Soalan:
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Makmum pertama berdiri selangkah di blkg sebelah kanan imam. Kemudian makmum ke2 mnyertai jemaah tp berdiri sebelah makmum pertama (mungkin kerana dia tidak tahu sepatutnya membuat saf di belakang imam). Adakah tidak mengapa mereka solat begitu sehingga salam atau makmum pertama perlu utk berundur ke blkg dan kemudian diikuti oleh makmum ke2? Bagaimana jika sudah melangkah ke blkg makmum ke2 tidak ikut ke blkg?
Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
1. Kedudukan yang betul bagi makmum lelaki yang seorang adalah di sebelah kanan imam, dalam keadaan dia berdiri terkebelakang sedikit dengan menjadikan tumitnya terkebelakang dari tumit imam. Kata alNawawi RH dalam al-Majmu' 4/291:
ويستحب أن يتأخر عن مساواة الإمام قليلًا
Maksudnya: "Disunatkan makmum terkebelakang sedikit (di tempat berdirinya di kanan imam) dari menyamai imam."
Perlu diberi perhatian bahawa, tindakan makmum lelaki yang seorang, yang berdiri jauh dari imam di sebelah kanan adalah salah. Perbuatan ini menghampiri tegahan Nabi SAW:
لا صلاة لمنفرد خلف الصف
Maksudnya: "Tiada solat (yang sempurna) bagi makmum yang bersendirian di belakang saf." (Hadis Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud)
Demikian juga hadis Abu Bakrah riwayat al-Bukhari, Nabi SAW melarang beliau mengulangi perbuatan bertakbir bersendirian di luar saf. Majoriti ulama berpandangan berdiri bersendirian dalam solat jemaah adalah makruh.
2. Bagi situasi solat berjemaah berdua (seorang imam dan seorang makmum), kemudian datang makmum kedua dan bertakbiratul ihram di sebelah makmum pertama, maka sunat kedua-dua makmum bergerak agar mereka berdiri di belakang imam, jika kedua-dua mereka tidak melakukannya, maka sunat pula kepada imam untuk bergerak ke hadapan dan menjadikan dua orang makmum itu berada di belakangnya.
Jika solat berjemaah tersebut ditunaikan sehingga selesai dalam keadaan dua orang makmum berada di sebelah kanan imam, solat tersebut adalah sah.
Perhatian: Susunan sebenar bagi solat berjemaah yang dimulakan oleh dua orang (seorang imam dan seorang makmum) ialah; makmum yang seorang berdiri di sebelah kanan imam, dalam keadaan dia berdiri terkebelakang sedikit. Apabila datang makmum yang kedua, maka dia disunatkan berdiri di sebelah kiri imam, dalam keadaan dia berdiri terkebelakang sedikit dari imam dan bertakbiratul ihram. Setelah itu, sunat mereka berdua bergerak ke belakang imam untuk membuat saf. Jika tidak, maka imam sunat bergerak ke hadapan, menjadikan dua orang makmum tersebut bergerak merapatkan saf di belakang imam. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam Minhaj al-Talibin 1/40:
فإن حضر آخر أحرم عن يساره ثم يتقدم الإمام أو يتأخران وهو أفضل
Maksudnya: “Jika hadir seorang yang lain (untuk menyertai solat jemaah seorang imam dan seorang makmum yang berdiri sebelah kanan imam), orang yang baru hadir itu bertakbiratul ihram di sebelah kiri imam, kemudian imam bergerak ke hadapan atau makmum yang berdua itu (seorang sebelah kanan dan seorang lagi sebelah kiri imam) bergerak ke belakang, dan makmum berdua bergerak ke belakang itu lebih utama (afdhal).”
Pandangan ini berdasarkan hadis Muslim daripada Jabir RA yang berkata:
صَلَّيْت خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَقُمْت عَنْ يَمِينِهِ ثُمَّ جَاءَ جَابِرُ بْنُ صَخْرٍ فَقَامَ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِأَيْدِينَا جَمِيعًا حَتَّى أَقَامَنَا خَلْفَهُ
Maksudnya: “Aku pernah solat di belakang Rasulullah SAW. Aku berdiri sebelah kanan baginda, kemudian datang pula Jabir bin Shakhr lalu berdiri sebelah kiri baginda. Lalu baginda memegang tangan kami dan menjadikan kami berdua berdiri di belakang baginda.”
