SDI 1528: Hukum Membatalkan Ibadah Sunat Yang Telah Mula Dilakukan

Soalan:

Salam Ustaz.

Apakah hukum membatalkan solat sunat atau ubadah sunat lain dengan sengaja

Jawapan:

Pertama: Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 34/51; Tidak boleh membatalkan ibadah wajib setelah memulakannya tanpa sebarang alasan yang dibenarkan oleh syarak dengan kesepakatan ulama. Ini kerana perbuatan sengaja membatalkan ibadah wajib setelah mula melakukannya adalah perbuatan bermain-main dengan ibadah yang menyalahi kemuliaan ibadah itu sendiri. Perkara ini ditegah berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah rasul, dan jangan kamu membatalkan amalan-amalan saleh kamu.” (Muhammad: 33)

            Namun harus atau boleh membatalkan ibadah wajib kerana ada sebab yang dibenarkan oleh syarak seperti bertujuan membunuh ular dan seumpamanya kerana terdapat anjuran membunuhnya. Demikian juga kerana bimbang kehilangan harta berharga atau seumpamanya, menyelamatkan orang yang dalam kecemasan, menyedarkan orang lalai dari mara bahaya yang tidak dapat dilakukan dengan mengucapkan tasbih, membatalkan puasa wajib untuk menyelamatkan orang yang sedang lemas dan seumpamanya.

Kedua: Para ulama berbeza pandangan hukum membatalkan ibadah sunat setelah mula melakukannya. Ulama mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan, tidak boleh membatalkan ibadah sunat setelah mula melakukannya tanpa secara keuzuran. Hukumnya sama seperti ibadah wajib. Kedua-duanya wajijb disempurnakan, kerana kedua-duanya adalah ibadah, wajib menyempurnakannya apabila telah mula melakukannya.

            Manakala ulama mazhab Syafi‘e dan Hambali berpandangan sunat menyempurnakan ibadah sunat yang telah mula dilakukan. Namun harus atau boleh membatalkan ibadah sunat sekalipun telah mula melakukannya berdasarkan hadis Nabi SAW berkaitan orang yang berpuasa sunat: الصَّائمُ المتطوِّعُ أمينُ نفسِهِ إن شاءَ صامَ وإن شاءَ أفطرَ yang bermaksud: “Orang yang berpuasa sunat, adalah amin dirinya sendiri, jika dia mahu, dia boleh sempurnakan puasanya. Jika dia mahu, dia boleh membatalkan puasanya.” (al-Tirmizi. Dinilah sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi)

Badr al-Din al-Zarkasyi, seroang ulama mazhab Syafi‘e dalam kitabnya al-Manthur Fi al-Qawa-id al-Fiqhiyyah 2/242-243 menyatakan satu kaedah yang  menyebut: الشُّرُوعُ لَا يُغَيِّرُ حُكْمَ الْمَشْرُوعِ فِيهِ, yang bermaksud: “Mula melakukan (sesuatu ibadah sunat) tidak mengubah hukum ibadah tersebut.”

Kaedah ini bermaksud, seseorang yang mula melakukan sesuatu ibadah sunat seperti solat atau puasa sunat, tidak wajib menyempurnakan ibadat sunat tersebut (di sisi ulama mazhab Syafi‘e).

Namun terdapat lima ibadah sunat yang terkecuali dari kaedah ini, atau terdapat lima ibadah sunat yang wajib disempurnakan setelah mula melakukannya. Lima ibadah tersebut ialah:

  1. Ibadah haji dan umrah, di mana apabila mula melakukan ibadah haji, wajib menyempurnakannya. Ini kerana orang yang melakukan perkara yang boleh merosakkan ibadah haji, tetap dituntut menyempurnakannya (dengan membayar dam). Maka sengaja membatalkannya adalah lebih utama ditegah.
  2. Ibadah korban. Sekalipun hukumnya sunat, apabila sesuatu korban telah disembelih, maka wajib haiwan korban tersebut dilakukan sepertimana daging ibadah korban. Tidak boleh membatalkannya.
  3. Jihad fi sabilillah wajib disempurnakan kerana terdapat larangan hadis Nabi SAW dari lari meninggalkan medan jihad.
  4. Solat jenazah pertama bagi sesuatu jenazah. Atas alasan perbuatan membatalkan solat jenazah pertama ke atas sesuatu jenazah akan menafikan hak jenazah tersebut. Demikian juga berdasarkan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan solat jenazah yang ditunaikan kali kedua untuk sesuatu jenazah, hukumnya adalah sunat.
  5. Seorang musafir yang telah memulakan solat dengan niat tamam, wajib melaksanakan solat tersebut secara tamam, tidak boleh mengubahnya kepada qasar.

Cetak  
Wallahu a'lam