SDI 1605: Benarkah Ada Zikir Bagi Menggantikan Tahiyyatul Masjid?

Soalan:

Apakah terdapat hadis yang mengatakan bacaan Subhanallah wal hamdulillah wa la ila ha illallah wallahu akbar sebanyak 4 kali boleh menggantikan dua rakaat tahiyyatul masjid?

 

Jawapan:

Sunnah yang jelas dari Nabi SAW bagi sesiapa yang masuk ke dalam masjid ialah tidak duduk melainkan setelah menunaikan solat dua rakaat terlebih dahulu. Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sebelum duduk.” (al-Bukhari dan Muslim)

Maka, hukum terus duduk dalam masjid tanpa terlebih dahulu menunaikan solat dua rakaat adalah makruh di sisi kebanyakan ulama.

Berkaitan bacaan zikir yang ditanya, ia merupakan pandangan beberapa ulama tanpa disertakan bukti dari sunnah Nabi SAW secara jelas. Dalam kalangan ulama ada yang menyebut tentang bacaan tersebut. Pun begitu, dalam riwayat-riwayat hadis jelas menuntut kita menunaikan solat dua rakaat sebelum duduk di dalam masjid. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW telah memerintahkan Sulaik al-Ghatafani yang masuk lewat ke dalam masjid ketika baginda menyampaikan khutbah Jumaat, agar tetap menunaikan solat tahiyyatul masjid, bukan membaca zikir yang dinyatakan, Hadis tersebut antaranya diriwayatkan oleh al-Imam Muslilm dalam Sahih beliau daripada Jabir bin ‘Abdillah RA yang berkata:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، فَجَلَسَ، فَقَالَ لَهُ: يَا سُلَيْكُ، قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا، ثم قال: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Sulaik al-Ghatafani datang (masuk ke dalam masjid) dan terus duduk pada hari Jumaat ketika Rasulullah SAW berkhutbah. Baginda bersabda kepadanya: “Wahai Sulaik, bangun dan tunaikan solat (sunat Tahiyyatul Masjid) dua rakaat secara ringkas.” Kemudian baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid pada hari Juamat, sedangkan imam sedang berkhutbah, maka hendalah dia menunaikan tahiyyatul masjid dua rakaat secara ringkas.”

 Oleh kerana itu, beramal dengan sunnah yang jelas dari Nabi SAW adalah lebih utama.

Huraian

Bacaan dan kelebihan yang ditanya ada disebut oleh beberapa ulama dari mazhab Maliki dan Syafi‘e. Dalam Mughniy al-Muhtaj 1/457 oleh al-Khatib al-Syarbini dinyatakan:

ويكره أن يدخل المسجد بغير وضوء، فإن دخل فليقل: سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر فإنها تعدل ركعتين في الفضل. وفي أذكار المصنف قال بعض أصحابنا من دخل المسجد فلم يتمكن من صلاة التحية لحدث أو شغل أو نحوه فيستحب له أن يقول أربع مرات: سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر قال ولا بأس به زاد ابن الرفعة ولا حول ولا قوة إلا بالله. فائدة إنما استحب الإتيان بهذه الكلمات الأربع لأنها صلاة سائر الخليقة من غير الآدمي من الحيوانات والجمادات في قوله تعالىوَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ {الإسراء: 44}أي بهذه الأربع وهي الكلمات الطيبات والباقيات الصالحات والقرض الحسن والذكر الكثير في قوله تعالىمَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا وفي قوله تعالىوَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ. {الجمعة: 10}

