Soalan:
Apakah dalil menutup qunut nazilah dengan berselawat ke atas Nabi SAW? Ada ustaz yang bagi kuliah di masjid maklumkan untuk qunut nazilah lebih baik tak diakhiri dengan salawat ke atas nabi. Mohon pencerahan ustaz.
Jawapan:
Sunat menutup atau mengakhiri doa qunut dengan berselawat ke atas Nabi SAW. Inilah pandangan al-Asah ulama mazhab Syafi‘e, pandangan ulama mazhab Hambali dan salah satu pandangan ulama mazhab Hanafi. Dalil mereka antaranya;
[1] Berdasarkan athar Ubai bin Ka‘ab dalam hadis ‘Abdul Rahman bin ‘Abdil Qari (عبد الرحمنِ بن عَبدٍ القاريِّ) yang berkata:
…وكانوا يَلْعَنونَ الكَفرةَ في النِّصفِ: اللهمَّ قاتلِ الكفرةَ الذين يَصدُّونَ عن سَبيلِك، ويُكذِّبون رُسلَك، ولا يُؤمِنون بوعدِك، وخالِفْ بين كلمتِهم، وألْقِ في قلوبِهم الرُّعبَ، وألْقِ عليهم رِجزَك وعذابَك، إلهَ الحقِّ، ثم يُصلِّي على النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، ويَدعو للمسلمين بما استطاعَ من خيرٍ، ثم يَستغفرُ للمؤمنين، قال: وكان يقولُ إذا فرغَ مِن لَعْنه الكفرةَ وصلاتِه على النبيِّ واستغفارِه للمؤمنينَ والمؤمناتِ ومسألتِه: اللهم إياك نعبد، ولك نصلي ونسجد، وإليك نسعى ونحفد، نرجو رحمتك ونخشى عذابك، إن عذابك الجد بالكفار ملحق، ثم يكبر ويهوى ساجدًا
“…Dan mereka (umat Islam di zaman pemerintah Umar bin al-Khattab RA) melaknat orang-orang kafir (dalam doa Qunut) pada pertengahan (bulan Ramadhan), dengan doa: "Ya Allah, binasakanlah orang-orang kafir yang menghalangi jalan-Mu, yang mendustakan rasul-rasul-Mu, dan yang tidak beriman dengan janji-Mu. Pecah-belahkanlah kesatuan mereka, dan tanamkanlah rasa takut dalam hati mereka. Timpakanlah ke atas mereka azab dan seksa-Mu, wahai Tuhan yang Maha Benar." Kemudian mereka berselawat ke atas Nabi SAW, dan mendoakan kebaikan untuk orang-orang Islam semampunya, kemudian memohon ampun untuk orang-orang beriman. Katanya lagi: “Dan imam solat juga apabila selesai daripada melaknat orang-orang kafir, berselawat ke atas Nabi, memohon ampun untuk orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, dan permohonannya, berkata: “Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menyembah, dan untuk-Mu kami solat dan sujud, kepada-Mu kami berusaha dan bersegera, kami mengharap rahmat-Mu dan kami takut akan azab-Mu. Sesungguhnya azab-Mu yang sebenar pasti akan menimpa orang-orang kafir. Kemudian dia bertakbir dan turun sujud.” (Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaymah (1100) dan asalnya terdapat dalam Sahih al-Bukhari (2010). Ibn Hajar menilai sanadnya sebagai hasan dalam al-Talkhis al-Habir (2/515), dan al-Albani menilai sanadnya sebagai sahih dalam takhrij beliau terhadap Sahih Ibn Khuzaymah (2/155)
[2] Berdasarkan athar Mu‘ādh al-Anṣārī RA[1] yang menyebut:
أنَّه كان يُصلِّي على النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم في القُنوتِ
“Sesungguhnya beliau dahulu berselawat ke atas Nabi SAW dalam doa qunut.” (Diriwayatkan oleh Isma‘il bin Ishaq al-Qadi - إسماعيلُ بن إسحاق القاضي - dalam Fadhlu al-Salati ‘ala al-Nabiyy SAW - فضل الصلاة على النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم - (107), dan al-Albani memberi komentar dengan katanya: إسنادُه موقوفٌ صحيح “Sanadnya mauquf sahih.”
[3] Hadis al-Hasan bin ‘Ali tentang lafaz Qunut Witir, berdasarkan riwayat al-Nasa’i terdapat tambahan selawat ke atas Nabi SAW di hujungnya. Kata al-Nawawi RH dalam al-Majmu’ 3/499:
أَنَّ فِي رِوَايَةٍ مِنْ حَدِيثِ الْحَسَنِ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ قَالَ «عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ تعالي عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فِي الْوِتْرِ قَالَ اللَّهُمَّ اهْدِنِي فَذَكَرَ الْأَلْفَاظَ الثَّمَانِيَةَ وَقَالَ فِي آخِرِهَا تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ، هذا لَفْظُهُ فِي رِوَايَةِ النَّسَائِيّ بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ أَوْ حَسَنٍ
“Bahawa dalam satu riwayat daripada hadis al-Hasan RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW telah mengajarkan aku ungkapan-ungkapan ini untuk di baca dalam qunut solat witir. Baginda bersabda: “Ya Allah, berilah aku petunjuk..” lalu disebutkan lapan lafaz doa qunut tersebut, dan di akhirnya disebut: “Maha Berkat Engkau dan Maha Tinggi Engkau, dan selawat Allah ke atas Nabi.” Inilah lafaz dalam riwayat al-Nasa’i dengan sanad yang sahih atau hasan.”
