SDI 1585: Hukum Tidak Membuka Bahu Sebelah Kanan Ketika Tawaf

Soalan:

Semasa tawaf bagi lelaki perlu buka bahu belah kanan....jika ditutup adakah boleh?

Jawapan:

Membuka bahu sebelah kanan ketika melakukan tawaf dinamakan al-Idhtiba’ (الاضطباع). Ia disunatkan khusus kepada orang lelaki sahaja. Sesiapa yang tidak melakukannya, tawafnya sah dan tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Cuma ia berbeza dengan cara yang dilakukan oleh Nabi SAW Ketika tawaf.

Majoriti ulama terdiri daripada ulama mazhab Hanafi, Syafi‘e dan Hambali berpandangan ia termasuk perkara sunat bersama dengan al-Raml (berlari anak pada tiga pusingan awal tawaf). Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH:

الِاضْطِبَاعَ إِنَّمَا هُوَ مَعُونَةٌ عَلَى الرَّمَلِ، وَإِنَّمَا فُعِلَ تَبَعًا لَهُ، فَإِذَا لَمْ يَرْمُلْ: لَمْ يَضْطَبِعْ

Maksudnya:  “al-Idhtiba’ adalah amalan (sunat) yang membantu al-Raml. Ia dilakukan kerana menurut al-Raml. Apabila tidak ada al-Raml (seperti tawaf tanpa sai‘e), maka tidak perlu dilakukan idhtiba’.”  (Syarh ‘Umdah al-Fiqh 2/423)

Cuma yang membezakan antara al-Raml dan al-Idhtiba’ menurut majoriti ulama ialah al-Raml dilakukan pada tiga pusingan awal tawaf. Manakala al-Idhtiba’ sehingga selesai tawaf. Kata al-Imam al-Nawawi RH:

يَفْتَرِقُ الرَّمَلُ وَالِاضْطِبَاعُ في شئ وَاحِدٍ وَهُوَ أَنَّ الِاضْطِبَاعَ مَسْنُونٌ فِي جَمِيعِ الطَّوْفَاتِ السَّبْعِ وَأَمَّا الرَّمَلُ إنَّمَا يُسَنُّ فِي الثَّلَاثِ الْأُوَلِ وَيَمْشِي فِي الْأَرْبَعِ الْأَوَاخِرِ

Maksudnya: “Berbeza al-Raml dan al-Idhtiba’ pada satu perkara iaitulah al-Idhtiba’ disunatkan pada tujuh pusingan tawaf. Adapun al-Raml hanya disunatkan pada tiga pusingan awal tawaf, manakala baki empat pusingan lagi dilakukan secara berjalan.” (al-Majmu’ 8/20)


Cetak  
Wallahu a'lam