Maksudnya: “Dimakruhkan seseorang masuk ke dalam masjid tanpa wudhu. Jika dia masuk tanpa wudhu, maka bacalah: سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرْ kerana ia menyamai kelebihan solat dua rakaat. Dalam kitab al-Azkar, penulis (al-Nawawi)  berkata: “Kata sebahagian sahabat kami (ulama mazhab Syafi‘e), sesiapa yang masuk ke dalam masjid dan tidak dapat menunaikan solat tahiyyat kerana berhadas atau sibuk dengan perkara lain atau seumpamanya, maka dianjurkan kepadanya untuk membaca sebanyak empat kali: سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرْ dan beliau (al-Nawawi) berkata: tidak mengapa dengan bacaan ini.” Ibn al-Raf‘ah menambah tambahan: وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله. Faedah anjuran membaca zikir ini sebanyak empat kali adalah kerana ia merupakah solat (bacaan) semua makhluk lain selain manusia terdiri dari haiwan dan makhluk lain yang tidak bernyawa berdasarkan firman Allah SWT: “Tiada sesuatupun melainkan sentiasa bertasbih dan bertahmid kepada-Nya.” (al-Isra’: 44) iaitulah empat kali membaca zikir yang merupakan al-Kalimat al-Tayyibat, al-Baqiyat al-Salihat, al-Qard al-Hasan dan al-Zikr al-Kathir yang disebut dalam firman Allah: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman yang baik (al-Qard al-Hasan).” Dan firman-Nya: “Dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya (al-Zikr al-Kathir), mudah-mudahan kamu semua beroleh kejayaan.” (al-Jumu‘ah: 10)" 

                    Dalam al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiah 1/140 oleh al-Haitami RH ketika berbicara tentang Tahiyyatul Masjid, dinyatakan:

ويسن لمن لم يتمكن منها لحدث أو شغل أن يقول: سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم أربعا

Maksudnya: “Dan disunat bagi sesiapa yang tidak dapat menunaikan solat Tahiyyatul Masjid kerana berhadas atau sibuk, maka bacalah: سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرْ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله العلي العظيم sebanyak empat kali.”

                    Al-Zarkashi dalam I’lam al-Sajid Bi Ahkam al-Masajid 1/304 menyatakan:

وقد يحتج له بأنه ﷺ علم ذلك لمن لم يحسن قراءة الفاتحة فإذا صح قيامها مقام الفرض، فالنفل أولى، لكن هناك النائب والمنوب عنه من جنس واحد وهو القول وهنا نيابة قول عن فعل وذكر ابن بطال في شرح البخاري عن جابر بن زيد الإمام الكبير التابعي أنه قال: إذا دخلت المسجد فصل فيه، فإن لم تصل فاذكر الله فكأنك قد صليت

Maksudnya: “Dan dijadikan hujjah bagi pandangan ini dengan pengajaran Nabi SAW zikir ini kepada sesiapa yang tidak dapat membaca al-Fatihah dengan baik. Maka apabila zikir ini dapat menggantikan suatu yang fardhu (al-Fatihah), maka ia juga dapat menggantikan suatu yang sunat adalah termasuk dalam suatu yang lebih utama. Akan tetapi perkara itu (menggantikan al-Fatihah dengan zikir), di mana yang mengganti (zikir Subhanallah…) dan yang diganti (al-Fatihah) dari jenis yang sama iaitulah kedua-duanya berupa bacaan. Manakala yang ini berbeza, di mana bacaan (zikir Subhanallah…) bertindak menggantikan perbuatan (solat Tahiyyatul Masjid). Ibn Battal ada menyebut dalam Syarh al-Bukhari daripada Jabir bin Zaid al-Imam al-Kabir seorang tabi‘e yang berkata: “Apabila kamu masuk ke dalam masjid, maka tunaikanlah solat (tahiyyatul masjid) dua rakaat di dalamnya. Jika tidak dapat, maka berzikirlah kepada Allah, agar kamu seperti telah melakukan solat.”

          Berdasarkan kenyataan al-Khatib al-Syarbini dan al-Zarkashi di atas menunjukkan bacaan ini bukan berdasarkan pembuktian hadis sahih dari Nabi SAW. Kerana itu didapati terdapat ulama yang menghukumkan bacaan seumpamanya dengan anggapan kelebihannya seperti yang ditanya adalah suatu yang tiada asal-usul dan makruh. Ibn Hajr al-Haitami dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra 1/194 ketika ditanya berkaitan bacaan:

سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَك رَبَّنَا وَإِلَيْك الْمَصِيرُ عِنْدَ تَرْكِ السُّجُودِ لِآيَةِ السَّجْدَةِ لِحَدَثٍ أَوْ عَجْزٍ عَنْ السُّجُودِ كَمَا جَرَتْ بِهِ الْعَادَةُ عِنْدَنَا هَلْ يَقُومُ الْإِتْيَانُ بِهَا مَقَامَ السُّجُودِ كَمَا قَالُوا بِذَلِكَ فِي دَاخِلِ الْمَسْجِدِ بِغَيْرِ وُضُوءٍ أَنَّهُ يَقُولُ: سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ فَإِنَّهَا تَعْدِلُ رَكْعَتَيْنِ كَمَا نَقَلَهُ الشَّيْخُ زَكَرِيَّا رحمه الله فِي شَرْحِ الرَّوْضِ عَنْ الْإِحْيَاءِ وَكَذَلِكَ قَوْلُهُ فِي سُجُودِهِ سُجُودِهِ سَجَدَ وَجْهِي الْفَانِي لِوَجْهِك الْبَاقِي هَلْ لِذَلِكَ سَنَدٌ مُعْتَبَرٌ أَوْ يُقَالُ لَا بَأْسَ بِهِ لِلْمُنَاسَبَةِ؟

Maksudnya: “Tentang seseorang yang membaca: سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَك رَبَّنَا وَإِلَيْك الْمَصِيرُ  ketika tidak melakukan sujud tilawah kerana berhadas atau ada sesuatu halangan, seperti yang telah menjadi kebiasaan dalam kalangan kami, apakah bacaan ini dapat menggantikan kedudukan sujud tilawah, seperti yang sama dikatakan berkaitan seorang yang masuk ke dalam masjid tanpa wudhu, dia hanya perlu membaca: سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ kerana bacaan ini dapat menggantikan kedudukan dua rakaat (tahiyyatul masjid), seperti yang dinukilkan oleh al-Syeikh Zakaria dalam Syarh al-Raudh daripada kitab al-Ihya’. Demikian juga pandangan yang mengatakan pada sujud tilawah seseorang (boleh juga dibaca): سَجَدَ وَجْهِي الْفَانِي لِوَجْهِك الْبَاقِي apakah perkara ini memiliki sanad yang muktabar atau boleh dikatakan tidak mengapa mengamalkannya kerana suatu yang sesuai?”

Jawab Ibn Hajar al-Haitami RH:

