SDI 1569: Hukum Fidyah Solat

Soalan:

Ustaz dalam kalangan keluarga saya ada yang meninggal dunia dalam keadaan ada solat yang tidak ditunaikan. Apakah ada cara yang dapat kami lakukan untuk membantunya? Apakah ada fidyah solat?

Jawapan:

Perbuatan meninggalkan solat termasuk kesalahan jenayah serius. Pelakunya diancam dengan dosa yang besar lagi berat. Dia akan berdiri di hadapan Allah di padang mahsyar dalam keadaan yang amat getir dan sukar.

Solat termasuk dalam ibadah badaniyyah mahdhah yang tiada jalan untuk memperolehinya semula setelah seseorang meninggal dunia. Kerana itu kita tidak akan mendapati adanya bukti perintah mahupun anjuran untuk orang hidup melakukan qadha solat untuk orang yang telah mati, berbeza dengan puasa dan haji.

Cumanya para ulama menganjurkan orang yang hidup memperbanyakkan doa kepada jenazah tersebut dan memperbanyakkan sedekah untuknya (sedekah atas nama jenazah), dengan harapan mudah-mudahan Allah SWT memberi kemaafan dan keampunan untuknya dan meringankan hukuman atas dosanya dengan sedekah tersebut.

Berdasarkan pandangan yang lebih kuat, tiada fidyah solat. Sekalipun tidak dinafikan ada pandangan menganjurkan fidyah solat dalam kalangan ulama mazhab Hanafi demikian juga  ulama mazhab Syafie. al-Syeikh Zakaria al-Ansori (W926H) dalam Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj al-Tullab 1/143 menyatakan:

لَا مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صَلَاةٌ أَوْ اعْتِكَافٌ» فَلَا يُفْعَلُ عَنْهُ وَلَا فِدْيَةَ لَهُ لعدم ورودهما

Maksudnya: “Tiada (fidyah dan qadha) bagi sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan ada tertanggung kewajipan solat dan iktikaf,” maka tidak perlu dilakukan (qadha) untuknya dan tiada fidyah untuknya disebabkan ketiadaan dalil yang warid (qadha dan fidyah untuk kedua-dua ibadat tersebut)”

Dalam Asna al-Matalib Fi Syarh Raudh al-Talib 1/428, al-Syeikh Zakarian al-Ansori berkata:

(وَلَوْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صَلَاةٌ أَوْ اعْتِكَافٌ لَمْ يَقْضِ وَلَمْ يَفْدِ) عَنْهُ لِعَدَمِ وُرُودِهِمَا بَلْ نَقَلَ الْقَاضِي عِيَاضٌ الْإِجْمَاعَ عَلَى أَنَّهُ لَا يُصَلَّى عَنْهُ

Maksudnya: “Jika seseorang meninggal dunia dan menanggung kesalahan meninggalkan solat atau iktikaf (wajib), tidak diqadha dan tidak dikeluarkan fidyah untuknya, disebabkan ketiadaan dalil, bahkan al-Qadhi ‘Iyadh ada menukilkan telah berlaku ijmak bahawa tidak ditunaikan solat qadha untuknya.”

Pandangan yang mengatakan ada fidyah solat adalah pandangan yang lemah kerana ketiadaan bukti yang dapat dijadikan sandaran, melainkan qiyas dengan fidyah puasa, atau berdasarkan perbuatan tokoh secara individu seperti al-Subki. Lalu ada pandangan yang mengatakan boleh bertaqlid dengan amalan berdasarkan pandangan lemah ini seperti yang dilakukan oleh al-Subki secara peribadinya. Namun dalam Hasyiah al-Bujairami ‘Ala al-Manhaj 2/83 tetap dinyatakan tidak boleh berfatwa dengan pandangan ini seperti yang telah diperakui oleh syeikh kami al-Hafani (W1101H).  


Cetak  
Wallahu a'lam