Kata al-Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj: “Disunatkan bersewalat ke atas Nabi SAW di akhirnya (qunut).”
Dengan adanya hadis dan athar ini, para fuqaha berpendapat disunatkan berselawat ke atas Nabi SAW pada akhir atau penghujung doa qunut;
Al-Mardāwī dari mazhab Hanbali berkata dalam al-Inṣāf 4/129:
يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، بَعْدَ الدُّعَاءِ. نَصَّ عَلَيْهِ، وَهُوَ الْمَذْهَبُ
"Disunatkan berselawat ke atas Nabi SAW selepas doa (dalam qunut). Ini dinyatakan secara jelas oleh Imam Ahmad dan ia merupakan pendapat yang menjadi pegangan mazhab."
Ibn al-Qayyim menyebut dalam Jalāʾ al-Afhām ketika membicarakan tempat-tempat yang disunatkan untuk berselawat ke atas Nabi SAW, antaranya dalam qunut Witir, beliau berkata:
الموطن الثَّالِث من مَوَاطِن الصَّلَاة على النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم: الصَّلَاة عَلَيْهِ آخر الْقُنُوت، استحبه الشَّافِعِي وَمن وَافقه. وَاحْتج لذَلِك بِمَا رَوَاهُ النَّسَائِيّ -وساق سنده- عَن الْحسن بن عَليّ قَالَ: عَلمنِي رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم هَؤُلَاءِ الْكَلِمَات فِي الْوتر، قَالَ: قل: اللَّهُمَّ اهدني فِيمَن هديت، وَبَارك لي فِيمَا أَعْطَيْت، وتولني فِيمَن توليت، وقني شَرّ مَا قضيت؛ إنك تقضي وَلَا يقْضى عَلَيْك. وإنه لَا يذل من واليت -تَبَارَكت رَبنَا وَتَعَالَيْت- وَصلى الله على النَّبِي. وَهَذَا إِنَّمَا هُوَ فِي قنوت الْوتر
Tempat ketiga yang disunatkan untuk berselawat ke atas Nabi SAW: di akhir doa qunut. Ini disunatkan oleh Imam Syāfiʿī dan mereka yang sependapat dengan beliau. Mereka berdalilkan hadis riwayat al-Nasā’ī – lalu belai menyertakan sanad hadis - daripada al-Hasan bin ‘Ali yang berkata: Rasulullah SAW mengajarku ungkapan-ungkapan ini dalam doa witir: “Ya Allah, tunjukilah aku bersama orang-orang yang Engkau beri petunjuk, berkatilah untukku apa yang Engkau berikan, peliharalah aku bersama orang-orang yang Engkau pelihara, dan lindungilah aku daripada kejahatan apa-apa yang Engkau tetapkan. Sesungguhnya Engkau yang menetapkan, dan tiada siapa dapat menetapkan ke atas-Mu. Tidak hina orang yang Engkau jaga. Maha Berkat Engkau, wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi. Dan selawat Allah ke atas Nabi…”
Al-Albānī pula menyebut dalam Jami’ Turath al-Albani fi al-Fiqh, 7/192:
نعم؛ كان أبو حليمة معاذ القاري يصلي على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في القنوت في رمضان؛ كما رواه القاضي إسماعيل بن إسحاق -على ما في " الجلاء " (251)- وإسناده صحيح. ورواه ابن نصر أيضاً (136) ....وقد ثبت في حديث إمامةِ أُبَيّ بن كعب الناسَ في قيام رمضان، أنه كان يصلي على النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في آخر القنوت، وذلك في عهد عمر -رضي الله عنه- رواه ابن خزيمة في "صحيحه" (1097) فهي زيادة مشروعة ...
“Ya, Abu Halīmah Muʿādh al-Qārī biasa berselawat ke atas Nabi SAW dalam qunut Witir dalam bulan Ramadan, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Qāḍī Ismāʿīl bin Isḥāq — berdasarkan apa yang disebut dalam kitab al-Jalāʾ (hlm. 251) — dengan sanad yang sahih. Ibn Naṣr juga meriwayatkannya… Dan telah sabit dalam hadis Ubay bin Kaʿb yang menjadi imam kepada orang ramai dalam qiyām Ramadan pada zaman Umar RA, dan beliau berselawat ke atas Nabi SAW di akhir qunut. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaymah dalam Ṣahīhnya (no. 1097). Maka ia adalah tambahan yang dibenarkan oleh syarak…”
[1] Mu‘ādh bin al-Ḥārith, Abū Ḥalīmah al-Anṣārī, al-Qārī (معاذ بن الحارث، أبو حليمة الأنصاري، القاري); Ibn Abī Ḥātim berkata dalam biografinya dalam al-Jarḥ wa al-Ta‘dīl (8/246): beliau orang yang dilantik oleh ‘Umar RA untuk mengimami umat Islam dalam solat Tarawih pada bulan Ramadan.