpuasa dan tiada lagi harapan sembuh, seperti orang tua, boleh mengeluarkan fidyah untuk sebulan Ramadan di awal bulan Ramadan. Boleh juga melewatkan pengeluaran fidyah sehingga ke penghujung Ramadan. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi.
Pandangan kedua mengatakan wajib mengeluarkan fidyah menurut hari, iaitulah dikeluarkan pada setiap hari selepas terbit fajar. Boleh juga di awalkan sebelum terbit fajar, iaitulah pada waktu malam. Boleh juga dikeluarkan di penghujung bulan Ramadan. Tidak boleh atau tidak sah fidyah yang dikeluarkan di awal Ramadan untuk hari-hari Ramadan yang berikutnya. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi’e.
Siapa yang mengamalkan salah satu dari pandangan ini, dia di bawah bimbingan para ulama. Namun pandangan yang kedua adalah lebih berhati-hati dan suatu yang dianjurkan berdasarkan kaedah “keluar dari perbezaan pendapat ulama itu adalah suatu yang lebih utama.”