Soalan:
Apakah mazhab Syafie berpandangan qunut nazilah boleh dilakukan dalam setiap solat fardhu? Mengapa saya tengak selain Perlis tidak buat qunut dalam solat fardhu?
Jawapan:
Qunut Nazilah disyariatkan dalam solat fardhu yang lima. Inilah pandangan dalam mazhab Syafie. Al-Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin menggunakan ungkapan يشرع yang bermaksud “disyariatkan”, manakala Ibn hajar al-Haitami dalam al-Tuhfah menggunakan ungkapan يسن yang bermaksud “disunatkan”, qunut nazilah dalam semua solat fardhu (lima waktu). Inilah pandangan muktamad dalam mazhab kita al-Syafi’iyyah kata al-Nawawi dan al-Haitami, kerana berdalilkan dengan hadis Ibn ‘Abbas:
قَنَتَ رَسُولُ الله ﷺ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالعَصْرِ وَالمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ وَصَلاَةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاةٍ، إِذَا قَالَ: سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ الأخيرة
Maksudnya: “Rasulullah SAW melakukan qunut selama sebulan berturutan pada solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh di penghujung solat setelah menyebut sami‘aLlahu liman hamidah pada rakaat terakhir…” (HR Abu Daud dan dinilai Sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Hakim)
Ibn Hajar al-Haitami Rh juga menyebut: “Adapun selain dari solat fardhu, maka seperti solat jenazah ia dimakruhkan secara mutlaq kerana solat jenazah asasnya adalah secara ringkas, demikian juga solat nazar (wajib kerana nazar) dan solat sunat yang disunatkan berjemaah dan selainnya, tidak sunat (dilakukan qunut nazilah). Jika dilakukan qunut nazilah juga, tidak dimakruhkan. Jika selain qunut nazilah, maka ia dimakruhkan.” (al-Tuhfah 2/111)