Hukum Orang Gila Yang Menjadi Waras Di Siang Hari Ramadan

Orang gila yang waras di siang hari Ramadhan. Menurut pandangan ulama mazhab Hanafi, hendaklah menahan diri dari makan dan minum pada baki siang hari yang ada. (Fath alQadir 2/363, oleh al-Kamal bin al-Humam lahir 790H - 861H). Inilah juga pandangan Imam Ahmad menurut salah satu riwayat daripadanya (alMughniy 3/46). 

Orang gila yang waras pada siang hari Ramadhan perlu menahan diri dari makan dan minum, kerana pada siang hari Ramadhan tersebut dia termasuk dalam kalangan mereka yang wajib berpuasa. Maka dia tidak boleh makan dan minum bagi menjadikan dirinya sama seperti mereka yang berpuasa dan bagi menunaikan hak hari tersebut. (alBahr alRa'iq 2/313)

Namun pandangan ini berbeza dengan pandangan majoriti ulama termasuk Imam Malik dan Imam alSyafi'ie yang berpandangan sesiapa yang harus berbuka pada awal siang hari, maka harus juga dia makan pada keseluruhan hari tersebut. Pandangan ini dikuatkan dengan riwayat daripada Ibn Mas'ud RA yang berkata:

مَنْ أَكَلَ أَوَّلَ النَّهَارِ فَلْيَأْكُلْ آخِرَهُ

Maksudnya: "sesiapa yang (diharuskan) makan pada awal siang hari, maka dia juga boleh makan pada penghujung (baki) hari tersebut." (alMughniy oleh Ibn Qudamah)

Kata Imam alNawawi RH:

"إذَا قَدِمَ الْمُسَافِرُ فِي أَثْنَاءِ نَهَارِ رَمَضَانَ وَهُوَ مُفْطِرٌ , فَوَجَدَ امْرَأَتَهُ قَدْ طَهُرَتْ فِي أَثْنَاءِ النَّهَارِ مِنْ حَيْضٍ أَوْ نِفَاسٍ أَوْ بَرَأَتْ مِنْ مَرَضٍ وَهِيَ مُفْطِرَةٌ فَلَهُ وَطْؤُهَا وَلا كَفَّارَةَ عَلَيْهِ عِنْدَنَا بِلا خِلَافٍ" اهـ

Maksudnya: "Apabila seorang musafir sampai ke rumahnya pada siang hari Ramadan. Dia  pula tidak berpuasa (kerana musafir). Dia juga mendapati isterinya telah suci di siang hari  dari haid atau nifas atau telah sembuh dari penyakit, dan isterinya itu tidak berpuasa. Maka lelaki itu boleh bersama dengan isterinya (pada siang Ramadan) tanpa sebarang kaffarah di sisi kami (mazhab alSyafi'ie) tanpa sebarang khilaf." (alMajmu' 6/174)

 

Ibn 'Uthaimin memilih pandangan ini. Dalam Fatawa alSiyam (102), ketika ditanya benarkah beliau berpandangan orang yang tidak berpuasa disebabkan keuzuran tidak perlu menahan diri dari makan dan minum? Beliau menjawab:

"Ya pandangan ini benar pandanganku. Ia juga berdasarkan salah satu pandangan Imam Ahmad RH. Ia juga mazhab Malik dan alSyafi'ie RH. Diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud RA yang berkata: "Sesiapa makan (tidak berpuasa kerana keuzuran) di awal siang. Maka dia juga boleh makan di penghujungnya (sepanjang siang Ramadhan)." Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Yazid, beliau adalah Abu alSya'thaa', seorang imam Tabi'ien lagi seorang yang Faqih, ketikamana beliau baru pulang dari permusafiran, dan mendapati isterinya suci dari Haid (pada siang Ramadan) pada hari tersebut, lalu beliau menyetubuhinya. Dua athar ini dinyatakan dalam alMughniy, namun penulisnya tidak melakukan kritikan ke atas dua-dua athar tersebut. Ini kerana tiada faedah jika tidak makan dan minum. Ini kerana tidak sah puasa pada hari tersebut melainkan mesti dimulai dari terbit fajar. Mereka ini (orang-orang yang dalam keuzuran) dibolehkan tidak berpuasa di permulaan/awal hari dalam keadaan mereka tahu ketika itu bulan Ramadan. Allah pula mewajibkan menahan diri dari makan dan minum bermula dari fajar (bagi orang yang berpuasa). Sedangkan mereka pada waktu tersebut (waktu fajar) bukan dalam kalangan orang yang diwajibkan puasa dan bukan juga dari kalangan orang yang dituntut menahan diri dari makan dan minum. Demikian juga, Allah yang meminta orang yang bermusafir dan yang berhaid menggantikannya pada hari yang lain sebagai ganti hari Ramadan yang mereka tidak berpuasa. Jika kita mewajibkan mereka menahan diri pada hari yang mereka berkeuzuran, ini bermakna kita telah wajibkan kepada mereka lebih banyak dari apa yang diwajibkan oleh Allah. Ini kerana kita telah mewajibkan kepada mereka menahan diri dari makan dan minum pada hari tersebut dan wajib juga qadha, bermakna kita mewajibkan kepada mereka dua perkara, sedangkan yang wajib hanya satu iaitulah ganti menurut bilangan hari yang ditinggalkan pada hari yang lain. Inilah dalil yang paling jelas menunjukkan tidak wajib (menahan diri dari makan, minum dan jima' bagi orang yang tidak puasa kerana keuzuran)... akan tetapi sepatutnya makan dan minum itu tidak dizahirkan jika perbuatan itu mengundang keburukan."


Cetak  
Wallahu a'lam