Soalan:
Bolehkah seseorang melakukan korban untuk orang lain?
Jawapan:
Korban unutk orang lain ada dua keadaan:
Pertama: Korban untuk orang yang telah meninggal dunia. Di sisi majoriti ulama dan satu qaul di sisi ulama Syafie, sah korban untuk orang yang telah meninggal dunia. Manakala majoriti ulama mazhab Syafie berpandangan tidak sah korban untuk orang yang telah meninggal dunia melainkan jika jenazah tersebut ada berwasiat ketika hidupnya. Inilah pandangan yang rajih di sisi ulama mazhab Syafie.
Kedua: Korban untuk orang yang masih hidup. Kebanyakan ulama terdiri dari mazhab Hanafi dan Syafie berpandangan tidak sah korban untuk orang yang masih hidup, melainkan terlebih dahulu mendapat keizinan daripadanya. Ini kerana korban adalah ibadah, justeru ia memerlukan niat dari tuan punya diri. Kata al-Imam al-Nawawi RH "Tidak sah korban untuk orang lain (yang masih hidup) tanpa mendapat keizinan daripadanya terlebih dahulu, demikian juga untuk orang yang telah meninggal dunia jika dia tidak ada meninggalkan wasiat lakukan korban untuknya."
Sekalipun begitu, dalam persoalan melakukan korban untuk orang yang telah meninggal dunia yang tiada meninggalkan wasiat buatkan korban unutknya, Majlis Fatwa Jordan memilih pandangan majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan sebahagian ulama mazhab Syafie juga yang berpandangan boleh atau harus melakukan korban tersebut dan pahalanya sampai kepada jenazah, insyaAllah.
Antara bukti keharusan ini ialah keberadaan banyak dalil yang menunjukkan sampainya pahala amalan soleh kepada orang yang telah meninggal dunia. Kerana itu boleh qadha puasa untuk orang yang telah meninggal dunia, demikian juga boleh melaksanakan haji untuk orang yang telah meninggal dunia. Jika puasa yang merupakan ibadah badaniyyah, manakala haji pula ibadah badaniyyah dan maliyyah, jika dilakukan untuk orang telah meninggal dunia, sampai pahalanya kepada jenazah, maka ibadah korban yang merupakan ibadah maliyyah adalah lebih utama untuk dikatakan boleh.
Selain itu para ulama juga bersepakat sampainya pahala sedekah untuk orang yang telah meninggal dunia. Maka korban untuk orang yang telah meninggal dunia adalah dalam kumpulan sedekah. Oleh itu ia boleh dilakukan untuk orang yang telah meninggal dunia.