إنَّ ذَلِكَ لَا أَصْلَ لَهُ. فَلَا يَقُومُ مَقَامَ السَّجْدَةِ بَلْ يُكْرَهُ لَهُ ذَلِكَ إنْ قَصَدَ الْقِرَاءَةَ وَلَا يُتَمَسَّكُ بِمَا فِي الْإِحْيَاءِ أَمَّا أَوَّلًا فَلِأَنَّهُ لَمْ يَرِدْ فِيهِ شَيْءٌ، وَإِنَّمَا قَالَ الْغَزَالِيُّ: إنَّهُ يُقَالُ: إنَّ ذَلِكَ يَعْدِلُ رَكْعَتَيْنِ فِي الْفَضْلِ، وَقَالَ غَيْرُهُ: إنَّ ذَلِكَ رُوِيَ عَنْ بَعْضِ السَّلَفِ، وَمِثْلُ هَذَا لَا حُجَّةَ فِيهِ بِفَرْضِ صِحَّتِهِ فَكَيْفَ مَعَ عَدَمِ صِحَّتِهِ. وَأَمَّا ثَانِيًا فَمِثْلُ ذَلِكَ لَوْ صَحَّ عَنْهُ ﷺ لَمْ يَكُنْ لِلْقِيَاسِ فِيهِ مَسَاغٌ؛ لِأَنَّ قِيَامَ لَفْظٍ مَفْضُولٍ مَقَامَ فِعْلٍ فَاضِلٍ مَحْضٍ فَضْلٌ فَإِذَا صَحَّ فِي صُورَةٍ لَمْ يَجُزْ قِيَاسُ غَيْرِهَا عَلَيْهَا فِي ذَلِكَ، وَأَمَّا ثَالِثًا فَتِلْكَ الْأَلْفَاظُ الَّتِي ذَكَرُوهَا فِي التَّحِيَّةِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ إلَخْ فِيهَا فَضَائِلُ وَخُصُوصِيَّاتٌ لَا تُوجَدُ فِي غَيْرِهَا مِنْهَا أَنَّهَا صَلَاةُ الْحَيَوَانَاتِ وَالْجَمَادَاتِ وَمِنْهَا أَنَّهَا الْمُرَادَةُ مِنْ قَوْله تَعَالَى ﴿وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ﴾ [الإسراء: ٤٤] وَمِنْهَا أَنَّهَا الْكَلِمَاتُ الطَّيِّبَاتُ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ وَمِنْهَا أَنَّهَا الْقَرْضُ الْحَسَنُ فِي قَوْله تَعَالَى ﴿مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجْرٌ كَرِيمٌ﴾ [الحديد: ١١] .وَمِنْهَا أَنَّهَا الذِّكْرُ الْكَثِيرُ فِي قَوْله تَعَالَى ﴿اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا﴾ [الأحزاب: ٤١] ﴿وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ﴾ [الأحزاب: ٣٥] وَمَا اُعْتِيدَ مِنْ قَوْلِ الْعَامَّةِ فِي السُّجُودِ سَجَدَ وَجْهِي الْفَانِي لِوَجْهِك الْبَاقِي لَا أَصْلَ لَهُ فِيمَا أَعْلَمُ فَيَتَأَكَّدُ تَرْكُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya demikian itu adalah suatu yang tiada asalnya. Maka bacaan tersebut tidak dapat menggantikan kedudukan sujud tilawah, bahkan makruh melakukannya jika memaksudkan gantian untuk sujud tilawah. Tidak perlu berpada dengan apa yang ada dalam kitab al-Ihya’. Alasan pertama: adalah kerana perkara tersebut tidak memiliki sebarang dalil. Sebaliknya hanya perkataan al-Ghazali yang berkata: “dikatakan (ada orang kata): Bacaan itu dapat menyamai (menggantikan) kelebihan dua rakaat tahiyyatul masjid.” Selain dari al-Ghazali pula ada yang berkata: “ia diriwayatkan dari sebahagian salaf.” Alasan seumpama ini tidak dijadikan hujah, sekalipun diandaikan ia sahih (pandangan sebahagian salaf), apatah lagi jika dakwaan itu tidak sahih? Kedua: perkara seumpama itu, jika ia sahih (kelebihan bacaan sesuatu zikir), maka tiada ruang untuk melakukan qiyas. Ini kerana berdirinya lafaz mafdhul, pada kedudukan perbuatan fadhil mahdh adalah satu kelebihan (sedangkan المفضول lebih rendah dari الفاضل). Jika ia boleh di sesuatu gambaran (keadaan), tidak boleh dilakukan qiyas kepada gambaran lain. Alasan ketiga: lafaz-lafaz yang dinyatakan boleh menggantikan kedudukan tahiyyatul masjid iaitulah: سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ sehingga akhirnya, memiliki kelebihan-kelebihan dan keistimewaan-keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada selainnya, iaitulah ia merupakan lafaz zikir para haiwan dan makluk lain yang tidak bernyawa. Termasuk juga ia merupakan lafaz yang dimaksudkan dalam firman Allah: “Tiada suatu makhluk, melainkan semuanya bertasbih dan memuji-Nya.” (al-Isra’: 44) Ia juga merupakan al-Kalimat al-Taiyyibat dan al-Baqiyat al-Salihat. Ia juga al-Qardh al-Hasan yang dimaksudkan dalam firman Allah: “Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah satu pinjaman yang baik (al-Qardh al-Hasan), Allah akan melipat-gandakan untuk orang itu pahala yang besar.” Ia juga merupakan al-Zikr al-Kathir yang dimaksudkan dalam firman Allah: “Dan orang-orang lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah (dengan menyebut lafaz zikir tersebut).” (al-Ahzab: 35). Manakala apa yang dibiasakan dari bacaan orang ramai pada sujud tilawah: سَجَدَ وَجْهِي الْفَانِي لِوَجْهِك الْبَاقِي bermaksud: “Bersujud wajahku yang fana kepada wakjah-Mu yang kekal selama-lamanya,” adalah bacaan yang tiada asal-usulnya, maka hendaklah dijauhi.”


Cetak  
Wallahu a'lam