Jika dua orang makmum lelaki datang serentak atau dalam masa yang sama, maka kedua-dua mereka membuat satu saf di belakang imam. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam Minhaj al-Talibin 1/40:
ولو حضر رجلان أو رجل وصبي صفا خلفه وكذا امرأة أو نسوة ويقف خلفه الرجال ثم الصبيان ثم النساء
Maksudnya: “Jika hadir dua orang (makmum) lelaki, atau seorang lelaki dengan seorang budak lelaki, mereka berdua berdiri dalam satu saf di belakang imam. Demikian juga jika seorang makmum perempuan (berdiri di belakang saf bersendirian) atau beberapa orang perempuan (berdiri di belakang, sebagai satu saf perempuan). (Susunan saf adalah) jemaah lelaki di belakang imam, kemudian jemaah kanak-kanak lelaki, kemudian jemaah perempuan.” Inilah pandangan majoriti ulama.
Al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari dalam al-Kawkib al-Wahhaj Syarah Sahih Muslim 26/479 mendakwa Ibn Mas‘ud RA berpandangan jika makmum berdua, seorang kekal berada di sebelah kanan imam dan seorang lagi di sebelah kiri imam. Inilah juga pandangan ulama Kufiyyun dari mazhab Syafi’e. Pandangan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnad beliau:
عن الْأَسْوَدِ بن يزيد رضي الله عنه قال: "دَخَلْتُ أَنَا وَعَمِّي عَلْقَمَةُ عَلَى ابْنِ مَسْعُودٍ بِالْهَاجِرَةِ، قَالَ: فَأَقَامَ الظُّهْرَ لِيُصَلِّيَ فَقُمْنَا خَلْفَهُ، فَأَخَذَ بِيَدِي وَيَدِ عَمِّي، ثُمَّ جَعَلَ أَحَدَنَا عَنْ يَمِينِهِ وَالْآخَرَ عَنْ يَسَارِهِ، فَصَفَّنَا صَفًّا وَاحِدًا، قَالَ: ثُمَّ قَالَ: هَكَذَا كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ يَصْنَعُ إذَا كَانُوا ثَلَاثَةً
Maksudnya: “Daripada al-Aswad bin Yazid RA yang berkata: “Aku dan bapa saudaraku bernama ‘Alqamah masuk menemui Ibn Mas‘ud di Hajirah. Kemudian dilaungkan iqamat solat Zohor untuk beliau mengimamkan solat bersama kami. Kami berdua berdiri di belakang beliau. Tiba-tiba beliau memegang tangan ku dan tangan bapa saudaraku dan menjadikan salah seorang dari kami berdua berdiri di sebelajh kanan beliau dan seorang lagi di sebelah kiri beliau. Kami (bertiga) berdiri dalam satu saf. Setelah itu Ibn Mas‘ud berkata: “Demikian inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW jika solat jemaah tiga orang.”
Namun majoriti ulama mengatakan hadis Ibn Mas‘ud ini berlaku disebabkan kawasan yang sempit. Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari 2/212 berkata:
السنة في موقف الاثنين أن يُصَفَّا خلف الإمام، خِلافًا لمن قال من الكوفيين: إن أحدهما يقف عن يمينه والآخر عن يساره، وحجتهم في ذلك حديث ابن مسعود الذي أخرجه أبو داود وغيره عنه أنه أقام علقمة عن يمينه، والأسود عن شماله، وأجاب عنه ابن سيرين بأن ذلك كان لضيق المكان
Maksudnya: “Berdasarkan sunnah tentang kedudukan dua orang makmum, ialah mereka berdua membuat saf di belakang imam. Perkara ini berbeza dengan ulama Kufiyyun yang berpandangan; salah seorang makmum berada di sebelah kanan imam dan seorang lagi berada di sebelah kiri imam. Hujah mereka adalah hadis Ibn Mas‘ud yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya, di mana Ibn Mas‘ud menjadikan ‘Alqamah berdiri sebelah kanan beliau dan al-Aswad berdiri di sebelah kiri beliau. Ibn Sirin menjawab tentang hadis ini dengan mengatakan perkara itu berlaku sedemikian kerana kesempitan tempat.”