Soalan:
Saya ingin bertanya pendapat Ustaz tentang imam yang membaca surah panjang ketika solat berjemaah, sehingga membebankan makmum.
Jawapan:
Seorang imam tidak wajar membebankan makmum di dalam solat Jemaah dengan memanjangkan bacaannya pada kadar diluar kemampuan. Hal ini bertentang dengan Sunnah, Nabi SAW bersabda:
إذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَذَا الْحَاجَةِ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu menjadi imam solat kepada orang ramai, maka hendaklah dia meringankan, kerana dalam kalangan orang ramai itu adalah orang yang lemah, sakit, dan memiliki hajat. Jika kamu solat sendirian, maka panjangkanlah menurut kehendaknya.” (al-Bukhari dan Muslim)
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim memberi huraian yang menarik di dalam bab ini. Di mana beliau menyatakan para ulama berkata bahawa Solat yang ditunaikan oleh Nabi SAW berbeza-beza panjang dan pendeknya menurut keadaan orang ramai. Jika makmum menghendaki dipanjangkan bacaan, mereka pula tiada sebarang kesibukan, maka baginda akan memanjangkan bacaan. Jika keadaan sebaliknya baginda akan meringan atau memendekkan bacaan. Kadang-kala pula baginda hendak memanjangkan bacaan, kemudian berlaku sesuatu yang memerlukan dipendekkan bacaan seperti baginda mendengar tangisan bayi, maka baginda meringankan solat. Dikatakan juga baginda Nabi SAW pernah memanjangkan bacaan di dalam solat namun tidak kerap. Manakala Baginda memendekkan bacaan di dalam solat dalam kebanyakan keadaannya. Perbezaan perbuatan baginda ini bagi menerangkan bahawa memanjangkan bacaan di dalam solat berjemaah itu harus, manakala memendekkannya pula adalah afdhal (yang lebih utama). Baginda SAW juga pernah marah kepada imam yang terlalu memanjangkan bacaan dengan bersabda:
إِنَّ مِنْكُمْ مُنَفِّرِينَ فَأَيُّكُمْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمُ السَّقِيمَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya dari kalangan kamu ini mereka yang menjauhkan orang ramai (daripada solat berjemaah), maka mana-mana dari kalangan kamu yang menjadikan imam solat kepada orang ramai, hendaklah dia meringankan (solat), kerana dalam kalangan orang ramai itu ada orang yang sakit, yang lemah dan yang ada sesuatu hajat.”
Dikatakan juga berbezanya perbuatan Nabi SAW dalam permasalahan ini bagi menunjukkan bahawa bacaan selepas membaca al-Fatihah tiada had atau batasan tertentu, boleh dipanjangkan atau dipendekkan. Secara umumnya berdasarkan Sunnah adalah meringankan bacaan di dalam solat seperti yang diarahkan kerana sebab yang telah dijelaskan oleh baginda sendiri. Jika tiada sebab yang menghalang dipanjangkan bacaan di dalam solat maka boleh dipanjangkan.
Adapun kadar bacaan surah di dalam solat-solat fardu, para ulama berpandangan, berdasarkan Sunnah:
1) Untuk solat Subuh dan Zohor adalah surah-surah Tiwal al-Mufassal (طوال المفصل), dimana Subuh adalah lebih pandangan berbanding Zohor. Sebahagian ulama berpandangan Surah Tiwal al-Mufassal ialah bermula dari surah al-Hujuraat hingga Surah ‘Abasa.
2) Untuk solat ‘Isya’ dan ‘Asar pula adalah surah-surah Awsath al-Mufassal (أوساط المفصل). Bermula dari surah al-Nazi’aat hingga surah al-Dhuha.
3) Untuk solat Maghrib pula adalah surah-surah Qisor al-Mufassal (قصار المفصل). Iaitulah dari surah al-Insyirah hingga al-Nas. – Tamat nukilan beserta sedikit olahan -
Soalan:
Betulkah ada yg mengatakan nabi pernah jadi imam dgn membaca keseluruhan surah al-Baqarah & ali imran pd rakaat pertama & kedua dalam solat. Adakah kenyataan ini sahih?
Jawapan:
Ya, ia sabit dalam hadis yang sahih dari Huzaifah RA. Namun solat itu bukan solat fardhu, sebaliknya solat malam. Baginda membaca selepas alFatihah: surah alBaqarah, alNisa' dan Ali Imran dalam satu rakaat.